Ulasan: Hidupan Di Angkasa Lepas, Fakta atau Fiksyen?

Minggu ini, saya berkesempatan mengikuti ceramah yang dijalankan oleh Kelab Fizik UKM. Ceramah yang bertajuk “Hidupan di Angkasa Lepas – Fakta atau Fiksyen ?” ini disyarahkan oleh Encik Wan Mohd Aimran, yang merupakan pensyarah Astrofizik di UKM, serta calon PhD di UTM.

Bagi saya, tajuk ini adalah satu tajuk yang amat menarik, kerana kewujudan makhluk di luar sana, selain kita, adalah satu benda yang amat menarik untuk difikirkan. Perlu diberi perhatian bahawa makhluk asing yang dibicarakan sewaktu syarahan ini adalah hidupan di luar bumi, dan ia bukan makhluk-makhluk ghaib seperti jin dan syaitan, kerana sains tidak memasukkan itu semua sebagai makhluk fizikal.

Pada permulaan syarahan, Encik Wan memberi sedikit maksud ringkas akan apa yang akan dibicarakan sepanjang syarahan beliau. Beliau mengambil perkataan campuran hidup dan angkasa lepas sebagai mukadimah, seperti – apa perlunya kita meneroka angkasa lepas, dan kalau angkasa lepas ada hidupan, hidupan seperti apa yang kita mungkin jumpa? Adakah kita akan berjumpa Ewok, atau mungkin ET? Apakah wujud Alien seperti dalam filem Alien Vs Predator, dan kenapa kebanyakan filem menggunapakai plot Alien datang dan ingin menakluk Bumi?

Kosmologi Zaman Yunani

Menurut En Aimran, sifat ingin tahu sememangnya sedia wujud dalam diri manusia. Mungkin sebab itulah, manusia, sejak dari zaman ketamadunan Yunani lagi, telahpun mula berfikir mengenai angkasa lepas. Encik Aimran menjelaskan mengenai kepercayaan orang zaman dahulu, bahawa Bumi ini merupakan tempat tengah alam semesta (Geocentric), dan pelbagai objek samawi seperti Bulan, Matahari dan planet lain mengelilingi Bumi. Menurut kepercayaan mereka lagi, di luar dari alam cakerawala inilah tempat bersemayamnya para tuhan, dan ini sejajar dengan kepercayaan mereka yang mempercayai kewujudan dewa-dewa.

Dari situ, kita boleh lihat bahawa manusia mempunyai imaginasi yang tinggi untuk membayangkan penerokaan ke tempat yang lain, meskipun duduknya kita di Bumi. Maka sejajar dengan perkembangan zaman, Encik Wan membuka peluang bagi para pelajarnya untuk berfikir apa yang ada untuk kita di masa hadapan, nasib kita sebagai umat akhir, sebagai contoh, mungkin dengan membina kapal angkasa bergraviti tiruan, dan mula meneroka angkasa lepas, seperti dalam filem Interstellar. Mungkin juga kita akan mula mengkoloni Marikh atau Bulan, dan pada waktu itu, makhluk asing sebenar lahir dari baka manusia, cuma menetap di Bulan @ Marikh. Siapa tahu?

Projek kolonisasi Marikh sebenarnya semakin mendapat perhatian media sejak akhir-akhir ini, lagi-lagi dengan penglibatan Elon Musk, pemilik syarikat Tesla dan Space X. Projek kolonisasi Marikh sebenarnya merupakan satu idea yang masuk akal, kerana kita ada menemui kesan kewujudan air di Marikh. Dan sekiranya kita benar ingin melakukan proses kolonisasi di Marikh, pilihan utama kita pastinya adalah menjadi penduduk bawah tanah, kerana Marikh tiada medan magnet yang boleh melindungi kita dari radiasi Matahari seperti di Bumi.

Koloni manusia di Marikh?

Dari aspek “mencari’ hidupan di angkasa lepas pula, menurut Encik Wan, kita berhadapan dengan beberapa masalah utama yang agak besar. Masalah pertama, sekiranya kita ingin mencari satu hidupan di angkasa lepas, kita sebenarnya tidak tahu bentuk apakah hidupan yang ingin kita cari. Adakah kita nak cari satu lagi planet yang menyamai Bumi, yang ada manusia di dalamnya? Ataupun, kita nak cari planet dengan kucing di dalamnya? Jadi, soalan utamanya adalah, apa makhluk asing tu sebenarnya, dan macam mana kita nak tau bentuk makhluk asing, kalau kita tak pernah jumpa makhluk asing?

Cara mencari hidupan di angkasa lepas.

