Nabi Idris Pelopor Matematik Terawal?

Setiap perkara yang berlaku di muka bumi ini, pasti ada pemulanya, melainkan Allah Azzawajalla yang tiada awal dan tiada akhir.

Dalam urusan ilmu, fakta ini pasti dikaji bagi para ilmuwan memahami gambaran yang benar akan keseluruhan fakta yang ditemui. Malah, ilmu itu mesti dikreditkan kepada individu yang benar dan tidak terkandung biased yang mungkin merosakkan disiplin ilmu itu sendiri.

Tetapi, fakta yang perlu diketahui bahawa segala ilmu adalah daripada Allah, yang kemudiannya Dia masukkan dalam sanubari sesiapa yang Dia kehendaki untuk mengembangkan dan memakmurkan dunia-Nya. Fakta kedua yang perlu kita imani ialah Dia mengutuskan setiap kaum dengan Nabi yang diberikan ilmu demi membawa kebenaran kepada seluruh umat manusia.

Firman Allah S.W.T di dalam Surah an-Nahl ayat 36 yang bermaksud :

“Dan sungguh, Kami telah mengutus seorang rasul untuk setiap umat (untuk menyerukan), “Sembahlah Allah, dan jauhilah tagut”, kemudian di antara mereka ada yang diberi petunjuk oleh Allah dan ada pula yang tetap dalam kesesatan. Maka berjalanlah kamu di bumi dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang yang mendustakan (rasul-rasul).”

Bagaimana pula halnya dengan ilmu Matematik?

Sejarah Ilmu Matematik

Daripada bacaan-bacaan kertas kajian dan buku-buku sejarah yang diterbitkan, kita sudah maklum bahawa empat tamadun terbesar dunia terdahulu merupakan era kegemilangan pengembangan ilmu saintifik mahupun bukan saintifik.

Melalui penceritaan tamadun India, kita mengenali nama tokoh Matematik seperti Aryabhata, Varahamira, Bhaskara I, dan Brahmagupta.

Melalui penceritaan tamadun China, kita mengenali nama Liu Hui, Qin Jiushao, Li Zhi, Yang Hui, Zhu Shijie dan Jia Xian.

Melalui penceritaan tamadun Yunani, kita mengenali nama Thales, Socrates, Aristotles, Pithagoras dan Euklid.

Melalui penceritaan tamadun Arab, kita mengenali nama Al-Khawarizmi, Ibnu Sina, Al-Karaji, Al-Kindi, Umar Khayyam dan Abu Kamil.

Melalui penceritaan zaman Eropah yang agak lewat bermula pada kurun ke-15, kita mengenali nama Fibonacci, Cardano, Maclaurin, Newton dan Leibnitz.

Lalu, siapa pelopornya?

Catatan Sejarah

Mengikut Prof Mat Rofa Ismail dalam bukunya (2004), lintasan sejarah yang panjang ini merupakan peristiwa penting bagi permulaan matematik, yang bermula dengan pengutusan para rasul, lalu disalin oleh tokoh kemudian termasuklah Pithagoras, Euklid, Batlamius, Apollonius, Nikomakhus dan lain-lain.

“Sistem nilai matematik para rasul kemudiannya diwarnakan dengan sistem budaya pewaris dari tamadun Yunani terkemudian. Sistem ini telah berubah dengan berlalunya masa. Namun, aspek kuantitatif matematik tetap kekal, cuma yang berubah ialah aspek kualitatif.”

Prof. Mat Rofa Ismail

Di sinilah ahli sejarah menemukan perkaitan ilmu Matematik dan Nabi Idris. Kisahnya yang lebih terperinci, saya pernah terangkan dalam penulisan sebelum ini. Boleh rujuk semula artikel tersebut di sini https://ajar.com.my/2020/11/27/ilmu-sains-dan-persamaaan-matematik-dikatakan-ilmu-sihir-hermes-trismegistus-ahli-sihir/

Bagaimana pula dengan catatan kebenarannya dalam Al-Quran?

Catatan Al-Quran

Dalam Al-Quran, nama Nabi Idris hanyalah disebut sebanyak dua kali, iaitu pada ayat 56 Surah Maryam, dan ayat 85 Surah al-Anbiyaa’.

