Kereta masa depan: Elektrik atau hidrogen?

Terkini, dalam fasa transisi ke arah kenderaan emisi sifar, kereta hibrid yang rendah karbon merupakan pilihan terbaik yang ada. Kereta hibrid ini menggunakan kombinasi lebih daripada satu enjin untuk menggerakkan kenderaan seperti contoh pengunaan petrol dan juga elektrik.

Penggunaan kereta hibrid tidak begitu meluas di Malaysia dengan hanya kira-kira 52,500 kenderaan didaftarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) daripada 2010 hingga 2019 dengan purata pendaftaran kereta hibrid sebanyak 5500 buah kenderaan setiap tahun. Jumlah ini sangatlah kecil jika dibandingkan dengan hampir 500,000 kenderaan yang didaftar oleh JPJ setiap tahun.

ELEKTRIK VS HIDROGEN

Kenderaan elektrik (EV) digerakkan oleh tenaga daripada pengecasan bateri manakala kereta  elektrik sel fuel (FCEV) adalah kereta yang menggunakan tindakbalas gas hidrogen dan oksigen melalui medium sel bahan api untuk penghasilan tenaga elektrik bagi pengecasan bateri sebelum digunakan untuk menggerakkan motor elektrik.

Jenama kereta yang terkenal dengan kereta elektrik seperti Audi, BMW, Mercedes Benz serta Tesla menawarkan model kereta dengan jarak perjalanan bermula sekitar 200 hingga 500 km bagi setiap kali pengecasan bateri. Manakala kereta hidrogen yang komersil pula dikeluarkan seperti Toyota Mirai (2015), Honda Clarity (2016) dan Hyundai Nexo (2018).

Jarak perjalanan bagi kereta hidrogen pula adalah sekitar 300 hingga 500 km bagi setiap kali pengisian penuh gas hidrogen. Sebagai perbandingan, jumlah masa yang diperlukan pengisian semula bahan api bagi kereta hidrogen hanyalah 2 hingga 3 minit manakala kereta elektrik memerlukan masa daripada 30 minit sehingga 12 jam bergantung kepada kapasiti pengecasan dan juga kapasiti bateri pada kereta.

Walau bagaimanapun, pemilikan kereta elektrik adalah jauh lebih murah daripada kereta hidrogen serta memerlukan kos penyenggaraan yang lebih rendah kerana kurang komponen mekanikal yang bergerak.

CABARAN PENGGUNA

Selain itu, cabaran pertama bagi adaptasi oleh pengguna di Malaysia adalah kos perolehan dan pemilikan kereta elektrik atau hidrogen itu sendiri.

Di Malaysia, harga kereta elektrik dijual bermula dengan harga sekitar RM 180,000 bagi kereta model Nissan Leaf. Kereta hidrogen seperti Toyota Mirai dan Honda Clarity tidak dijual di Malaysia.

Rajah 1: Kereta elektrik Tesla Model 3 (atas kiri), kereta hidrogen Toyota Mirai (atas kanan), kereta hidrogen Honda Clarity (bawah kiri) dan kereta elektrik Nissan Leaf (bawah kanan) untuk perbandingan kereta elektrik dan hidrogen yang ditawarkan dalam pasaran sekarang ini.

Sebagai perbandingan, harga bagi Toyota Mirai di Amerika Syarikat bermula sekitar RM 243,900 tidak termasuk duti import, duti eksais, cukai jualan, insuran, kos pengangkutan dan lain-lain. Daripada aspek kos pemilikan dan penyelenggaraan; kereta hidrogen adalah 70 peratus lebih mahal daripada kereta elektrik dan lebih 700 peratus lebih tinggi daripada kereta petrol.

Cabaran sebenar bagi pemilik kenderaan elektrik adalah jumlah stesen pengecasan elektrik dan juga masa yang diambil bagi pengecasan bateri. Sehingga Mei 2020, terdapat lebih 271 stesen pengecasan EV di 195 lokasi di 9 negeri seluruh Malaysia. Kebanyakan stesen pengecasan EV ini diletakkan dikawasan strategik seperti di Pusat Rawat & Rehat (R&R), stesen minyak dan juga hotel. Lokasi stesen pengecasan EV tidak menjadi masalah dikawasan bandar terutamanya di Lembah Klang. Tetapi pengecasan kereta elektrik agak sukar dilakukan dikawasan luar daripada Lembah Klang dan juga bandaraya besar seperti Johor Bahru, Ipoh dan Georgetown. Disebabkan itu, pengguna di Malaysia masih selesa menggunakan kereta yang menggunakan petrol dan diesel.

Setakat ini, kesesuaian penggunaan kereta elektrik adalah dikawasan bandar dengan jarak perjalanan sekitar 100 hingga 200 km. Begitu juga dengan kereta hidrogen, setakat ini hanya ada 6 stesen bersepadu pengeluaran dan pengisian semula gas hidrogen yang masing-masing berada di Kuching (2), Sri Aman (1), Sibu (1), Bintulu (1) dan Miri (1). Stesen ini dibangunkan oleh syarikat Linde dengan kerjasama Kerajaan Sarawak melalui anak syarikat kerajaan negeri, Sarawak Energy Berhad. Setakat ini masih belum ada stesen bersepadu pengeluaran dan pengisian semula gas hidrogen di Semenanjung Malaysia.

PENGGUNAAN KERETA KONVENSIONAL

Rakyat Malaysia masih lagi selesa dengan menggunakan kereta konvensional yang menggunakan petrol atau diesel disebabkan kekangan kos pemilikan dan penyenggaraan. Ini disebabkan terdapat jurang perbezaan yang signifikan (sehingga 6 kali ganda) dalam kos pemilikan kereta elektrik (paling asas) sekitar RM 180,000 dengan kereta petrol Proton Saga atau Perodua Bezza sekitar RM 30,000 – RM 40,000.

Selain itu, pemilikan kereta hidrogen pula adalah sangat jauh daripada jangkauan disebabkan kos pemilikan yang terlalu tinggi. Walau bagaimanapun, usaha penyelidikan dan pembangunan dalam aplikasi teknologi EV dan FCEV tetap perlu diteruskan oleh penyelidik tempatan dalam melahirkan pakar rujuk yang berkemahiran tinggi.

Impaknya akan dapat menurunkan kos pemilikan dan penyenggaraan kereta elektrik dan kereta hidrogen serta menjadikannya mampu milik oleh seluruh warga Malaysia pada masa akan datang.

Disamping itu, penggunaan kereta elektrik dan kereta hidrogen ini akan dapat mengawal pelepasan gas rumah hijau ke atmosfera seterusnya mengekang impak perubahan suhu dan iklim dunia.

Disediakan oleh;

Mohd Fadhzir Ahmad Kamaroddin

Pegawai Penyelidik Kanan,

Institute of Future Energy, Jabatan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi),

Universiti Teknologi Malaysia,

81310 UTM Johor Bahru, Johor.

Rujukan:

Sims, R., Creutzig, F., Cruz-Núñez, X., D’Agosto, M., Dimitriu, D., Josefina, M., Meza, F., Fulton, L., Kobayashi, S., Lah, O., McKinnon, A., Newman, P., Ouyang, M., Schauer, J. J., Sperling, D., & Tiwari, G. (2014). Transport; Climate Change 2014: Mitigation of Climate Change. Contribution of Working Group III to the Fifth Assessment Report of the Intergovern- mental Panel on Climate Change.


Ball, M., & Weeda, M. (2015). The hydrogen economy – Vision or reality? International Journal of Hydrogen Energy, 40(25), 7903–7919. https://doi.org/10.1016/j.ijhydene.2015.04.032

Hydrogen fuel cell vs electric car; What you need to know?

https://www.euronews.com/…/hydrogen-fuel-cell-vs-electric-c…

Ambrose, A. F., Al-Amin, A. Q., Rasiah, R., Saidur, R., & Amin, N. (2017). Prospects for introducing hydrogen fuel cell vehicles in Malaysia. International Journal of Hydrogen Energy, 42(14), 9125–9134. https://doi.org/10.1016/j.ijhydene.2016.05.122

Gambar:

https://www.toyota.com/mirai/

https://www.tesla.com/en_sg?redirect=no

https://automobiles.honda.com/clarity-fuel-cell#

https://www.nissan.com.my/vehicles/all-new-nissan-leaf/overview

Total
11
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.

Related Posts