Untuk kes ini, kita mungkin boleh meletakkan beberapa spesifikasi, berdasarkan apa yang kita tahu berkenaan hidupan di Bumi. Bidang ini selalunya dirujuk sebagai Astrobiology. Hidupan yang kita akan cari, menggunakan idea hidupan di Bumi, hidupan itu sepatutnya merupakan Carbon-based organism, maksudnya ia sepatutnya dibuat dari elemen Carbon. Kenapa? Sebab kebanyakan sel benda hidup; manusia, haiwan dan tumbuhan, adalah berdasarkan kepada atom Karbon. Maka, kalau kita nak cari planet yang berkemungkinan ada hidupan, kita kena pastikan planet tersebut ada elemen Karbon di dalamnya.

Masalah kedua yang kita hadapi, apabila berbicara mengenai nak cari makhluk asing ni adalah: angkasa tu AMAT LUAS. Luas angkasa sekarang ni (menurut anggaran ahli Astrofizik) adalah lingkungan 46 billion tahun cahaya. Jauh tu! Jadi, kita nak halakan pencarian kita ke mana? Ke arah utara? Selatan?

Hakikat bahawa kita mempunyai satu kawasan mencari yang luas, dengan teknologi yang terhad ini saling tak tumpah dengan situasi seorang pengembara yang tersesat di tengah Gurun Sahara. Nak ke kiri pun pasir, nak ke kanan pun pasir. Jadi apa kita boleh buat? Dalam kes mencari makhluk asing ni, kita boleh terlebih dahulu membuat anggaran kasar – berdasarkan pemerhatian kita terhadap bintang dan planet yang mengelilingi bintang tersebut.

Satu trivia menarik; kajian terhadap bintang dan planet yang mengelilingi bintang merupakan sebahagian kajian yang mendapat hadiah Nobel tahun ini. Sepertimana sistem suria kita, sistem bintang yang lain juga terdiri dari bintang dengan planet yang mengorbit bintang tersebut. Maka, apabila wujud planet yang mengorbit bintang mereka, akan wujud beberapa zon seperti zon panas (planet terletak berhampiran dengan bintang, menyebabkan air tidak mampu wujud dalam bentuk cecair, sebaliknya menyejat dalam bentuk gas). Sekiranya planet tersebut terletak terlampau jauh dari bintang mereka pula, berkemungkinan besar planet tersebut akan jadi terlampau sejuk (air akan wujud dalam bentuk ais). Planet yang boleh didiami pula, menurut takrifan saintis, adalah planet yang terletak dalam Zon Selesa (Goldilock Zone) di mana air boleh wujud dalam keadaan cecair, sama seperti di Bumi. Planet-planet ini dipanggil sebagai Exoplanet.

Selain itu, terdapat pelbagai kriteria yang diperlukan oleh sesebuah planet untuk menampung hidupan yang sama seperti Bumi. Perlunya ada medan magnet untuk melindungi hidupan dari radiasi, suhu dan kelembapan yang sesuai, banyak sangat faktor yang diperlukan untuk sesebuah planet menjadi Habitable Planet.

Cakera emas yang dihantar ke dunia luar.

Jadi, oleh sebab usaha kita untuk mencari hidupan lain di alam semesta ini agak payah dan leceh, manusia juga telah bertindak dengan menyiarkan kewujudan kita kepada alam semesta ini (meskipun mendapat tentangan dari saintis terkenal seperti Stephen Hawking). Antara cubaan kita menghantar mesej kepada dunia luar adalah dengan menghantar Probe Angkasa yang diisi dengan bahan yang mempamerkan tamadun manusia, sebagai contoh Cakera Emas yang diletak pada Voyager 1 dan Voyager 2.

Terdapat beberapa kesan yang perlu kita fikir sekiranya perhubungan antara makhluk ini terjadi. Pertama, apakah bentuk bahasa yang perlu kita gunakan untuk berinteraksi dengan makhluk asing tersebut? Adakah kita perlu mengkhatamkan filem Arrival sebelum mula berinteraksi dengan mereka? Kedua, adakah kita perlu takut dengan mereka? Sejarah mengajar bangsa manusia bahawa apabila berlakunya pertembungan antara dua ketamadunan, tamadun yang lebih maju akan sentiasa membawa kehancuran kepada tamadun yang lagi satu (contoh Red Indian dan sejarah Amerika Syarikat). Maka perlukah kita takut dengan teknologi mereka? Perkara yang ketiga ditimbulkan sewaktu syarahan adalah, sekiranya makhluk asing tersebut wujud dan mampu berinteraksi dengan kita, adakah kita perlu meneruskan dakwah keagamaan terhadap mereka? Maklumlah, manusia merupakan khalifah.

Jadi, apa pandangan anda? Wujudkah hidupan lain di luar sana?

Slide syarahan boleh diambil pada link di sini: https://docs.google.com/presentation/d/1IjcU4feQlDiqi_YElzu0gAgqKz5IqIjxzR3P6q6BRH0/mobilepresent

Total
17
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts