Berbakti kepada ibu bapa dan keluarga, resipi utama kejayaan luar biasa anak Malaysia ini sehingga wakili seluruh graduan di Australia.

Kisah kejayaan Dr. Muhammad Syahrul Fitri Zawawi, atau lebih mesra dipanggil Syahr Musafir begitu menginspirasikan.

Anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini telah melanjutkan pelajarannya di Universiti Adelaide, Australia pada umur 19 tahun dari peringkat Ijazah Sarjana Muda sehingga ke peringkat PhD. Lebih mengkagumkan apabila beliau berjaya memperolehi dua Ijazah Sarjana Muda dalam dua bidang berbeza iaitu Sains Bioteknologi dan Sains Kesihatan sepanjang empat tahun di Adelaide.

Biarpun beliau berumah tangga pada tahun ketiga pengajian Ijazah Sarjana Muda ketika berumur 22 tahun, perjalanan pengajian beliau terus berjalan dengan lancar. Kejayaannya mendapat Kepujian Kelas Pertama seterusnya melayakkan beliau mendapat peluang melanjutkan pengajian terus ke peringkat PhD tanpa Ijazah Sarjana (Masters) dengan beberapa tawaran tajaan universiti luar negara. Tetapi, beliau telah memilih untuk meneruskan pengajian di universiti yang sama dengan biasiswa daripada Malaysia iaitu biasiswa Rancangan Latihan Kakitangan Akademik (RLKA), USM).

Kejayaan luar biasanya diteruskan lagi di peringkat PhD apabila beliau berjaya menyiapkan PhD perubatan dalam tempoh yang singkat dan hanya mengambil masa tiga bulan sahaja untuk menyelesaikan penulisan tesis dengan kelulusan cemerlang. Di hari majlis konvokesyen, beliau telah diberi penghormatan oleh Universiti Adelaide sebagai pembawa cokmar mengetuai perarakan para pegawai utama universiti berkenaan dan menjadi wakil seluruh graduan dalam memberikan ucapan. 

Dalam satu perkongsian beliau yang dimuat naik dalam portal berita Malaysia dateline, beliau telah berkongsikan butiran dan resipi kejayaannya secara lanjut.

Menurut beliau, kejayaannya dalam penulisan tesis hanya dalam masa tiga bulan dengan kelulusan cemerlang adalah kerana konsistensi beliau menulis bermula ketika hari awal pendaftaran PhD lagi sehinggalah detik akhir penghantaran perlu dibuat. Setiap perancangan dan ‘milestone’ yang dirancang perlu diikut dengan disiplin yang tinggi. 

Kemudian, beliau telah berkongsi satu faktor sebenar kejayaan beliau iaitu keberkatan bakti terhadap ibu bapa dan keluarga.

Beliau mengimbau semula kejayaan-kejayaan beliau yang luar biasa, langsung tidak terdetik di hati. Beliau pernah gagal eksperimen dan hadapi masalah-masalah teknikal kajian, tetapi beliau tidak terasa itu sebagai satu masalah dan dapat selesaikannya dengan baik setelah dinasihati ibunya, “Jangan risau, Allah akan bantu…”

Selain itu, beliau telah menghadiri konferens di beberapa buah negara dan membawa pulang bersama beberapa anugerah tempat pertama. Malah, tidak cukup dengan kejayaan penulisan tesisnya dalam masa yang singkat, beliau berjaya mendapat anugerah-anugerah lain dan berjaya merangkul sijil PhD di usia 27 tahun. 

Daripada kejayaan-kejayaan ini, beliau sedar bahawa segala kemudahan perjalanan pengajian akademiknya bukanlah disebabkan beliau itu bijak, tetapi kerana barakah bakti terhadap ibu bapa dan keluarga.

Beliau sangat menyayangi ibu bapa dan keluarganya. Duit biasiswa beliau di Malaysia telah diberikan sepenuhnya kepada mereka, iaitu RM2800/bulan selama tiga tahun. Tetapi, beliau di Australia melakukan pelbagai kerja bersama isterinya demi menampung kos sara hidup di sana dan mencari tambahan wang kepada biasiswa beliau di Australia.

Setelah tamat pengajian PhD, beliau pulang ke Malaysia dan menjaga ibunya yang sakit biarpun terpaksa bekerja pada waktu siang dan bersengkang mata menemani ibunya di waktu malam. Pada Feb 2020, ibunya telah dijemput Ilahi.  

Kini, beliau merupakan pensyarah di Jabatan Ortopedik, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM). 

Nasihat beliau, “Jika benar mahu berjaya, berbaktilah kepada ibu bapa dan keluarga, bukan sekadarnya tetapi sehabis kadar, sehabis baik, sehabis daya, dan sehabis mampu. Allah telah membuktikan hakikat bahawa apabila seorang anak berbuat baik kepada ibu bapa, Allah akan memudahkan jalan untuk anak itu capai kejayaan dalam pengajian. Contohnya saya, sebuah kisah benar seorang anak. Redha ibu bapa, redha Allah. Baiknya Allah kan.”

Subhanallah. Hebat! 

Kejayaan tidak akan hadir tanpa usaha. Kejayaan luar biasa tidak akan hadir tanpa keberkatan ibu bapa.

Sumber dan kredit maklumat kepada Portal Malaysia dateline di pautan, https://malaysiadateline.com/boleh-siap-tulis-tesis-phd-3-bulan-ini-bukti-hasil-berbakti-pada-ibu-bapa-sehabis-daya/

Artikel di muat naik dengan keizinan Tuan Syahr Musafir.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts