Faktor luar biasanya muzik Beethoven biarpun beliau tidak dapat mendengar!

Siapa tidak kenal dengan Beethoven, penggubah muzik teragung dalam sejarah yang hidup sekitar tahun 1770 – 1827.

Demi menyatakan suara hati dan perasaannya, muzik menjadi medium utama sehingga terhasilnya gubahan-gubahan yang luar biasa. Sehingga kini, muzik-muziknya terus dimainkan di seluruh dunia baik di dalam filem, drama, ataupun secara santai. 

Tetapi, tahukah anda bahawa Beethoven telah mengalami masalah pendengaran ketika beliau di usia 20-an dan hilang sepenuhnya pendengaran ketika beliau berumur 40-an. Walaupun begitu, gubahannya tetap diteruskan dan hasilnya masih harmoni dan lunak di pendengaran umum.

Bagaimana keharmonian not muziknya dapat dipastikan sedangkan deria pendengarannya tidak berfungsi?

Sebelum kita menjawab persoalan ini, kita dalami dahulu kisah kehidupan Beethoven.

Kehidupan Beethoven

Ludwig van Beethoven dilahirkan pada tahun 1770 di Jerman dan merupakan anak kepada seorang ahli muzik abad ke-18. Namun begitu, masa kecilnya agak terseksa dengan keadaan keluarga yang tidak stabil dan ayahnya merupakan kaki arak setelah kematian datuknya pada tahun 1773. Yang kemudiannya beliau terpaksa memelihara dan menyara keluarganya dengan pendapatan sebagai pengajar dan pemain biola. 

Dalam aspek pendidikan, ayahnya cuba membentuk dirinya menjadi seperti Mozart setelah melihat bakat Beethoven dalam memainkan piano. Beethoven telah diajar sendiri oleh ayahnya dan beberapa orang guru yang diupah untuk mengasah keupayaannya seawal berumur lima tahun. Dikatakan juga bahawa beliau pernah bertemu dengan Mozart ketika beliau berumur enam belas tahun dan Mozart memperakui bahawa Beethoven bakal terserlah bakatnya suatu hari nanti.

Ketika di Vienna, beliau berguru dengan Haydn dan membentuk dirinya sebagai seorang pemain piano berbanding menjadi komposer. Pada tahun 1795, pertama kali Beethoven keluar sebagai pemain piano dengan muzik konserto keduanya. 

Perjalanan kehidupannya dalam arena muzik berlaku di era transisi Klasik ke era Romantik (moden). Beethoven telah menggubah irama-irama mengikut keadaan semasa dengan begitu kreatif. Di perawalan era klasik, karyanya masih sama dengan konsep yang dibawa oleh Haydn dan Mozart. Setelah itu, karyanya terus diinovasi dan simfoni-simfoni yang terhasil tidak pernah sama dengan hasil-hasil yang sebelumnya apatah lagi setelah berlakunya era Revolusi.

Ketika umurnya 30 tahun, Beethoven berjaya menggubah beberapa muzik piano dan simfoni pertamanya.

Detik hilangnya deria pendengaran

Ketika pertengahan umur 20 tahun, Beethoven mula merasakan sesuatu berdesing di telinganya setelah beliau berjaya membina reputasi sebagai seorang ahli muzik dan komposer. Punca penyakitnya ini tidak dapat dikenalpasti dengan tepat. 

Ketika beliau berumur 30 tahun, beliau telah mengutus satu surat kepada teman kecilnya yang merupakan seorang doktor, bagi menceritakan keadaan penderitaannya itu.

Beethoven memaklumkan bahawa deria pendengarannya semakin merosot sejak tiga tahun lepas dan apabila beliau berada di teater, beliau perlu berdiri berhampiran dengan orkestra bagi mendengar dengan jelas setiap muzik yang dimainkan dan nyanyian yang dipersembahkan. Kadangkala, beliau sukar mendengar perbualan yang menggunakan suara perlahan. Namun, sekiranya ada yang menjerit, telinganya akan sakit. Malah, selama dua tahun beliau mengelak daripada terlibat dalam aktiviti sosial kerana mustahil untuk beliau memaklumkan bahawa beliau sudah pekak. Apatah lagi hal tersebut akan memberi kesan kepada pekerjaannya.

Pernah sekali Beethoven ke luar bandar bersama rakan komposernya, Ferdinand Ries dan terlihat sekelompok manusia bermain alat muzik. Daripada reaksi wajah Ries, Beethoven boleh mengagak bahawa muzik yang dimainkan itu adalah indah, tetapi beliau tidak dapat mendengarnya. Dan inilah detik pertama beliau hilang sepenuhnya deria pendengaran.

Sudah pasti sebelum itu beliau telah berikhtiar pelbagai cara perubatan, namun tidak memberi kesan. Kemudian, beliau berputus asa dengan kaedah perubatan dan hanya menggunakan alat bantuan pendengaran istimewa. 

Namun begitu, penyakitnya ini tidak menghentikan Beethoven daripada terus berkarya dan berjaya dalam bidangnya. Dalam kerja awalnya dapat didengar penggunaan frekuensi dengan not yang tinggi. Semakin lama gubahannya menggunakan not-not rendah seperti ‘Moonlight Sonata’ bagi menyesuaikan kejelasan not di telinganya. Karya pianonya terkenal, ‘Fur Elise’ digubah ketika beliau hampir pekak sepenuhnya. 

Ketika deria pendengarannya hilang sepenuhnya, beliau memilih untuk memencilkan diri dan hanya rakan-rakan terpilih sahaja yang boleh melawatnya dengan berbicara menerusi penulisan atas kertas.

Ketika ini, Beethoven terus menggubah karya agungnya dalam diam dengan gaya gubahannya juga berubah kepada nada yang lebih gelap, mencerminkan kehidupannya yang berbeza dalam keadaan pekak. Irama tersebut yang menggambarkan ketenangan luar bandar iaitu Simfoni Keenam atau Simfoni Pastoral. Namun, terdapat juga gubahannya yang menggunakan not yang tinggi kerana kerjanya ini terhasil menerusi imaginasinya sahaja.

Mengikut catatan, baginya muzik merupakan satu bahasa dengan syarat. Apabila semua syarat itu dipenuhi, maka, Beethoven boleh menghasilkan irama tanpa perlu mendengar dan hanya membayangkan komposisi bunyi yang bakal terhasil.

Terdapat juga catatan yang menceritakan tentang orang suruhan di rumahnya mendedahkan keadaan Beethoven menggubah lagu ketika deria pendengarannya semakin merosot. Menurutnya, Beethoven akan menggunakan sangkakala telinga untuk mengarang di piano dan menggunakan batang pensil di celah-celah giginya untuk merasai getaran ketika bermain.

Kemampuan beliau ini masih menimbulkan tanda tanya beberapa ahli cendekiawan. Biarpun kemahirannya ini kerana sudah terasah selama hampir separuh kehidupannya, tetapi pasti ada unsur lain yang perlu diselidiki yang menjadikan hasil gubahan Beethoven terus baik dan harmoni.

Beberapa ahli matematik cuba mengaitkan keadaan ini dengan konsep aritmetik dan siri geometri.

Mungkinkah Beethoven mengira dan membayangkan not-not muzik dengan nisbah dan kadaran aritmetik di dalam fikirannya untuk menghasilkan keharmonian dalam hasilnya sepertimana penemuan Pithagoras tentang perkaitan muzik dan matematik?

Matematik dan Muzik

Mengikut catatan Abdul Latif (1992), pada abad keenam Masihi, seorang ahli falsafah Rom iaitu Boethius telah menceritakan detik permulaan Pithagoras mengkaji tentang irama muzik apabila Pithagoras mendengar bunyi pukulan tukul besi yang berlainan ke atas pelapik.

Sangkaan awal beliau ialah bunyi yang berirama itu telah terhasil disebabkan kekuatan pekerja, tetapi, setelah diulangi semula proses pukulan oleh pekerja yang ditukar tukul masing-masing, beliau menyimpulkan bahawa bunyi tersebut kesannya daripada hasil pukulan tukul besi, bukannya disebabkan kekuatan pekerja. 

Kemudian, Pithagoras menimbang berat setiap tukul dan mendapati berat setiap tukul itu berbeza dan menghasilkan nisbah nombor-nombor 12, 9, 8, dan 6. Tetapi, berat tukul kelima tidak mengenai nisbah tukul-tukul yang lain, lalu tukul tersebut diketepikan dan proses pukulan dilakukan semula. Hasilnya, kesan irama muzik semakin meningkat dan nada muzik ini digelar sebagai nada yang keempat.

