MALAYSIA TERUS IKTIRAF SAINTIS MUDA KE MESYUARAT ANUGERAH NOBEL

Malaysia komited melahirkan saintis muda yang cemerlang dan beradaptasi dengan kemajuan semasa baik di peringkat tempatan, mahupun global.

Di peringkat antarabangsa, Malaysia telah menyertai Mesyuarat Nobel Laureate Lindau di Jerman yang mengumpulkan saintis muda terpilih di seluruh dunia. Mesyuarat ini dilaksanakan pada setiap tahun dan dihadiri para Pemenang Nobel dari seluruh dunia untuk membentangkan penemuan penyelidikan dan berkongsi pengalaman mereka bersama para peserta.  

Penyertaan ini adalah satu keperluan bagi memberi peluang dan mendedahkan saintis-saintis muda Malaysia kepada perspektif baharu dan idea-idea inovatif bertaraf global. Mereka ini menjadi aset berharga bagi komuniti saintifik yang perlu dilengkapi set pengetahuan dan kemahiran yang signifikan dalam menghadapi cabaran masa hadapan.

Oleh itu, Malaysia telah mengambil bahagian dalam mesyuarat ini sejak tahun 2004 dan berjaya menghantar seramai 84 saintis muda sehingga tahun 2023 menerusi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Akademi Sains Malaysia (ASM). 

Pada tahun ini, dua saintis muda telah dihantar ke Mesyuarat Anugerah Nobel ke-73 yang didedikasikan untuk Fizik bermula 30 Jun hingga 5 Julai lalu. Dua saintis muda tersebut ialah Nur Alia Sheh Omar, 33 dan Tang Jia Heak, 21 telah menyertai lebih 600 saintis muda cemerlang daripada 90 buah negara dan berinteraksi bersama sekurang-kurangnya 30 pemenang Anugerah Nobel sepanjang mesyuarat tersebut.

Nur Alia merupakan Felo Penyelidik di Aston University, United Kingdom yang mana beliau telah menamatkan Ijazah Sarjana Muda Fizik dan Ijazah Sarjana Sains Bahan Lanjutan diikuti Doktor Falsafah (PhD) dalam Teknologi Penderiaan di Universiti Putra Malaysia (UPM). Manakala, Jia Heak sedang melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Muda Fizik di Universiti Malaya (UM).

Kedua-dua saintis muda ini telah terpilih setelah berjaya melepasi sesi temuduga oleh Jawatankuasa Pemilihan ASM untuk Mesyuarat Nobel Laureate ke-73 pada Oktober 2023.

Mesyuarat pada tahun ini memberi tumpuan kepada tiga tema utama iaitu fizik kuantum dan teknologi kuantum, penyelesaian berasaskan fizik untuk cabaran tenaga dan kecerdasan buatan dalam fizik.

Tahniah diucapakan kepada Saudari Nur Alia Sheh Omar dan Saudara Tang Jia Heak. Semoga segala ilmu yang diperolehi dapat disumbang kembali kepada negara.

SUMBER : 

  1. https://www.utusan.com.my/nasional/2024/07/dua-saintis-wakili-malaysia-ke-mesyuarat-anugerah-nobel/?utm_source=rss&utm_medium=rss&utm_campaign=dua-saintis-wakili-malaysia-ke-mesyuarat-anugerah-nobel
  2. https://www.mosti.gov.my/berita/pemenang-anugerah-nobel/
  3. https://www.mosti.gov.my/en/berita/lima-saintis-muda-wakil-malaysia-ke-mesyuarat-nobel-laureate-ke-72/
Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts