Satu hari di Bumi ditafsirkan sebagai tempoh masa yang diperlukan untuk Bumi berputar sekali putaran pada paksinya. Tempoh masa ini, menurut saintis, adalah 23 jam, 56 minit, dan 4 saat, dan ia seringkali digenapkan sebagai 24 jam. Justeru, untuk kita yang berada di Malaysia, dan bahkan berada di garisan Khatulistiwa, kita boleh membahagikan masa sebagai 12 jam siang dan 12 jam malam secara khusus. Jadi, andaikata Matahari terbit pada pukul 6.30 pagi, kita boleh jangka yang Matahari akan terbenam pada 6.30 petang.
Logik, bukan?
Cuma masalahnya, pukul 6.30 petang, dekat Sabah mungkin Matahari dah terbenam, tapi dekat KL, Selangor dan kawasan Semenanjung Malaysia yang lain, Matahari dah terbenam ke?
Sejarah Waktu Malaysia
Waktu Min Greenwich (atau Greenwich Mean Time) adalah sistem waktu yang digunapakai oleh British sejak tahun 1880 lagi. Waktu GMT ini dibuat berpaksikan kepada longitude negara, dengan Greenwich dipilih sebagai GMT+0, dan negara yang berada di sebelah timur Greenwich mendapat nilai tambah (GMT+) dan negara di barat Greenwich akan mendapat nilai tolak (GMT-).

Tanah Melayu yang merupakan jajahan British pada waktu itu telah menggunapakai nilai GMT+06:46:46, yang maksudnya kalau waktu di Greenwich adalah pukul 12 tengah hari, pada masa yang sama, waktu di Kuala Lumpur adalah pukul 6.46 petang. Dalam pada masa yang sama, Melaka, Pulau Pinang dan Singapura yang memiliki kawasan cerapan mereka sendiri, mempunyai waktu min tempatan mereka sendiri (dipanggil Local Mean Time). Terdapat perbezaan beberapa minit antara masa negeri-negeri ini, menjadikan masa pada waktu itu adalah tidak seragam.
Keadaan ini berterusan sehingga tahun 1901, di mana pihak British mula sedar keperluan untuk menyeragamkan masa antara negeri-negeri di semenanjung. Maka British memilih untuk menggunakan masa tempatan Singapura, iaitu GMT+06:55:25 untuk seluruh Tanah Melayu, bagi membolehkan jadual keretapi dan penghantaran pos dan telegram dapat diseragamkan. Waktu ini kemudian digenapkan kepada GMT+07:00 pada tahun 1905, membolehkan waktu di Tanah Melayu menjadi sekata dengan waktu di Greenwich.
Pada tahun 1920, Sistem Jimat Waktu Siang (Daylight Saving Time) mula digunapakai di Tanah Melayu, menjadikan masa di Tanah Melayu berubah dari GMT+07:00 menjadi GMT+07:30, memanjangkan waktu siang selama 30 minit.
Menurut British, hal ini dibuat untuk membolehkan pekerja mempunya masa yang lebih untuk berhibur. Namun perubahan ini dibantah masyarakat pada waktu itu, kerana menurut mereka, 30 minit tambahan adalah tempoh yang lama. Jadi pada tahun 1933, 10 minit dikurangkan dari masa Tanah Melayu, menjadikan Tanah Melayu memakai waktu GMT+07:20.
Bagi Sabah dan Sarawak pula, masing-masing menggunakan waktu tempatan, dengan waktu min Kuching dipilih sebagai waktu Sarawak, iaitu GMT+07:21:20, dan waktu min Jesselton dipilih sebagai waktu Borneo Utara. Waktu kedua-duanya diselaraskan kepada GMT+07:30 pada tahun 1926. Tambahan masa 30 minit yang diberi kepada Semenanjung juga turut diberi pada Sabah dan Sarawak, menjadikan GMT+08:00 sebagai waktu rasmi Sabah dan Sarawak.
Penjajahan Jepun ke atas Tanah Melayu memperlihatkan perubahan sistem masa yang amat ketara – masa di Semenanjung dan Sabah Sarawak telah diubah mengikut waktu piawai Tokyo, iaitu GMT+09:00. Ini adalah sejam lebih awal dari Sabah Sarawak, dan sejam setengah lebih awal dari Semenanjung.