Lanjutan penelitian dibuat oleh Pithagoras ke atas panjang tali dan gelombang nada pula. Hasil kajian tersebut mendapati jika seutas tali dipendekkan kepada tiga perempat daripada panjang asalnya, maka nada yang dihasilkan ialah nada yang keempat daripada nada asal (maksudnya iramanya semakin tinggi). Lalu, Pithagoras menyimpulkan bahawa muzik yang keluar daripada tali pada nisbah tertentu akan menghasilkan bunyi berkadar songsang dengan panjang tali tersebut.

Kemudian, Pithagoras menyatakan bahawa nombor 6, 8, 9, dan 12 mempunyai kelainan keupayaan mengeluarkan nada muzik yang menawan dan memiliki kelainan berbentuk matematik. Nisbah 12 : 9 : 8 : 6 terus dikembangkan dengan rangkap standard dalam alunan muzik berirama lembut, keras atau patriotik.

Menurut catatan Mat Rofa (2004), pelbagai konsep matematik digunakan untuk menggubah sebuah lagu yang baik, iaitu yang utamanya melibatkan konsep jujukan siri harmonik, siri geometri atau siri aritmetik. Pithagoras dikatakan seorang tokoh terawal yang memulakan penalaan (tuning) dalam skala D yang kemudiannya digubah kepada skala C dengan memperkenalkan jujukan nisbah diatonik yang baru. 

Sumber foto : Buku Etnomatematik Matematik dalam Kehidupan Masyarakat
Sumber foto : Buku Etnomatematik Matematik dalam Kehidupan Masyarakat

Hasil skala C ini telah diguna pakai oleh semua ahli muzik seluruh dunia sehingga ke saat ini.

Kajian ini terus berkembang merentas zaman dan muzik dimasukkan sebagai salah satu cabang di bawah ilmu matematik sehinggalah berlakunya peralihan ilmu ke Eropah yang kemudiannya muzik dan matematik telah diasingkan sepenuhnya sebagai dua bidang yang berbeza.

Kesimpulan

Berbalik kepada kisah Beethoven, tidak ditemui catatan yang menyatakan bahawa Beethoven pernah mendalami ilmu matematik untuk penghasilan kerja-kerjanya. Namun, catitan sejarah yang membuktikan matematik sebagai asas gubahan keharmonian nada tidak boleh diketepikan. 

Malah, kisah Beethoven ini menjadi bukti bahawa gubahan lagu tidak semata-mata terhasil daripada bunyi, tetapi ada unsur lain yang perlu diselidik lagi dan tidak mustahil elemen kemahiran matematik ada dalam diri Beethoven yang menjadi faktor keharmonian muziknya melalui imaginasinya tanpa perlu beliau mendengar.

Seorang ahli falsafah dan ahli matematik Jerman, Gottfried Wilhelm Leibniz pernah menyatakan bahawa muzik adalah perlakuan aritmetik yang tersembunyi dilakukan oleh jiwa yang tidak sedar bahawa ia sedang menghitung.

RUJUKAN

  1. Bab “Peranan Matematik dalam Muzik” dalam buku “Etnomatematik, Matematik dalam Kehidupan Masyarakat.”
  2. Artikel “So if Beethoven was completely deaf, how did he compose?” di pautan  https://www.classicfm.com/composers/beethoven/guides/deaf-hearing-loss-composing/
  3. Artikel “The Whole Story of Beethoven’s Deafness” di pautan https://www.californiasymphony.org/composer/beethoven/the-whole-story-of-beethovens-deafness/
  4. Artikel “Adakah Beethoven Benar-benar Pekak Apabila Dia Mencipta Semua Muziknya” di pautan https://ms.littlestprettythings.com/beethoven-really-deaf-wrote-music-2
  5. Artikel “Beethoven : where to start with his music” di pautan https://www.theguardian.com/music/2020/jul/01/know-the-score-beethoven-where-to-start-with-his-music-250th-anniversary
  6. https://www.britannica.com/biography/Ludwig-van-Beethoven
  7. https://ms.myubi.tv/16091-was-beethoven-deaf-when-he-wrote-moonlight-sonata
  8. https://ms.littlestprettythings.com/beethoven-really-deaf-wrote-music-2
Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts