Penulisan sebelum ini kita menyentuh tentang serangan jantung mengejut atau juga dikenali sebagai ‘sudden cardic arrest (SCA)’. Seandainya terdapat mangsa diserang cardiac arrest dan langkah kecemasan tidak diambil serta merta ia boleh membawa kematian kerana di saat serangan berlaku, jantung berhenti berdenyut menyebabkan aliran darah yang beroksigen tidak mengalir ke otak. Mengetahui cara melakukan bantuan CPR yang betul mampu menyelamatkan mangsa yang diserang penyakit ini. Namun, tidak semua dapat melakukan bantuan CPR yang sempurna disebabkan faktor-faktor yang mungkin ada pada diri penyelamat. Bagi memastikan bantuan CPR yang diberikan itu dapat menyelamatkan mangsa, satu alat yang dikenali sebagai ‘Automated External Defibrillator’ telah dihasilkan.

Apakah itu ‘Automated External Defibrillator’? ‘Automated External Defibrillator’ atau selalunya disingkatkan sebagai AED merupakan suatu peranti mudah alih bantuan kecemasan yang mampu menganalisis denyutan jantung dan memberi nasihat kepada penyelamat sama ada untuk menyampaikan arus kejutan kepada mangsa atau tidak. Alat ini digunakan bagi membantu penyelamat sementara bantuan kesihatan tiba di tempat kejadian. Alat ini sangat mudah digunakan dan digalakkan untk diletakkan di tempat-tempat awam supaya masyarakat boleh mengakses alat ini ketika mahu menyelamatkan pesakit diserang sakit jantung secara tiba-tiba di tempat awam.
Di negara maju seperti di Korea Selatan dan Jepun, masyarakat awam dapat mengakses dengan mudah peralatan tersebut kerana terdapat di tempat-tempat awam seperti taman dan stesen kereta api. Di Malaysia, negeri Pulau Pinang merupakan pelopor utama yang memperkenalkan AED di tempat awam dan direkodkan terdapat 163 unit AED telah di pasang disekitar kawasan tumpuan ramai supaya mudah diakses apabila perlu.


Bagaimana AED berfungsi?
Ketika seseorang mengalami serangan jantung secara tiba-tiba, langkah pertama yang perlu dilakukan ialah memberikan bantuan pernafasan dengan menggunakan teknik CPR. AED membantu sebagai peranti yang memberikan nasihat kepada penyelamat terhadap keperluan untuk menyampaikan arus kejutan kepada mangsa dengan menganalisis denyutan jantung mangsa. Pada peranti ini terdapat satu pad elektrik yang ditampalkan kepada dada mangsa. Pad inilah yang berfungsi untuk menganalisis denyutan jantung dan menghasilkan arus kejutan bagi membantu mangsa kembali sedar. Sesetengah peranti ini mampu mengenal pasti keberkesanan CPR yang diberikan kepada mangsa, oleh itu penggunaan AED semasa CPR dilakukan dapat meningkatkan peluang mangsa untuk terus hidup.

Cara-cara menggunakan AED
Penggunaan AED ini sangatlah mudah, pengguna hanya perlu mengaktifkan peranti tersebut dan mengikuti arahan yang diberikan oleh peranti itu. Di bawah disertakan cara penggunaan peranti AED semasa kecemasan:
- Apabila mendapat AED, pasangkan dan buka penutupnya.
- Keluarkan semua pakaian mangsa pada bahagian dada. Pastikan dada adalah kering dan bersihkan rambut yang berlebihan.
- Keluarkan pad elektrod dan letak ke atas dada mangsa. Pastikan tanda “+” adalah di bahagian tengah dada.
- Apabila AED sedang menganalisis denyutan jantung mangsa, pastikan tiada sesiapa yang menyentuhnya.
- Jika AED memberi nasihat untuk menyampaikan shock kepada mangsa, tekan butang shock (Pastikan tiada sesiapa yang menyentuh mangsa)
- Kalau alat AED tidak memberi nasihat untuk menyampaikan shock, lakukan CPR dengan segera. Selepas satu kitaran CPR (30 tekanan dada dan 2 pernafasan bantuan), AED akan menganalisis denyutan jantung mangsa sekali, dan akan memberi nasihat untuk menyampaikan shock atau lakukan CPR secara berterusan.
- Ikuti arahan yang diberi oleh AED sehingga mangsa sedar semula atau ambulans sampai.

Kebaikan AED ketika kecemasan
Ketika sesorang mangsa jatuh disebabkan oleh serangan jantung tiba-tiba (sudden cardiac arrest), pemberian CPR yang berkesan menjamin kelangsungan mangsa untuk hidup. Penggunaan AED semasa menyelamatkan mangsa dapat memanjangkan hayat mangsa. Tambahan lagi, bantuan ambulan dan peranti kesihatan dari hospital terdekat mungkin mengambil masa yang lama untuk tiba di tempat kejadian, maka keberadaan AED dapat meyelamatkan mangsa sehingga bantuan tiba.
Walau bagaimanapon, di Malaysia hanya sesetengah kawasan awam seperti lapangan terbang sahaja mempunyai peranti ini. Bagi menambahbaik keadaan ini, kerajaan Malaysia perlu mengambil inisiatif seperti kerajaan Pulau Pinang dengan memperkenalkan peranti AED di tempat-tempat awam seperti taman, tempat kerja dan lain-lain. Selain itu, kempen kesedaran berkaitan kepentingan AED dalam kalangan rakyat Malaysia juga perlu dilaksanakan bagi memastikan usaha kerajaan memperkenalkan AED di tempat awam tidak sia-sia.
Rujukan
https://skincode.my/articles/automated-external-defibrillator-apakah-fungsinya
https://www.fda.gov/consumers/consumer-updates/how-aeds-public-places-can-restart-hearts
https://www.redcross.org/take-a-class/organizations/purchase-aeds
https://www.heart.org/en/health-topics/cardiac-arrest/emergency-treatment-of-cardiac-arrest
https://zulletin.com/cara-terbaik-untuk-meningkatkan-kesehatan-setelah-serangan-jantung/