Ciptaan Kalkulator dalam Mario Maker 2 yang Genius!

Mungkin satu dunia mengenali watak Mario, yang merupakan antara game yang paling terawal dan popular dalam sejarah. Super Mario Bros, game yang sangat terkenal yang dihasilkan hampir 40 tahun lepas (1985) telah merevolusikan industri gaming.

Setelah itu, berkepul – kepul siri francais game Mario telah dihasilkan (adalah dekat 40 bilion siri kot) meliputi pelbagai genre, ada genre platforming, ada pengembaraan, RPG, sukan, perlumbaan, 2D, 3D …. game menaip pun ada.

Sampailah satu masa, Nintendo, syarikat yang memiliki hak cipta ke atas watak tersebut mengatakan “hmmm dah banyak sangat dah jenis game kita perah guna maskot mario ni, apa idea yang kita boleh buat untuk game seterusnya ya?”

“Apa susah, kita buat je game yang mana pemain yang buat game mereka sendiri, kemudian mereka main, dan mereka yang tentukan seronok atau tak” kata seorang pekerja.

“Wah bijaknya. Buat apa kita susah – susah perah kepala hasilkan idea untuk level, kalau beribu – ribu pemain kita yang boleh buat sendiri!”

Maka dengan itu terlahirlah siri mario maker, dengan yang terbaru adalah mario maker 2.

Mario Maker, anda beli game, anda buat game anda sendiri.

Mario maker adalah game platforming 2D yang menampilkan sistem penciptaan level untuk pemain. Dengan menggunakan tema stage, alatan – alatan dan watak – watak yang disediakan, pemain diberikan kebebasan untuk mencipta apa saja level yang mereka mahu dengan hanya dibatasi oleh kreativiti dan batasan memori sebuah level.

Jadi, apabila siapa – siapa yang miliki permainan tersebut boleh mencipta level mereka sendiri, terlahirlah banyak jenis level. Ada yang sememangnya sangat bagus, dan majoritinya adalah level troll yang dibenci oleh sekalian orang.

Tapi kadang kala terdapat level yang dihasilkan oleh saintis, ahli matematik, jurutera dan genius – genius dari segenap ceruk dunia yang sememangnya meletupkan otak dan buat kita ternganga.

Terbaru, sebuah level yang sangat menakjubkan menampilkan sistem kalkulator dalam Mario Maker 2.

Orang yang buat kalkulator ni patut bina roket ke Marikh …

Tonton dulu video di atas, ia memang kelihatan sangat menakjubkan.

Dalam level Mario Maker 2 yang dipanggil The Cluttered Chaos-Calculator 2, seorang pengguna yang dipanggil Helgefan memberikan pemain arahan untuk memilih nombor antara 0 hingga 9, sebanyak dua kali.

Kemudian pemain diberikan pilihan sama ada untuk menambah kedua nombor tersebut atau menolaknya.

Kemudian dalam satu urutan peristiwa yang kita rakyat marhaen berotak normal hanya boleh panggil sebagai ‘magis’ atau ‘ilmu hitam’, Mario kemudian melalui beberapa sistem mekanikal, yang direntasi topi cangkerang, paip, menekan suis, diangkut kren, dicampak ke kiri dan ke kanan, semua berlaku secara automatik (pemain tidak boleh gerakkan watak).

Di akhir level, mario dijatuhkan pada beberapa blok batu. Adakah ini hasilnya? Tidak! Kemudian muncul bom entah dari mana dan kemudian meletupkan bongkah batu tersebut menghasilkan bentuk nombor jawapan kepada persamaan matematik kita!

Jika ini macam pernah dilihat, sebenarnya dalam Mario Maker 1, pengguna yang sama pernah menghasilkan sistem kalkulator yang turut memecahkan kepala komuniti pemain game tersebut. Penjelasan penuh bagaimana ia berfungsi diterangkan oleh pereka itu sendiri di sini.

Ciptaan beliau dalam Mario Maker 2 walaubagaimanapun lebih hebat apabila sistem kalkulator tersebut membenarkan proses penolakan. Malah ia dapat menghasilkan jawapan negatif!

Siapa orang ini dan mengapa beliau tak selesaikan masalah pemanasan global?? (mungkin beliau tengah selesaikan pun penulis yang tak tahu)

Total
21
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.

Related Posts