Jarang kita berjumpa dengan kartun atau animasi berkenaan topik matematik tambahan.
Lagi jarang lagi kita berjumpa dengan animasi berkenaan topik matematik tambahan yang seakan – akan anime pertarungan ala One Punch Man dan Dragon Ball.
Dalam siri animasi MISI yang terbaru, penonton dibawa meneroka adegan ‘pertempuran’ pelajar – pelajar sekolah menengah vs soalan matematik tambahan.
Video animasi yang bertajuk ‘Krisis Quadratic Equation’ itu boleh ditonton di bawah:
Soalan matematik yang menyuruh pelajar mencari julat nilai x itu dipersembahkan menyerupai sebuah robot yang menakutkan dan berkuasa.

Pelajar – pelajar itu kemudian cuba menumpaskan soalan tersebut dengan menggunakan senjata – senjata, yang menariknya, merupakan alatan matematik. Jangka lukis digunakan sebagai pedang, kalkulator sebagai pistol dan sesiku segi tiga sebagai perisai (Kreatif!). Namun ternyata tidak berkesan untuk menumpaskan robot tersebut.

Setelah serangan bertalu – talu yang tidak mengemekkan sedikit pun robot itu, pelajar – pelajar tersebut mula hilang punca dan hampir menyerah, namun kemudian mereka diselamatkan oleh pelajar – pelajar genius yang baru pulang dari Olimpiad. Watak kegemaran penulis, Mat, punyalah hebat sampai boleh hadang serangan robot macam makan karipap.

Setelah robot tersebut diselesaikan (dibelasah), akhirnya ilusi menakutkan itu pun bertukar menjadi bentuk soalan matematik yang sebenar. Ternyata, bayangan menakutkan terhadap satu topik yang susah boleh dihilangkan sekiranya kita berlatih dan tahu cara membelasah soalan tersebut. Begitu juga, sentiasa cari pertolongan rakan – rakan yang lebih mahir untuk membantu cara menewaskan soalan!
