Seorang bekas kapten telah menerangkan bagaimana pesawat besar menghasilkan gelora udara sehingga memberi ancaman besar kepada pesawat kecil yang berada di bawahnya. Penerangan ini adalah berdasarkan satu insiden yang pernah berlaku pada tahun 2017.
“Aircraft flipped over by an Airbus A380”
Insiden ini telah berlaku kira-kira tujuh tahun yang lalu iaitu pada 7 Januari 2017.
Sebuah pesawat jenis Bombardier Challenger 604 telah terperangkap di dalam gelora udara yang dihasilkan oleh pesawat superjumbo’s jenis Airbus 380.
Pesawat Bombardier tersebut telah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Velana (MLE) Male di Maldives dan dalam perjalanan menuju ke Lapangan Terbang Eksekutif Al Bateen (AZI) Abu Dhabi di UAE.
Ketika kejadian jet persendirian ini sedang terbang pada ketinggian 34,000 kaki.
Pesawat Airbus 380 milik Emirates itu pula sedang dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai (DXB) menuju ke Sydney Kingsford Smith Airport di Australia.
Ketika kejadian, pesawat Airbus ini sedang “cruise” pada ketinggian 35,000 kaki.
Pada kebiasaannya, perbezaan ketinggian minimum 1000 kaki adalah jarak yang selamat bagi mana-mana pesawat yang bersilang di udara atau bagi pesawat yang sedang terbang dan berada di dalam laluan yang sama.
Ianya adalah normal praktis bagi mana-mana ATC yang menjaga aliran trafik udara di dalam dunia menjarakkan ketinggian 1000 kaki diantara satu pesawat dengan satu pesawat yang lain.
Bagaimana insiden ini bermula?
Pada mulanya semuanya berjalan lancar untuk sebuah jet peribadi persendirian ini sehinggalah sebuah pesawat jenis Airbus A380 melintas terbang 1000 kaki di atasnya.
Pergolakan udara yang dahsyat atau biasanya disebut oleh pilot sebagai “Wake Turbulence” telah menyebabkan jet peribadi tersebut berpusing sebanyak tiga kali dan hampir menyebabkan kecelakaan kepada pesawat malang tersebut.
Ironinya insiden tersebut tidak berlaku serta merta ketika pesawat bersilang, sebaliknya ia mula berlaku kira-kira 48 saat selepas laluan mereka bersilang, dimana kedua-dua pesawat itu sudah berada 15NM (27.8 km) antara satu sama lain.
Keadaan di dalam jet yang berpusing sebanyak 3 kali itu tidak ubah seperti sebuah mesin basuh. Ketika kejadian, terdapat 6 orang penumpang berada di dalamnya.
Pramugari yang sedang menyediakan minuman dan beberapa penumpang yang tidak memakai tali pinggang ketika itu terpelanting ke syiling dan ke lantai pesawat seperti baju yang sedang dicuci dalam mesin basuh.
Insiden itu telah menyebabkan jet tersebut jatuh tanpa kawalan hampir 10,000 kaki, menyebabkan kegagalan beberapa instrumen penerbangan dan mengakibatkan satu daripada enjin pesawat gagal berfungsi.
Juruterbang yang terkejut bertungkus-lumus cuba untuk menyelamatkan keadaan dan mereka akhirnya berjaya mengawal keadaan dan menyelamatkan pesawat dari terhempas pada ketinggian 24,000 kaki.
Juruterbang akhirnya selamat melakukan pendaratan kecemasan di Muscat International Airport (MCT) di Oman sejam selepas kejadian itu.
Walaupun selamat mendarat, pihak berkuasa yang menyiasat melaporkan bahawa pesawat itu kini tidak lagi selamat untuk digunakan.
Pesawat jenis Bombardier Challenger 604 tersebut akhirnya terpaksa dileraikan dan dijual sebagai alat “spare parts”.
Begitulah kisahnya bagaimana ” Wake Turbulence” atau kita panggil gelora udara dari sebuah pesawat besar boleh memberikan “threat” kepada pesawat yang lebih kecil.
Kredit penulisan di FB : Mohd Ezairol Rezan Zainol
SUMBER FOTO : https://siraplimau.com/solat-dalam-kapal-terbang/