Akademi Sains Malaysia (ASM) dilaporkan kini dalam usaha menyediakan sebuah platform perkongsian data mentah penyelidikan. Inisiatif ini disifatkan bakal menghubungkan lima universiti penyelidikan Negara di bawah projek rintis Platform Sains Terbuka Malaysia (MOSP).
Menurut kenyataan yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), inisiatif ini dapat memberi dua manfaat utama kepada para penyelidik dan Negara.
- Penyelidik dapat melakukan kerja-kerja penyelidikan secara terangkum.
- Bakal berlaku penjimatan kos kerja-kerja penyelidikan sekurang-kurangnya RM500 juta setahun.
Melihat kepada pencapaian semasa MOSP, sehingga kini lebih 200 orang penyelia data berjaya dilatih di peringkat nasional. Latihan Pengawasan Data untuk Sains Terbuka ini dikatakan berjaya meningkatkan kemahiran pustakawan dan penyelidik daripada pelbagai IPT dan institut penyelidikan negara. MOSP juga telah mencatat lebih 2 juta capaian untuk program kesedaran Sains Terbuka di peringkat nasional dan antarabangsa. Selain itu, MOSP giat bekerjasama dengan organisasi dan platform Sains Terbuka antarabangsa dan menjadi ahli dalam inisiatif global seperti Global Open Science Cloud (GOSC).
Inisiatif ini dapat dikatakan sebagai satu berita baik kepada para penyelidik Negara untuk terus menjalankan kajian dan kerja-kerja penyelidikan dengan lebih sistematik dan efektif. Oleh itu, adalah penting untuk inisiatif ini diusahakan dan dapat dilaksanakan dengan sebaiknya supaya Malaysia terus maju menerajui penyelidikan-penyelidikan tempatan dan antarabangsa.
Sumber :