Di dalam Tafsir al-Qurthubi telah disebutkan bahawa Nabi Idris ialah manusia yang mula-mula menulis dengan qalam, menjahit dengan jarum, mengetahui ilmu bintang dan mengetahui ilmu hisab, yakni ilmu pengiraan. Idris ini ertinya belajar kerana Nabi Idris telah mempelajari banyak sekali Kitab Allah, yang mana disebut bahawa telah diturunkan kepadanya sebanyak tiga puluh shuhuf.

Manakala, di dalam Tafsir Jawahir oleh Syekh Thanthawi, Idris dikaitkan dengan Oziris atau Azoris sepertimana Isa disebut Yesoa atau Yesus. Menurut Syekh Thanthawi, Oziris ini seorang Nabi yang diutus Allah kepada bangsa Mesir purbakala yang membawa ajaran dan perubahan yang besar-besar. Dia yang merupakan tokoh agama, juga merangkap raja memandangkan zaman purbakala bangsa Mesir menyatukan kerajaan dan Agama. Namanya yang ternama sehinggakan dia dimuliakan biarpun setelah mati kerana jasa-jasanya yang begitu besar.

Sayyid Quthub dalam Fi Zhilalil Quran turut memberatkan pandangannya kepada pendapat Syekh Thanthawi Jauhari bahawa besar kemungkinan Idris ialah Oziris yang ternama dalam sejarah Mesir purbakala itu.

Menurut Hamka di dalam buku tafsirnya, kemungkinan hal ini tidak ditemui dalam tafsir-tafsir lama sejak Thabari, ar-Razi, al-Qurthubi, Ibnu Katsir dan yang sezaman dengan mereka. Tetapi, hal ini baru ditemui pada sekitar tahun 1928 dalam tafsir Syekh Thanthawi dan selepas tahun 1955 dalam tafsir Sayyid Quthub. Hal ini kerana, para sarjana baru dapat mengetahui rahsia huruf Hieroglif, huruf bangsa Mesir Kuno itu pada permulaan abad ke-19. Melalui hasil penyelidikan inilah baru dapat diketahui tentang orang besar Mesir bernama Oziris itu dan didapati ajaran-ajarannya itu bertemu dengan pokok ajaran tauhid.

Kesimpulan

Daripada keseluruhan penulisan ini, sesungguhnya hanya Allah Maha Mengetahui akan kebenarannya. Adapun kajian para sarjana adalah berdasarkan Al-Quran, hadis dan dapatan-dapatan catatan lampau  yang kemudiannya cuba dicari kaitan dan diolah dengan sistematik bagi membentuk hasil dengan akal yang terbatas. Selebihnya, kita bertawakal kepada Allah dan mengharapkan dapatan ilmu ini menjadi asbab kita meraih redha-Nya.

Kita meyakini sesungguhnya ilmu segala lapangan di dunia ini, termasuklah ilmu Matematik terkandung di dalam Al-Quran. Firman Allah di dalam Surah as-Sad ayat 29 yang bermaksud :

“Kitab (Al-Qur’an) yang Kami turunkan kepadamu penuh berkah agar mereka menghayati ayat-ayatnya dan agar orang-orang yang berakal sehat mendapat pelajaran.”

Oleh itu, para ilmuwan Islam terdahulu bersahabat dengan Al-Quran demi mendalami dan menggali ilmu fizik, astronomi, falak, pengiraan, biologi, muzik, dan lain-lain. Begitu juga dalam hal mengadili hak manusia mengikut jantina, umur dan keadaan, penetapan hukum-hakam yang mengharmonikan hidup manusia telah lengkap di’formula’kan oleh-Nya.

Tanpa mukjizat ini, manusia akan terus meraba dalam kegelapan dan hidup dalam kebodohan.

Oleh itu, syukurilah pemberian mukjizat Agung ini dengan perbanyakkan membacanya mengikut tartil dan menggali ilmunya demi mencari kebenaran-Nya.

RUJUKAN :

  1. Buku Matematik Merentas Tamadun (2004), Mat Rofa Ismail.
  2. Tafsir Surah Maryam dan Juzuk 16, Hamka.
Total
152
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts