Kenapa habuk rumah anda tak pernah habis?

Bila dah ada rumah sendiri ni, tak dapat la nak mengharapkan orang lain untuk mengemas rumah. Ada suatu perkara yang penulis dapati menjengkelkan ketika mengemas rumah ni, habuk dan debu. Baru je penulis sapu rumah, bersihkan rak dan para semalam dah rasa benda yang melekat-lekat di kaki dan salji debu meliputi para. Dekat setiap hari kemas tak hilang-hilang jugak. Kalau menyapu boleh kuruskan badan dan bagi enam ketulan di perut takpe la jugak.

Dalam bahasa omputeh, gumpalan habuk ni dipanggil dust bunny

Untuk menumpaskan sindiket habuk yang tidak pernah kehabisan stok habuk, penulis pun melakukan sedikit kajian. Namun, jawapan yang ditemui sangat-sangat mengejutkan dan menakutkan.

Habuk memang takkan pernah habis

                Adalah sangat mengejutkan diri yang rajin menyapu ini apabila mendapat tahu bahawa dalang sindiket habuk yang terbesar ialah manusia sendiri!

                Habuk adalah satu gumpalan agregat yang diperbuat daripada serat benang, kertas, rambut, cebisan kulit manusia, tanah-tanah, debu dan pelbagai lagi benda-benda yang halus. Warna gumpalan habuk pula adalah berasal daripada bahan yang membuatkan habuk, kebanyakannya warna kelabu sebab serat kain kalau satu-satu dan kulit manusia yang dah mati memang warna kelabu.

Arca oleh Noa Kaplan, sekiranya habuk boleh dibesarkan

Mekanisma gumpalan habuk

Jika anda perasan, sekiranya terdapat suatu cahaya menyinari bilik yang gelap anda akan mampu melihat partikel-partikel halus berterbangan di udara dan percayalah ianya akan kekal di udara untuk masa yang lama. Hal ini kerana mengikut Hukum Stoke, saiz partikel habuk yang kecil akan dipaksakan daya geseran yang tinggi berbanding daya graviti, menyebabkan habuk hanya akan mendarat di lantai pada masa lebih kurang 5 hari.

Habuk-habuk sangat mudah tergumpal antara satu sama lain. Ini menghasilkan gumpalan kelabu yang menjengkelkan dan sekiranya anda alergik kepada habuk seperti aku, ternyata akan menyebabkan tindak balas bersin seperti mesingan. Gumpalan ini ialah kerana habuk mengandungi cas statik dipol-dipol (Matthews & Hyde, 2009), hasil interaksi antara habuk dan udara.

Apabila habuk bergeser dengan udara yang berfungsi sebagai bendalir, cas positif habuk akan berhijrah ke suatu sudut dan akan menjadi tertumpu. Hal ini akan menyebabkan perbezaan cas yang ketara dan membahagikan habuk kepada dua bahagian, bahagian yang tinggi cas positif dan bahagian yang tinggi cas negative.Kedua-dua bahagian yang berbeza ini adalah tertarik antara satu sama yang lain lantas menjadi satu gumpalan yang menjengkelkan.  

Contoh mudah cas dipol

Cara untuk menangani sindiket habuk

Ketakutan yang amat besar dirasakan olehku ketika diri mendapat tahu bahawa aku harus mengemas rumah setiap hari sehinggalah aku pergi daripada dunia yang berhabuk ini. Sekiranya ada manusia atau barangan seperti karpet dan tekstil yang wujud sahaja di sesuatu tempat, minta maaf, habuk akan senantiasa dihasilkan.

Ada orang kata boleh gunakan air purifier. Tapi kalau tengok artikel-artikel dalam talian pula, kata kotak angin tu tipu je. Ada yang kata kalau HEPA ok je. Entah la, aku pun tak pernah pakai. Kalau korang ada pengalaman pakai air purifier cuba kongsi sikit dengan kami.

Yang pastinya, untuk mengelakkan debu ni banyak sangat dalam rumah kena la bersihkan setiap hari. Tak boleh malas eh. Kalau tak, satu lagi makhluk yang menghantui dan membawa penyakit dalam kehidupan anda, kutu hama. Betul lah kata orang, jangan tunggu lama-lama, nanti lama-lama, rumah berkutu hama. Eh?

Kutu hama.

Rujukan:

  1. Matthews & Hyde, 2009. Effect of dipole–dipole charge interactions on dust coagulation, New Journal of Physics.
  2. Matthews et al., 2007. Formation of Cosmic Dust Bunnies
  3. Hughesenv.com. Not Just Something To Clean: 15 Facts About Dust
  4. Yilbas et al., 2019. Environmental Dust Particles Repelling from A Hydrophobic Surface under Electrostatic Influence

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts