Ada dua buah yang selalu dibandingkan oleh orang Melayu, iaitu timun dan durian. Lihat pada peribahasa – peribahasa di bawah:
- Bagai durian dengan mentimun. Maksud: Orang yang berkuasa mudah mengalahkan orang lemah.
- Macam timun dengan durian:menggelek luka, kena gelek pun luka. Maksud: Perlawanan yang tidak seimbang (orang kecil melawan orang yang berkuasa).
- Durian berlaga dengan mentimun. Orang yang berkuasa mudah mengalahkan orang yang lemah.
- Mentimun dengan durian . Orang yang berpangkat rendah sentiasa salah jika berketuakan orang yang zalim.
- Umpama durian dengan timun, menggolek rosak, kena golek binasa. Orang yang lemah tidak boleh melawan orang yang kuat kerana baik buruknya orang yang lemah itu yang akan beroleh binasa
Bagi kesemua contoh di atas, dualisme durian dan timun kesemuanya berkisar tentang kuasa, penindasan, dan pengaruh.
Tapi kenapa Melayu memilih dua objek ini untuk menyampaikan mesej tersebut? Rupa – rupanya menurut pengkaji linguistik daripada Persatuan Linguistik Malaysia dalam artikel ‘ Refleksi Dualisme ‘Durian-Timun’ Dalam Peribahasa Melayu: Pendekatan Semantik Inkuisitif‘, ia menerangkan secara halus tentang akal budi orang Melayu.
Mereka membahagikan tiga tahap kefahaman untuk kita memahami akal budi Melayu melalui peribahasa:

Tahap 1
Tahap 1 melihat secara zahir fizikal objek durian dan timun. Durian yang bersifat keras dan berduri dapatlah ditafsir sebagai orang yang berkuasa, sedangkan timun pula lembut dan licin permukaan kulitnya, maka ia mewakili orang yang lemah.
Tahap 2
Tahap 2 meneroka lebih dalam tentang sifat timun dan durian.
Sifat durian apabila kita senaraikan ia memiliki:
- Permukaan kulit yang keras, tebal dan berduri.
- Isi dilindungi oleh pangsa-pangsa dan biji yang keras.
- Mempunyai bau yang kuat.
- Buahnya bersaiz besar.

Manakala timun pula memiliki ciri – ciri berikut:
- Permukaan kulit nipis yang licin dan lembut.
- Isi dalam dan biji yang lembut .
- Tidak berbau.
- Buahnya bersaiz kecil.

Maka apabila dibandingkan secara langsung timun dan durian, orang Melayu mengeluarkan mesej ” pertentangan kuasa iaitu antara kuasa yang dominan (kuat) dan kuasa yang lemah”.

Apatah lagi, apabila kita melagakan dan menindih kulit timun dengan durian, kulit timun akan rosak sedangkan kulit durian tidak terjejas. Orang Melayu melihat hal ini sebagai berat sebelah, bagaikan orang yang kuat melawan orang lemah.
Tahap 3
Penelitian lebih mendalam mendapati orang Melayu melihat timun dan durian sebagai perlambangan dua gender.
Durian ditafsirkan sebagai ‘lelaki’, kerana unsurnya panas. Sifat fizikal buah durian yang berduri , keras, tajam serta susah untuk dibuka telah diumpamakan sebagai seorang lelaki yang lazimnya memiliki sifat yang kuat, teguh serta mempunyai sistem ketahanan diri yang lebih.
Manakala timun pula dilihat berjantina ‘wanita’.
Sifat timun yang lembut dan berair telah melambangkan sifat perempuan yang sensitif dan dianggap lemah.
Orang Melayu juga melihat sifat durian yang boleh melukakan individu yang bergesel dengannya, malah sehingga memerlukan kain untuk memegang buah durian.
Ciri-ciri yang dimiliki oleh buah ini, telah diaplikasikan kepada orang yang mempunyai ‘kuasa’ atau ‘pengaruh’ yang besar. Sikap ‘salah guna kuasa’ menyebabkan individu atau pihak yang berpengaruh bertindak untuk ‘menindas’ pihak yang lemah.
Pemerhatian yang tinggi terhadap sesuatu sifat alam flora menyebabkan kewujudan perumpamaan ‘durian’ dan ‘timun’ yang dikiaskan dalam peribahasa Melayu.
Namun sungguh pun demikian, orang Melayu tidaklah menyalahkan durian dan merendahkan timun, sebaliknya hati budi Melayu melihat kedua – dua buah tersebut saling melengkapi.
Buah durian berunsur panas manakala buah timun berunsur sejuk. Buah durian mampu menjadikan badan seseorang panas, namun dengan memakan buah timun, seharusnya dapat meneutralkan keadaan suhu badan seseorang itu.
Bagi orang yang berpengaruh dan berkuasa, peranan mereka adalah memberikan arahan kepada pihak bawahan yang tidak bercanggah dengan kuasa pentadbiran. Manakala orang bawahan boleh mendengar arahan selagi tidak bertentangan dengan hak dan peraturan.
Itulah kebijaksanaan orang Melayu dalam mentafsir unsur alam ke dalam sistem sosial kehidupan.