Arah kiblat ialah arah dari lokasi tempatan ke Kaabah mengikut jarak terpendek dari kedua-dua lokasi ini. Mengetahui arah kiblat sangat penting kerana ia merupakan salah satu syarat sah solat. Sejarah arah kiblat ini bermula selepas kedatangan Islam. Pada mulanya, kiblat umat Islam adalah ke Bait Al-Maqdis di Palestin. Kemudian pada tahun ke-2 hijrah, dengan arahan Allah SWT, kiblat berubah kepada Masjid Al-Haram di Makkah. Pada era awal Islam ini, pencarian arah kiblat tidak begitu menjadi masalah kerana lokasi yang berhampiran dengan Makkah. Namun, apabila Islam berkembang ke seluruh dunia termasuklah ke Malaysia, penentuan arah kiblat menjadi permasalahan dalam ilmu astronomi atau ilmu falak. Dalam artikel ini, kita akan lihat berkenaan 5 kaedah penentuan arah kiblat yang digunakan hari ini.
Matahari Terbenam
Kita mungkin biasa dengan kaedah matahari terbenam ini di Malaysia. Kadang-kadang, kita dengar bahawa arah kiblat ialah arah barat. Oleh sebab Matahari terbenam di Barat, maka arah kiblat adalah pada arah Matahari terbenam. Arah kiblat adalah arah Matahari terbenam ini ada asasnya. Namun kita perlu tahu bahawa tempat terbenam Matahari sentiasa berubah. Perubahan tempat terbenam Matahari ini adalah disebabkan oleh kecondongan paksi Bumi dengan satah orbit, dan juga pusingan Bumi mengelilingi Matahari. Di Malaysia, arah kiblat adalah sekitar sudut azimut 291° hingga 293° dari arah utara. Jadi, kita perlu hitung sudut perbezaan antara Matahari terbenam dan azimut kiblat. Di bawah ini adalah jadual perbezaan sudut ini secara kasar.
Kaedah Azimut Matahari
Setiap hari, Matahari akan melintasi langit pada siang hari. Kedudukan Matahari yang berubah-ubah ini akan menghasilkan panjang bayang yang berbeza pada sudut yang berbeza. Perubahan arah bayang ini boleh membantu memberi nilai arah kiblat yang sebenar. Langkah pertama ialah menentukan azimut Matahari pada waktu yang dikira. Maklumat azimut Matahari boleh diperoleh daripada berbagai aplikasi, antaranya ialah Daff Moon Phase dan SkySafari 6. Daripada maklumat azimut Matahari, hitung perbezaan sudut antara azimut Kaabah (291°-293°) dan azimut Matahari dengan menggunakan bayang-bayang yang dihasilkan oleh Matahari. Kemudian, dapatkan arah kiblat dengan mengikut perbezaan sudut ini, beserta kedudukan Matahari
Kaedah Tongkat Istiwa
Sebelum kita pergi kepada kaedah ini, kita kena kenal dahulu dengan istilah ‘istiwa’. Istiwa ini bukanlah yang berkaitan dengan ayat istiwa dalam Al-Quran, tetapi berkaitan dengan arah kedudukan di langit. Sesuatu objek itu dikatakan ‘istiwa’ apabila ia berada betul-betul di atas sesuatu objek lain. Tongkat istiwa pula ialah tongkat yang berdiri pada sudut tegak (90°) dengan tanah. Pergerakan bayang tongkat ini akan memberikan arah timur dan barat. Bagi mendapatkan arah ini, kita hanya perlu tandakan ketinggian bayang tongkat ini dalam selang masa beberapa jam. Apabila kita sambungkan kesemua tanda tadi, kita akan dapat arah timur (ke arah terbit matahari) dan arah barat (ke arah terbenam matahari) dengan sangat tepat (lebih tepat berbanding kompas). Apabila kita tahu arah barat, kita hanya perlu pusing sebanyak 21°-23° ke kanan dari arah barat untuk mendapatkan arah kiblat.
Kaedah Aplikasi Telefon
Pada hari ini, hampir semua orang mempunyai telefon pintar dalam poket masing-masing. Malah sebahagian daripada pembaca artikel ini juga sedang membaca menggunakan telefon pintar. Biasanya telefon pintar pada hari ini mempunyai banyak pengesan (sensor) di dalamnya termasuklah kompas. Bagi menentukan arah kiblat menggunakan aplikasi telefon, terdapat banyak aplikasi yang ada di playstore/appstore namun tidak semuanya memberikan bacaan yang tepat. Aplikasi yang menggunakan kompas telefon (biasanya anda diminta membuat bentuk 8 sebelum menggunakannya) akan terdedah kepada gangguan interferens daripada alat-alat elektrik dan elektronik di sekeliling terutamanya di dalam bangunan. Jadi, saya tidak mengesyorkan aplikasi seperti ini melainkan dalam keadaan terdesak. Namun, ada aplikasi yang menawarkan penentuan arah kiblat dengan lebih tepat seperti Easy Qibla 3in1 (Arah Kiblat). Aplikasi ini menggunakan Google Maps untuk menunjukkan garisan arah kiblat, dan juga arah Matahari dan Bulan. Anda hanya perlu mengetahui arah Matahari, atau Bulan, atau apa-apa struktur disekeliling yang kelihatan dalam gambar Google Maps, dan terus dapatkan arah kiblat.
Istiwa A’dzam
Kaedah yang ini merupakan kaedah yang paling tepat dan boleh digunakan di mana-mana lokasi yang menerima cahaya matahari ketika fenomena ini berlaku. Istiwa a’dzam merujuk kepada kedudukan Matahari tepat di atas Kaabah yang berlaku 2 kali setiap tahun. Peristiwa Istiwa A’dzam berlaku pada 28 Mei sekitar jam 5:16 petang dan 16 Julai sekitar jam 5:28 petang waktu Malaysia. Pada waktu ini, anda hanya perlu melihat pada bayang-bayang objek yang tegak. Arah kiblat boleh diukur dengan arah bayang-bayang tersebut yang menuju ke Matahari.
Kesimpulan
Penentuan arah kiblat ini sangat penting bagi umat Islam bagi memastikan kesempurnaan solat kita. Ia juga telah membantu umat islam untuk maju dalam bidang ilmu falak. Maka, marilah kita berusaha memastikan solat kita sempurna, dan juga banyakkan belajar ilmu-ilmu baharu pada hari ini.
Perhatian!
Gunakan kaedah-kaedah ini di tempat-tempat perseorangan yang tidak pasti arah kiblatnya. Bagi rumah yang berdekatan dengan surau atau masjid, boleh rujuk pada arah kiblat surau atau masjid tersebut. Jangan ubah arah kiblat di surau atau masjid yang telahpun disahkan arah kiblatnya.