PERANG ANTARA RATU LEBAH

Semua antara kita pasti biasa merasai kemanisan madu. Rasa manis yang unik dan mempunyai seribu satu khasiat ini menaikkan lagi nilai dan harga madu. Tetapi tidak banyak yang sedar, di sebalik penghasilan madu ini terdapatnya suatu ekosistem lebah yang bekerja keras mengumpul dan menyimpan madu-madu ini di dalam sarangnya.

EKOSISTEM LEBAH DALAM PENGHASILAN MADU

Dua belas ekor lebah pekerja akan mengambil masa sepanjang hayatnya untuk mengumpul madu sebanyak satu sudu teh. Selain lebah pekerja, di dalam sarang lebah, ada seekor ratu lebah yang betul-betul dijaga rapi oleh lebah pekerja. Lebah pekerja ini akan menyediakan tempat dan makanan kepada ratu lebah. Tugas utama ratu lebah adalah bertelur dan memastikan populasi lebah sentiasa pada kadar yang maksimum antara 10,000 hingga 50,000 mengikut kepada spesies lebah itu.

Foto 1 Lebah bertanda merah merupakan ratu lebah yang sedang dikerumuni oleh lebah pekerja

Apabila ratu lebah mulai kurang bertelur, hal ini sangat merisaukan semua lebah pekerja yang ada di koloni itu. Keadaan ini bermakna populasi lebah untuk sarang itu akan mulai merosot dan kemudiannya akan menyebabkan kemusnahan kepada koloni tersebut. Selalunya, ratu lebah yang mulai kurang bertelur ini, ialah ratu lebah yang sudah tua. Jangka hayat seekor ratu lebah adalah antara tiga hingga ke lima tahun. Manakala usia lebah pekerja hanyalah 38 hari. Disebabkan jangka hayat lebah pekerja yang pendek, ratu lebah perlu bertelur lebih kurang 2000 telur sehari untuk menggantikan lebah pekerja yang telah mati.

CARA LEBAH PEKERJA MEMBANTU KESTABILAN KOLONI

Lebah pekerja mengetahui ratu lebah sudah tidak se-efisien seperti sebelumnya dengan kaedah mengesan feromon atau isyarat kimia yang rendah kandungannya, dirembes oleh ratu lebah.  Tika  ini, lebah pekerja akan memilih 10 sehingga 20 larva lebah betina dan mulai memberi jeli raja untuk dimakan oleh lebah-lebah ini.  Jeli raja ini akan membantu untuk membentuk sistem pembiakan lebah kepada sistem pembiakan betina.

Apabila larva ratu lebah yang baru ini sudah bersedia memasuki fasa pupa, lebah pekerja akan menutup sel tempat pupa ratu lebah yang baru ini. Selepas 15 hari, ratu lebah dara yang baru ini berubah sepenuhnya kepada ratu lebah dara yang dewasa. Ratu lebah dara ini akan mulai mengunyah sel dengan bantuan lebah pekerja. Ratu dipanggil ratu lebah dara kerana belum mengawan dengan lebah jantan.

Foto 2 Larva lebah dibekal dengan jeli diraja sebagai makanan

RATU LEBAH DARA

Apabila ratu lebah dara ini keluar, ratu lebah dara ini akan membunuh semua adik-beradik perempuannya yang diberi makan jeli raja oleh lebah pekerja. Cara pembunuhannya ialah ratu lebah dara ini akan mendengung dengan nada yang tinggi. Ratu lebah dara yang lain juga akan mendengung dengan nada yang tinggi. Kedua-dua ratu lebah dara yang baru ini akan mencari antara satu sama lain sehingga mereka berjumpa dan mulai bertarung sehingga hayat yang terakhir. Senjata utama yang digunakan oleh ratu lebah dara untuk membunuh satu sama lain adalah penyengat yang berada pada hujung bawah badan. Terdapat juga ratu lebah dara yang baru ini tidak sempat lagi keluar dari selnya tetapi sudah menjawab degungan ratu lebah dara yang sudah keluar. Ratu lebah dara yang di luar ini akan pergi mencari ratu lebah dara yang masih berada di dalam selnya dan akan menyengat ratu lebah dara ini dari luar sehingga ratu lebah dara ini mati.

Foto 3 Pertarungan antara ratu lebah

PERTARUNGAN RATU LEBAH

Selesai pertarungan hidup dan mati ini, ratu lebah dara yang menang akan mulai terbang untuk mengawan dengan lebah jantan. Apabila ratu lebah ini selesai mengawan, ratu lebah ini akan pulang semula ke sarangnya. Di sini akan bermula lagi satu pertarungan antara ratu. Kali ini ratu lebah yang baru akan menyerang ratu lebah yang lama. Ataupun ibu kepada ratu lebah yang baru ini. Ratu lebah yang baru ini akan memanjat dan cuba memegang ratu lebah yang lama atau ibunya daripada atas badan. Kemudian ratu lebah yang baru ini akan mencucuk berkali-kali sengatnya yang berada pada bahagian bawah hujung badannya ke badan ratu lebah yang lama. Ratu lebah yang lama akan cuba melarikan diri. Tetapi, ratu lebah yang baru ini akan memegang dan mengikut daripada belakang badan ratu lebah yang lama. Tidak kira di mana ratu lebah yang lama cuba bergerak, ratu lebah yang baru akan terus menyengat ratu lebah yang lama sehingga mati. Apabila ratu lebah yang lama telah mati, lebah pekerja akan menguruskan bangkai ratu lebah yang lama ini.

Terdapat juga peristiwa dimana lebah pekerja sendiri yang membunuh ratu yang lama dengan mengepung secara padat ratu lebah yang lama ini secara beramai-ramai. Hal ini akan menyebabkan suhu badan ratu lebah lama ini meningkat secara mendadak dan akhirnya mati.

KESIMPULAN

Inilah sedikit daripada kisah-kisah alam haiwan, bagaimana tingkah laku permasuri lebah dalam memastikan kelangsungan hidupan lebah dari generasi ke generasi yang seterusnya. Kita sebagai manusia apabila melihat pertarungan inipasti merasakan seolah-olah sangat kejam. Adik beradik berbunuhan demi memastikan satu sahaja ratu lebah yang menang. Begitu juga pembunuhan ratu lebah yang baru terhadap ibunya untuk memastikan koloni lebah itu hanya ada seekor ratu.

Hakikatnya, kisah ini adalah sangat tidak asing dalam kalangan manusia. Kita dapat analogikan dalam kehidupan kita bahawa tanpa pegangan agama dan moral yang kuat, seseorang manusia itu sanggup melakukan apa sahaja bentuk kezaliman demi meraih kuasa, harta dan pangkat.

Rujukan

Wikipedia , Queen bee, https://en.wikipedia.org/wiki/Queen_bee

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts