Saya pasti kita semua mempunyai telefon pintar dalam poket. Malah sebahagian anda mungkin membaca artikel ini menggunakan telefon pintar anda. Seperti yang kita sudah tahu, telefon pintar ini dapat mengakses internet melalui rangkaian yang sedia ada pada hari ini seperti 4G LTE. Apabila telefon kita menunjukkan simbol ‘3G’, ‘H’, atau ‘E’, kita pasti akan hampa, atau kita akan mencari-cari kawasan yang mempunyai isyarat 4G. Teknologi 4G telah dilancarkan di Malaysia pada tahun 2013 dan kini liputannya telah mencapai hampir ke semua kawasan yang mempunyai kepadatan pengguna telefon pintar yang tinggi. Teknologi 4G ini mempunyai kelajuan maksimum muat turun sekitar 100 megabit per saat (Mbps) dan kelajuan muat naik sekitar 50 Mbps.
Teknologi 4G ini mula diganti oleh teknologi 5G pada tahun 2019. Dengan perkembangan Internet Kebendaan (IoT), kereta tanpa pemandu, permainan servis awan (cloud-service games) dan realiti maya mudah alih, keperluan untuk internet yang lebih pantas mula timbul. Teknologi 4G tidak mampu menampung keperluan ini dan harus diganti (malah nak tengok video YouTube pun masih tersekat-sekat). Dengan kelajuan maksimum 10 gigabit per saat (10 Gbps), iaitu seratus kali ganda berbanding kelajuan 4G, teknologi 5G dijangka akan memenuhi keperluan pasaran hari ini.
Namun persoalan yang sering ditimbulkan oleh sebahagian orang ialah sama ada teknologi 5G ini selamat atau tidak.
Bagaimana 5G berfungsi?

Seperti 4G, 5G juga menggunakan gelombang elektromagnet untuk menghantar dan menerima data. Namun teknologi 5G menggunakan lebar jalur (bandwidth) yang lebih luas iaitu dari frekuensi yang digunakan oleh 4G (600 MHz hingga 2.5 GHz) hingga 100 GHz dan ke atas.
Dengan frekuensi yang lebih tinggi, lebih banyak data yang dapat dihantar dan diterima serta kependaman (latency) yang sangat rendah.
Sinaran elektromagnet dan kesannya

Seperti yang dijelaskan di atas, teknologi 5G menggunakan gelombang elektromagnet untuk penghantaran dan penerimaan data. Gelombang elektromagnet ini mempunyai pelbagai spektrum dari spektrum radio hingga sinaran gama bergantung kepada frekuensi gelombang ini. Spektrum radio mempunyai frekuensi yang rendah iaitu sekitar 300 MHz dan ke bawah. Frekuensi ini adalah sama dengan frekuensi yang kita lihat pada radio dalam kereta tu. Spektrum gelombang elektromagnet yang digunakan oleh teknologi 5G terletak pada spektrum gelombang mikro (600 MHz – 100 GHz).
Sinaran gelombang elektromagnet terbahagi kepada dua iaitu sinaran mengion dan tidak mengion (ionizing & non-ionizing radiation). Sinaran mengion ini boleh memberi kesan pada sel-sel dalam badan seperti merosakkan molekul protein, DNA dan RNA. Contoh sinaran mengion ialah sinar-X yang digunakan untuk melihat tulang dalam badan kita. Jika dikenakan dos yang banyak, ia boleh membunuh banyak sel dalam badan kita. Sebab itu pengimejan sinar-X mempunyai had tertentu untuk digunakan. Begitu juga dengan sinaran daripada sumber radioaktif di loji-loji nuklear. Pekerja-pekerja di loji nuklear perlu dipantau kadar pendedahan mereka terhadap sinaran mengion.
Sinaran tidak mengion pula terdiri daripada spektrum-spektrum yang mempunyai frekuensi yang lebih rendah seperti spektrum radio dan gelombang mikro. Teknologi 5G, 4G dan sebelumnya, serta wifi dan komunikasi radio kesemuanya menggunakan sinaran tidak mengion. Sinaran tidak mengion juga mempunyai kesan buruk seperti boleh menyebabkan kulit terbakar jika didedahkan secara berlebihan pada dos yang tinggi. Contohnya adalah ketuhar gelombang mikro (microwave oven) yang digunakan untuk memanaskan makanan. Ketuhar ini memancarkan sinaran tak mengion (gelombang mikro) menyebabkan molekul pada makanan tersebut bergetar dengan pantas dan memanaskan makanan tersebut.
Bolehkah teknologi 5G menyebabkan kanser?
Teknologi 5G tidak menggunakan sinaran mengion untuk penghantaran dan penerimaan maklumat. Jadi sepatutnya ia adalah selamat digunakan. Inilah yang disebutkan oleh pelbagai badan berautoriti seperti World Health Organization (WHO) dan United Nation (UN). Namun disebalik itu, terdapat juga bukti yang menunjukkan sebaliknya iaitu sinaran tidak mengion ini sebenarnya boleh memberi kesan buruk kepada manusia seperti peningkatan risiko kanser. Banyak kertas kajian yang menunjukkan bahawa terdapat kesan buruk penggunaan sinaran tidak mengion ini kepada badan manusia.
Adakah teknologi 5G selamat?
Kita masih belum tahu secara pasti sama ada teknologi ini selamat atau tidak dalam jangka masa panjang kerana teknologi ini baru sahaja diperkenalkan. Kajian terhadap penggunaan teknologi tanpa wayar seperti 2G, 3G, Wifi telahpun menunjukkan kesan buruk bagi pengguna yang kerap seperti peningkatan risiko kanser. Hanya masa serta sokongan dana terhadap kajian ini dapat memberikan jawapan jelas kepada kita.
Rujukan
- https://www.qualcomm.com/invention/5g/what-is-5g
- https://www.nature.com/articles/d42473-019-00009-7
- http://c4st.org/images/documents/Coureau_CERENAT_Cellphones__Brain_Tumors_5-8-14-1-1.pdf
- Kumpulan saintis EMF https://emfscientist.org https://www.nih.gov/news-events/news-releases/high-exposure-radio-frequency-radiation-associated-cancer-male-rats
- https://www.sciencedirect.com/science/article/abs/pii/S0269749116309526