Kebelakangan ini, kesedaran berkaitan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja telah menjadi bualan dalam kalangan pekerja. Kesedaran berkaitan hal ini amat penting bagi memastikan semua pekerja menyedari hak mereka dalam aspek kesihatan dan keselamatan di tempat kerja.
Tahukah anda di Malaysia sebenarnya tumpuan berkaitan kesihatan dan keselamatan di tempat kerja telah sekian lama dititikberatkan oleh kerajaan. Kewujudan Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (JKKP) bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM) merupakan salah satu langkah yang diambil oleh kerajaan bagi mengawal selia situasi keselamatan dan kesihatan industri-industri di Malaysia.
Sejarah KKP di Malaysia
Sejak akhir abad ke 19 lagi, peranan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di Malaysia telah diperkenalkan. Pada ketika itu, penggunaan dandang stim telah diperkenalkan bagi memudahkan proses melombong bijih timah di lombong-lombong sekitar tanah air. En. William Givan merupakan orang pertama yang telah dilantik sebagai Pemeriksa Jentera pada tahun 1878 untuk memeriksa keselamatan dandang stim.
Selepas itu, kerajaan Negeri Perak telah memperkenalkan sistem yang mana mesin ini diperiksa oleh orang perseorangan yang dikenali sebagai boiler surveyor. Ketika ini, semua enakmen dandang stim bersifat kenegerian. Setiap negeri Melayu Bersekutu mempunyai undang-undang tersendiri. Namun, pada tahun 1914 enakmen-enakmen dandang di setiap negeri Melayu Bersekutu telah dimansuhkan dan perundangan baru telah diperkenankan. Enakmen ini dikenali sebagai Machinery Enactment 1913. Tujuan utama kerajaan ketika itu memperkenalkan enakmen ini adalah untuk meluaskan lagi tanggungjawab pemeriksa untuk memeriksa bukan sahaja dandang stim tetapi juga pemeriksaan ke atas jentera-jentera lain termasuklah turbin air dan enjin pembakaran dalam. Ketika pengenalan undang-undang ini, jawatan boiler surveyor telah dimansuhkan dan jawatan baru telah diperkenalkan iaitu Inspector of Machinery and Assistant Inspection of Machinery.
Tahun-tahun berikutnya telah merekodkan beberapa kali undang-undang berkaitan telah dimansuhkan dan ditambah baik. Pada tahun 1953, Machinery Ordinance 1953 telah diperkenankan di seluruh tanah air. Dalam penguatkuasaan ordinan ini, peranan Pemeriksa sekali lagi telah diperluaskan yang meliputi keselamatan pekerja di kilang-kilang yang menggunakan jentera.
Namun, terdapat kekurangan apabila aspek kesihatan tidak dititikberatkan walaupun terdapat klausa berkaitan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja. Bagi menyelesaikan masalah ini, pada tahun 1967 parlimen telah meluluskan satu akta yang dikenali sebagai Akta Kilang dan Jentera. Dalam akta ini terdapat satu akta ibu dan lapan peraturan-peraturan yang telah dikuatkuasakan pada tahun 1970. Melalui undang-undang ini, skop liputan ke atas pekerja telah diperluaskan iaitu pekerja di tempat kerja yang tiada penggunaan jentera juga dilindungi. Selain itu, penumpuan terhadap kesihatan industri juga dititikberatkan.
Pengenalan Akta Kilang dan Jentera pada tahun 1967 hanyalah meliputi sektor perkilangan, perlombongan dan penguarian, serta pembinaan. Akta ini tidak meliputi sektor-sektor lain seperti industri perkhidmatan, logistik dan lain-lain. Akta Kilang ini hanyalah meliputi 24% tenaga kerja yang ada ketika itu. Tiada akta telah diperkenankan bagi mengawal selia aspek kesihatan, keselamatan dan kebajikan pekerja kepada sektor-sektor lain. Hal ini menyebabkan tenaga-tenaga kerja ini terdedah kepada diskriminasi berkaitan kesihatan dan keselamatan di tempat kerja. Bagi menyelesaikan masalah ini, pada tahun 1993 kerajaan telah meluluskan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (AKKP 1994) dan diwartakan pada tahun 1994. Dengan pengenalan akta ini, 90% tenaga kerja mendapat perlindungan seperti yang tertakluk dalam akta tersebut. Hal ini kerana akta ini telah mengecualikan tenaga kerja yang bekerja di atas kapal dan Angkatan tentera. Akta yang baharu diperkenalkan ini sedikit berbeza dengan akta sebelumnya kerana akta ini menumpukan pengaturan kendiri berbeza dengan akta kilang dan jentera yang menumpukan penguatkuasaan.
Dalam akta 1994, tiga prinsip telah diperkenankan iaitu pengaturan kendiri (Self-regulation), perundingan (consultation) dan Kerjasama (co-operation). Akta ini memberi kuasa kepada majikan untuk membangunkan sistem pengurusan KKP mengikut garis panduan yang telah ditetapkan. Majikan, pekerja dan kerajaan perlu berunding bagi menyelesaikan apa-apa masalah yang timbul di tempat kerja. Majikan dan pekerja juga perlu bekerjasama untuk menjaga dan meningkatkan mutu KKP di tempat kerja. Dengan kewujudan akta ini, JKKP telah ditubuhkan dan Pemeriksa dikenali sebagai Pegawai Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.
Pada tahun 2021, Parlimen telah membentangkan bil Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan 2020 bagi mengukuhkan lagi akta sedia ada. Antara tujuan pengenalan bil ini adalah untuk memansuhkan akta kilang dan jentera 1967 yang lama.
Diharapkan dengan pengenalan bil baharu ini, dasar kesihatan dan keselamatan pekerjaan di Malaysia dapat menuju ke alaf baru dan setaraf dengan negara-negara maju yang lain. Sebagai pekerja, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mengetahui akta-akta yang melindungi hak kita dalam aspek KKP.
Rujukan
- Akta Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan 1994
- Akta Kilang dan Jantera 1967
- https://www.yumpu.com/id/document/read/45876718/sejarah-keselamatan-dan-kesihatan-pekerjaan-di-
- http://keselamatandankesihatanpekerja.blogspot.com/2010/07/bab-1-keselamatan-dan-kesihatan.html
Ditulis oleh Saudara Asmi Syamim, Pengamal Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan dan Pelajar Sarjana Kejuruteraan Keselamatan Kebakaran.