Pernah terfikir tak tentang bagaimana bulan islam itu terbentuk dan siapa pengasasnya?
Secara umumnya kalendar membahagikan satu tahun kepada 12 bulan dan satu bulan kepada empat minggu.
SEJARAH KALENDAR ISLAM
Kalendar islam juga dikenali sebagai kalendar Hijrah. Kalendar Islam mula digunakan pada zaman pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab. Perkataan ‘Hijrah’ merujuk kepada perjalanan hijrah Rasulullah S.A.W dari Mekah ke Madinah.
Apabila Baginda S.A.W tiba di Madinah, Baginda S.A.W telah memerintahkan para sahabat untuk menggunakan sistem Tarikh. Baginda memperkenalkan permulaan Muharram yang diambil daripada kalendar lama masyarakat Arab Jahiliah. Dikatakan bahawa Rasulullah S.A.W telah memberitahu para sahabat dan menyuruh mereka menulis Tarikh. Tetapi, Baginda S.A.W tidak menetapkan satu sistem kalendar Islam.
Pada zaman Saidina Umar al-Khattab, barulah bermulanya satu sistem kalendar yang benar-benar tersusun.
Saidina Umar al-Khattab telah mewujudkan asas penetapan kalendar hijrah apabila beliau mengutus surat kepada Gabenor Basrah iaitu Abu Musa al-Asy’aridan. Beliau menulis dalam surat tersebut bulan Syaaban. Namun, Abu Musa al-Asy’ari tidak pasti adakah bulan Syaaban yang dimaksudkan oleh Saidina Umar ialah bulan Syaaban yang telah lepas atau yang akan datang. Maka, Saidina Umar al-Khattab memanggil dan mengumpulkan para sahabat untuk membincangkan masalah tersebut.
Bincang punya bincang, akhirnya mereka sebulat suara bersetuju mengambil Tarikh hijrah Rasulullah SAW. Hal ini kerana Tarikh itu diingati oleh ramai orang dan tidak ada pertikaian. Maka, bermulanya saat itu, awal bulan Islam dimulakan dengan bulan Muharram dan permulaan tahun dimulakan dengan hijrah Rasulullah.
BULAN-BULAN ISLAM DAN ASAL-USULNYA

Berikut adalah nama bulan-bulan Islam dan asal-usulnya. Tahukah anda bahawa setiap nama diambil sempena keadaan cuaca ataupun sesuatu peristiwa yang besar.
- Muharram
Bulan ini mengambil perkataan ‘haram’ yang bermaksud terlarang. Hal ini disebabkan oleh budaya atau tradisi Arab yang mengharamkan sebarang peperangan pada bulan ini. Selepas kedatangan Islam, budaya tersebut masih diteruskan.
- Safar
Perkataan ini bermaksud tiupan angin. Ketika nama ‘Safar’ mula digunakan, mungkin ketika itu adalah waktu berangin.
- Rabiulawal
Perkataan ini bermaksud bulan pertama musim bunga.
- Rabiulakhir
Perkataan ini bermaksud bulan kedua musim bunga.
- Jamadilawal
Erti perkataan ini ialah bulan pertama musim panas. ’Jumada’ bermaksud kering.
- Jamadilakhir
Maksud perkataan ini ialah bulan kedua musim panas.
- Rejab
Rejab juga ialah bulan suci yang mengharamkan peperangan. Bulan ini juga dikenali sebagai Rajab al-Fard. ’Fard’ bermaksud keseorangan kerana tiga bulan suci yang lain berada jauh dan berturutan berbanding Rejab yang berada di tengah-tengah.
- Syaaban
Kata ini berasal dari perkataan syu’ba yang bermaksud berpecah atau menyimpang. Hal ini kerana masyarakat Arab sering keluar dan berpecah untuk mencari air.
- Ramadan
Perkataan ‘Ramadan’ diambil dari perkataan ‘ramda’ .Maksudnya ialah batu yang panas kerana pada ketika itu cuaca amat panas.(sekarang pun lagi panas)

- Syawal
Perkataan ini diambil daripada perkataan yang membawa maksud ‘unta betina bunting’. Ketika nama bulan ini diberikan, lazimnya unta betina sedang bunting.
- Zulkaedah
Perkataan ini berasal daripada perkataan ‘qa’ada’ bermaksud ‘untuk duduk’. Bulan ini bulan suci yang ketiga. Oleh sebab itu, ramai orang menghentikan aktiviti perniagaan mereka untuk bersedia menunaikan Haji.

- Zulhijjah
Dalam bulan ini, haji dilaksanakan. Oleh sebab itu, perkataan ‘haji’ digunakan sebagai namanya. Bulan ini merupakan bulan suci terakhir dalam setahun dan sebarang pertempuran adalah dilarang.
Ditulis oleh,
Saudara Akmal Ridha, Pelajar Diploma UiTM.
RUJUKAN UTAMA :
- Misteri Ilmu Falak (2018), A.Faiz Salbini.
- Mukhtasar Ilmu Falak(2020), Mohamad Faizal Bin Jani.
- https://bem.univthamrinaka.com/2015-05-05-02-05-11/2015-05-05-02-06-43/296-sejarah-terbentuknya-kalender-islam