Ketuk ketampi mungkin merupakan bentuk hukuman yang cukup dibenci pada zaman sekolah.
Populariti hukuman tersebut tersebar luas. Tak siap kerja sekolah? Ketuk ketampi. Bising dalam kelas? Ketuk ketampi. Ketuk ketampi tak seragam? Ketuk ketampi. Kadang kala, dalam satu hari 3 kelas berturut – turut menyuruh membuat gerakan atas bawah sambil memegang telinga tersebut.

Namun rupa – rupanya nama ketuk ketampi tersebut miliki nama lain yang lebih komersial.
‘Superbrain yoga’.
Dalam laporan oleh CBS2 News, pergerakan tersebut dianggap mampu menjadikan seseorang lebih cerdik, kerana dikatakan ia merangsang aktiviti neuron dan sel dalam otak.
Menurut doktor yang ditemuramah dalam laporan tersebut, pelajar yang disuruh mengamalkan senaman Super Brain Yoga itu memperoleh keputusan semua A, dan berubah menjadi seorang pelajar yang baru.
Menurut artikel oleh Karangkraf pula, kajian menunjukkan amalan ketuk ketampi dapat memberi keseimbangan kepada kedua-dua bahagian otak.
Queensland Academis Health Science Campus pula mendedahkan kebaikan SuperBrain Yoga sebagai:
- Mampu memberi tenaga dan merangsang otak dengan menyeragamkan gelombang otak Alpha.
- Mengurangkan tekanan psikologi dan menstabilkan tahap psikologi.
- Menambah baik kecerdasan dan daya kreativiti.
- Menambah baik fungsi otak.
Nama Super Brain Yoga itu pula nampaknya dihakciptakan oleh Master Choa Kok Sui. Bayangkan jika nama ini yang digunakan oleh cikgu – cikgu untuk mendenda murid – murid mereka. Mungkin mereka tidak lagi membenci hukuman tersebut.
“Kamu tak siap kerja sekolah? Hah pergi buat gerakan Superbrain Yoga® dekat belakang. Buat 20!”
Namun satu lagi persoalan yang lebih kritikal adalah, sewaktu hukuman ini digunakan oleh warga pendidik berpuluh – puluh tahun sebelum ini di sekolah tanah air, adakah mereka sudah tahu kesannya terhadap rangsangan otak?
Sebab masuk akal kenapa hukuman ini begitu popular di sekolah – sekolah berbanding hukuman lain jika warga pendidik sudahpun mengetahui bahawa ia bukan saja satu bentuk dendaan, tapi juga satu penambahan kecerdasan otak murid – murid untuk menyambung sesi PnP.
Kalau betul, bagaimana datuk nenek kita boleh tahu? Persoalan yang cukup menarik bukan?