Apabila Jepun kalah Perang Dunia Kedua, British mengambil alih Tanah Melayu dan memperkenalkan semula sistem masa sebelum perang, GMT+07:30 bagi Semenanjung, dan GMT+08:00 bagi Sabah dan Sarawak.

Penyatuan Waktu Malaysia
Setelah negara Malaysia terbentuk pada tahun 1963, Malaysia Timur dan Malaysia Barat masih lagi menggunapakai sistem masa yang berbeza, dengan Malaysia Timur (Sabah dan Sarawak) adalah GMT+8, dan Malaysia Barat adalah GMT+7:30. Orang yang bertanggungjawab mengubah sistem ini adalah Tun Dr. Mahathir sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-Empat.
Pada 21 Disember 1981, Dr Mahathir telah membawa usul untuk menyelaraskan waktu Malaysia. Usul tersebut adalah cadangan untuk mengubah masa Malaysia Timur dari GMT+7:30 kepada GMT+8, mengikut kepada waktu Malaysia Barat. Perubahan ini dicadangkan berlaku pada awal tahun baru, iaitu 1 Januari 1982.
Sewaktu usul ini dibahaskan, terdapat bangkangan dari beberapa pihak, antaranya dicadangkan supaya perubahan ini dibuat secara berperingkat dalam masa satu tahun, dan ada juga ahli dewan yang menggesa supaya Sabah dan Sarawak yang mengikut waktu di Semenanjung.
Dr. Mahathir menegaskan bahawa penggunaan waktu piawai ini adalah bagus untuk negara. Menggunakan satu sistem waktu yang sama mampu menyatukan rakyat Malaysia.
Sebagai contoh, sekiranya ada urusan yang perlu disegerakan pada pukul 8 pagi yang memerlukan penglibatan Kuala Lumpu dan Sabah/Sarawak, orang di Kuala Lumpur perlu menunggu 30 minit sebelum orang di Sabah/Sarawak mula bertugas.
Pelancong juga kerap bertanya mengenai waktu Sabah dan Sarawak kerana mereka yang menaiki kapal terbang dari Kuala Lumpur ke Kuching pada pukul 10 pagi akan sampai pada pukul 12.20 tengahari, sedangkan perjalanan hanyalah memakan masa sejam 50 minit.
Selain bagus untuk Dasar Pandang ke Timur negara pada waktu itu. Hal ini kerana kuasa besar ekonomi pada waktu itu seperti Hong Kong, Taiwan dan Macau juga menggunakan zon masa yang sama, dan ini membolehkan pasaran perniagaan dibuka pada waktu yang sama.

Pelik tengok posisi Malaysia dalam gambar ni kan?
Usul yang dibawa oleh Dr. Mahathir itu tidak mendapat sebarang bantahan dari wakil kerajaan mahupun pembangkang, dan pada 31 Disember 1981, semua jam di Malaysia Barat pada pukul 11.30 malam telah dipercepatkan sebanyak 30 minit, menjadikan jam di Malaysia Barat dan Malaysia Timur tepat 12 malam.
Kesan Perubahan Zon Masa
Melihat semula kepada sejarah zon masa Malaysia, mungkin kita sedar sekarang bahawa Malaysia sepatutnya ada dua zon masa yang berbeza – zon masa untuk Malaysia Timur adalah GMT+8:00, dan zon masa untuk Malaysia Barat adalah GMT+7:00. Ini bermakna apabila Matahari terbit di Sabah pada pukul 6.30 pagi, Matahari akan terbit di Kuala Lumpur satu jam kemudian, pada pukul 7.30 pagi.
Bagi kebanyakan warga Kuala Lumpur pula, kebanyakan mereka pastinya akan setuju sekiranya penulis mengatakan bahawa warga Kuala Lumpur akan bangun seawal 5.30 pagi / 6.00 pagi untuk bersiap dan bergegas ke pejabat. Dengan perjalanan yang mungkin memakan masa sejam atau lebih, apabila mereka pulang ke rumah, hari masih lagi cerah, dengan waktu Maghrib sekitar pukul 7.30 malam.
Ini bermakna sebenarnya untuk warga Kuala Lumpur, waktu “siang” mereka bermula pada 5.30 pagi, dan ia cuma berakhir pada 7.30 malam, menjadikan jumlah waktu “siang” yang mereka rasa sebenarnya adalah 14 jam, 2 jam lebih panjang dari yang sepatutnya!
Tingkah-laku tidur kita pula sebenarnya dikawal oleh jam biologi badan kita, yang turut dipanggil Kitaran Circadian. Menurut kajian Osea Giuntella dari Universiti Pittsburgh dan Fabrizio Mazzonna dari Università della Svizzera Italiana, kelainan zon masa ini membawa kepada apa yang dipanggil sebagai “social jet lag”.
Idea mereka adalah pada zaman moden, jom biologi kita kini berada dalam masalah besar. Dengan berada pada zon waktu yang salah, badan kita tidak dapat menyelaraskan siang dan malam berpandukan kepada terbit-tenggelamnya Matahari. Hal ini menjelaskan kenapa orang yang berkerja dalam persekitaran penggiliran malam (night shift) mempunyai kualiti tidur yang kurang berbanding orang yang tidur pada waktu malam.
Keadaan ini diparahkan lagi dengan elektrik dan lampu-lampu yang turut memberi impak kepada Kitaran Cicardian kita, sekaligus menjejaskan kualiti tidur kita. Giuntella dan Mazzonna mendapati bahawa masyarakat US yang berada pada zon waktu yang salah mempunyai risiko lebih besar untuk mendapat penyakit kritikal.
Oleh kerana kebanyakan dapatan kajian sekarang masih lagi belum konklusuif, masih ada pelbagai kajian baru yang sedang dibuat di serata dunia bagi mencari hubungkait antara zon masa dengan kitaran circadian manusia. Sekiranya satu hari nanti, dapat dibuktikan bahawa zon masa yang salah memberi impak negatif kepada masyarakat, mungkinkah satu hari nanti Malaysia akan kembali mempunyai dua zon masa?
Rujukan
- Malaysian Standard Time Act 1981. – https://simplymalaysia.files.wordpress.com/2011/10/act-261-malaysian-standard-time-act-1981.pdf
- “The Change of Malaysian Standard Time: A Motion and Debate in the Malaysian Parliament” – Hamdan Aziz, Syahrin Said, Peter Won Sin On, Hailan Salamun, Razi Yaakob. International Journal of Academic Research in Business and Social Sciences, (2017).
- https://hrmars.com/papers_submitted/3725/The_Change_of_Malaysian_Standard_Time_A_Motion_and_Debate_in_the_Malaysian_Parliament.pdf
- “The Forgotten History of Malaysia’s 6 Timezone Changes” – Danyal Cheah. TheRakyatPost, (2021).
- https://www.therakyatpost.com/living/2021/04/09/the-forgotten-history-of-malaysias-6-timezone-changes/
- “Living in The Wrong Time Zone: Elevated Risk of Traffic Fatalities in Eccentric Time Localities” – Jeffery Gentry, Jayson Evaniuck, Thanchira Suriyamongkol, Ivana Mali. SAGE Journal (2022). https://journals.sagepub.com/doi/10.1177/0961463X221104675
- “Electric Light, particularly at Night, Disrupts Human Circadian Rhythmicity: Is That a Problem?” – Richard G. Stevens, Yong Zhu. Philosophical Transactions of the Royal Society B (2015).
- https://royalsocietypublishing.org/doi/full/10.1098/rstb.2014.0120?url_ver=Z39.88-2003&rfr_id=ori%3Arid%3Acrossref.org&rfr_dat=cr_pub%3Dpubmed#d18947419e1
- “Sunset Time and The Economic Effects of Social Jetlag: Evidence from US Time Zone Borders” – Osea Giuntella, Fabrizio Mazzonna. Journal of Health Economics (2019).
- https://www.sciencedirect.com/science/article/abs/pii/S0167629618309718/
- https://classnotes.ng/lesson/concept-oftime-sss1/