TUKANG JAHIT INI CIPTA PEMBARIS SENDIRI, D’ATHIRAH MAGIC RULER!

Setelah melihat kesusahan anak muridnya untuk melukis pola jahitan, maka terciptalah ‘D’Athirah Magic Ruler’ pada tahun 2016. Demikianlah, ilham yang Allah berikan kepada anak kelahiran Kuching, Sarawak yang berusia 39 tahun ini, iaitu Nur ‘Athirah Razali.

Sumber : Bernama

Menurut laporan Bernama, sebanyak 15 jenis pembaris pola telah berjaya dihasilkan oleh Nur ‘Athirah antaranya untuk  jahitan pakaian wanita, seluar lelaki, pakaian tradisional Melayu dan pakaian kanak-kanak dengan lebih 1,000 pembaris pola telah dijual pada harga antara RM95 hingga RM160 untuk setiap pembaris.

Menyingkap sedikit latar belakang Nur ‘Athirah Razali, beliau pernah mempunyai akademi jahitannya sendiri di Shah Alam, Selangor dan berjaya melahirkan lebih 200 orang tukang jahit setakat ini. Kebanyakan daripada pelajarnya sudah mempunyai perniagaan sendiri setelah mempelajari penggunaan kaedah inovasi ‘Athirah iaitu Magic Ruler yang menjimatkan masa dan meningkatkan produktiviti.

Penginovasian beliau ini telah melayakkan beliau merangkul beberapa anugerah peringkat negara, antaranya juara pertandingan Yayasan Inovasi Malaysia pada tahun 2016 dan pemenang emas Anugerah Harta Intelek Negara (Rekabentuk Perindustrian) pada tahun 2018. Terbaru, beliau telah memenangi Pertandingan Inovasi dan Rekacipta (IRC) 2021 anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Yayasan Inovasi Malaysia.

Menarik lagi apabila inovasinya ini turut digunakan untuk membantu golongan Orang Kurang Upaya (OKU) terutamanya pelajar sekolah pendidikan khas. Menurut ‘Athirah, lebih 10 sekolah di sekitar ibu negara menggunakan Magic Ruler ini sebagai bahan silibus, termasuklah pelajar yang ‘mild-autism’. Beliau berhasrat untuk melebarkan lagi potensi Magic Ruler ini ke pasaran Singapura, Indonesia dan Brunei, selain bercadang untuk menginovasikan lagi Magic Ruler dengan menggunakan tulisan Braille atas pembaris bagi membolehkan golongan OKU penglihatan mendapat manfaat melaluinya.

Subhanallah, hebat!

Bukan mudah untuk seseorang itu hasilkan satu inovasi yang sebegini biarpun banyak mana permasalahan terbentang di hadapan mata sekiranya tiada ilmu di dada. Menerusi perbualan Nur ‘Athirah bersama Bernama baru-baru ini, beliau memaklumkan bagaimana pengetahuan Matematik menjadi asas ilmu untuk beliau hasilkan pembaris ini.

“Pola merupakan acuan badan seseorang untuk penghasilan pakaian dan ia memerlukan pengiraan berdasarkan beberapa formula untuk menghasilkan sesuatu pakaian yang sesuai dengan bentuk badan. Melalui inovasi yang ada pada pembaris ini, tukang jahit mampu menghasilkan pola dengan mudah dan tepat kerana terdapat arahan berabjad, formula sedia ada dan bahagian lengkungan berkenaan,” – Nur ‘Athirah Razali.

Sumber : Bernama

Sumber rujukan : Berita Bernama, https://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=2052676

Total
104
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.

Related Posts