Bila kita menyebut perihal figura lelaki bijak terutamanya dalam bidang Sains dan Matematik, pasti minda kita terbayang seorang yang botak, ataupun hanya botak di bahagian tertentu. Betul tak?
Mungkin lah tak semua berfikiran sedemikian. Tapi, kebanyakan. Kan?
Seolah-olah botak itu sudah sinonim dengan seseorang yang bijak. Kalau seseorang itu belum botak, mungkin dia belum mencapai tahap kebijakan yang cukup. Kononnya lah.
Sehinggakan seorang profesor Matematik di Indonesia, iaitu Dr. Hadi Susanto menceritakan dalam bukunya bagaimana ketika beliau kecil, beliau ingin menjadi seorang yang bijak, tetapi takut menjadi botak. Stereotaip ini telah menjatuhkan motivasinya ketika itu.
Bukan itu sahaja, selain daripada anggapan ‘botak’, masyarakat kita juga sering membayangkan satu ciri khusus tentang seseorang yang dianggap bijak, atau mungkin genius.
Antaranya, mereka ini seorang yang sombong, sukar didekati, terdedah kepada gangguan mental kerana terlebih menggunakan otak untuk berfikir, terdedah kepada penyakit jiwa, tidak pandai bersosial dan mereka ini sudah bijak sejak kecil lagi.
Sebenarnya, stereotaip ini tidak hanya melanda Negara kita, tetapi juga Negara-negara luar, terutamanya Barat. Hakikat ini dapat dilihat menerusi beberapa filem mereka yang membawa penceritaan sosok genius.
Persoalannya, apakah ini sebuah kebenaran atau hanyalah stereotaip masyarakat?
FAKTA MENGENAI BOTAK
Sehingga kini, tiada kajian khusus yang membuktikan bahawa seseorang yang bijak itu akan botak. Mungkin kita melihat beberapa figura yang botak, tetapi masih ramai yang tidak botak sebenarnya.
Jika kita lihat dari aspek pembuktian saintifik, botak atau nama lainnya ialah androgenetic alopecia sebenarnya berkait rapat dengan faktor keturunan dan persekitaran.
Androgenetic alopecia
Sedap pula namanya. Huh!

Androgenetic alopecia ialah keadaan bilamana seseorang itu kehilangan rambut. Menurut kajian kesihatan, antara faktor yang membuatkan seorang lelaki mengalami keadaan ini adalah disebabkan oleh faktor genetik dan hormon androgen. Hormon ini terdapat dalam badan lelaki dan perempuan, tetapi jumlahnya lebih tinggi pada lelaki memandangkan hormon ini merupakan komponen utama dalam pembentukan ciri-ciri fizikal dan seksual lelaki setelah akil baligh.
Terdapat tiga jenis Alopecia, iaitu :
- Alopecia areata : Kebotakan berlaku di tempat tertentu di kepala.
- Alopecia totalis : Kebotakan berlaku sepenuhnya dan merata di seluruh kepala.
- Alopecia univeralis : Kebotakan yang menghilangkan semua rambut di kepala.
Jenis kebotakan yang sering dialami oleh kebanyakan orang ialah alopecia areata.
Sebelum tu, jom kita ketahui dahulu tentang kitaran pertumbuhan rambut manusia.
KITARAN PERTUMBUHAN RAMBUT
Dalam kitaran pertumbuhan rambut, terdapat tiga fasa iaitu anagen, catagen dan telogen.

Fasa anagen merupakan fasa pertumbuhan aktif folikel rambut. Sel-sel di akar rambut akan membahagi dengan cepat, menambah batang rambut dan rambut di kepala akan kekal selama dua hingga enam tahun. Jumlah tempoh masa folikel rambut berada di fasa anagen ditentukan secara genetik. Terdapat mereka yang secara semulajadi mempunyai fasa anagen yang lebih lama dan pertumbuhan rambut berlaku dengan sangat lama.
Kemudian, fasa ini akan masuk ke fasa seterusnya tanpa kita sedar.
Fasa catagen merupakan tahap peralihan pendek yang berlaku pada akhir fasa anagen, menandakan berakhirnya pertumbuhan rambut yang aktif. Rambut akan terlepas daripada bekalan darah dan berlangsung selama dua hingga tiga minggu sementara terbentuknya rambut kelab, ataupun rambut mati kerana selepas itu rambut tidak lagi akan bertambah panjangnya dan kekal dalam bentuk asal.
Setelah selesai, folikel rambut akan memasuki fasa telogen, iaitu fasa rehat.
Di fasa telogen, rambut akan berehat di dalam folikel sehinggalah bermula semula kitaran pertama, anagen. Dalam fasa inilah berlakunya keguguran rambut kerana rambut kelab mudah untuk luruh yang menyebabkan kebiasaannya kita kehilangan 50 hingga 100 helai rambut setiap hari. Selepas tiga bulan, folikel akan kembali ke fasa anagen dan memula semula pertumbuhan rambut yang baru.
FAKTOR ALOPECIA
Berbalik kepada perbahasan utama artikel mengenai faktor berlakunya kebotakan ataupun alopecia adalah berkait dengan hormon androgen.
Kat mana yang kait tu?
Menurut beberapa kajian, peningkatan penghasilan androgen (tahap penghasilan hormon ini bergantung kepada genetik) dalam folikel rambut boleh memendekkan kitaran pertumbuhan rambut yang mengakibatkan fasa anagen menjadi pendek. Hal ini bermakna fasa pertumbuhan rambut hanya berlaku dalam tempoh yang singkat dan juga membawa kepada kelewatan dalam pertumbuhan rambut baru bagi menggantikan helai yang telah gugur. Dalam keadaan ini, folikel rambut melalui proses ‘follicular miniaturization’ yang mengakibatkan rambut menyusut dan menghasilkan batang rambut yang pendek dan nipis.
Situasi inilah antara yang menjadi faktor alopecia, ataupun kebotakan.
Jika dibaca beberapa kajian lain, sebenarnya ini adalah salah satu hasil kajian mengenai faktor kebotakan, tetapi mungkin ada faktor-faktor lain yang belum ditemui sehingga kini.
Tetapi, yang pasti, kebijaksanaan ataupun ke’genius’an mungkin bukan salah satu faktornya. Kalau benarlah kebijaksanaan menjadi faktor kebotakan, pasti sudah ada kajian saintifik yang dijalankan bagi membuktikan kebenarannya. Kan? Logiknya begitulah.
KAJIAN LAIN
Cumanya, terdapat kajian yang mendapati bahawa lelaki botak itu memang dilihat lebih bijak dan menarik buat kaum wanita, berbanding lelaki yang berambut.
Dr. Frank Muscarella daripada Florida’s Barry University telah menjalankan satu kajian sosial ke atas beberapa orang responden yang akhirnya menunjukkan hasil bahawa lelaki yang botak itu kelihatan lebih jujur, bijak dan kuat.
Kajian ini, kemudiannya dibuktikan lagi dengan susulan kajian selepas itu oleh seorang pakar psikologi di Universiti Pennsylvania dan beberapa pengkaji dari Universiti Saarland yang menganalisa data berdasarkan pandangan 20,000 orang menerusi kaedah pengundian.
Walaubagaimanapun, kajian ini bukanlah hujah bahawa seseorang yang bijak itu akan menjadi botak kerana ini hanyalah kajian sosial berdasarkan kepada pemerhatian kebanyakan manusia secara kasar. Boleh jadi, minat mereka pada beberapa artis Hollywood yang botak dan dianggap kacak seperti Jason Statham, Bruce Wills dan Dwayne Johnson mempengaruhi keputusan mereka. Mungkinlah.


Adapun untuk sikap-sikap yang lain yang dilihat sinonim dengan orang bijak, itu bergantung kepada keperibadian dan kehidupan masing-masing. Sebenarnya ramai saja mereka yang bijak, tapi peramah, mudah didekati dan suka untuk mendekati. Kita dapat lihat profesor-profesor dan pengkaji di Malaysia yang tergolong dalam golongan intelek, bijak dan mungkin genius. Mereka tidak pernah lokek untuk berkongsi ilmu dan menyambut sesiapa sahaja yang ingin bertemu dengan mereka.
Paling utama, kebanyakan daripada mereka adalah tidak botak!
KESIMPULAN
Maka, jangan pernah takut untuk menjadi bijak hanya kerana bimbangkan kebotakan ya.
Sesungguhnya menjadi orang yang bijak merupakan tuntutan agama. Dengan kebijaksanaan, barulah kebenaran dapat tertegak. Teruskan menuntut ilmu selagimana masih diberi peluang bernyawa di dunia. Jangan pernah merasa cukup dengan ilmu yang kita ada. Jika kita merasa kita sudah tahu semua, hakikatnya kita hanyalah tahu tidak sampai satu peratus daripada ilmu Allah yang Allah sediakan untuk hamba-Nya.
Allah SWT jelaskan hal ini di dalam al-Quran bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan.” (Surah al-Kahfi, ayat 109)
Allah sebut juga dalam Surah al-Israk, ayat 85 : “… dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja.”
Memang mustahil untuk kita mengetahui semua ilmu Allah yang begitu luas ini, tetapi berusahalah mencari sebanyaknya ilmu yang diizinkan-Nya untuk pengetahuan seorang manusia biasa, sepanjang berada di muka bumi Allah ini.
RUJUKAN
- https://medlineplus.gov/genetics/condition/androgenetic-alopecia/#causes
- https://www.healthline.com/health/male-pattern-baldness
- https://ms.approby.com/the-anagen-phase-of-hair-growth/
- https://ms.approby.com/bagaimana-anda-tahu-jika-anda-mempunyai-rambut-kelab/
- https://www.health.harvard.edu/staying-healthy/treating-female-pattern-hair-loss
- https://theleaders-online.com/bald-men-are-sexier-more-masculine-scientific-study-finds/
- https://brightside.me/wonder-curiosities/bald-guys-are-more-intelligent-and-successful-study-shows-787960/
- https://zulhusnisalha.com/hormon-dht-beri-kesan-buruk-pada-rambut/