Alam semesta ini besar. Sangat besar. Terlampau besar sampai otak kita mungkin tak dapat bayangkan pun betapa besar saiznya. Perkataan ‘besar’ itu sendiri hilang maknanya bila kita fikirkan tentang kebesaran alam semesta.
Sebab apa tak terbayang? Kita mulakan dengan jarak antara bumi dengan matahari, iaitu 149.6 juta kilometer jauhnya. Jauh kan? Rasanya iya lah, sebab nombor tersebut terlampau besar untuk unit kilometer yang kita biasa gunakan. Macam mana kalau kita tukar daripada kilometer kepada panjang ikan paus? Membantu tak kalau kita tahu jarak antara matahari dengan bumi adalah jumlah panjang 5,003,344,481 ikan paus? Tak?
Bagaimana kalau kita kira berapa lama masa yang diambil untuk benda paling laju dalam alam semesta, cahaya, untuk mengembara daripada matahari ke bumi? Tempohnya adalah lebih kurang 8 minit. Sekarang bunyinya sudah tak lah berapa membingungkan. 8 minit je.
Tapi bagaimana kalau kita kira jarak kepanjangan galaksi kita? Jarak kepanjangan galaksi kita adalah sejauh 105,000 tahun cahaya. Maksudnya cahaya perlukan 105,000 tahun untuk mengembara pada jarak sejauh itu. Otak kita mula mencair…
Ringkasnya, sangat tak mudah untuk bayangkan skala saiz objek – objek gergasi di alam semesta ini. Tapi laman web sizeofspace ini menghulurkan bantuan untuk membantu kita cuba membandingkan objek – objek terbesar alam semesta dalam bentuk pengembaraan slaid.
Laman web yang dihasilkan oleh Neal Agarwal ini bermula dengan membandingkan objek – objek ciptaan manusia.

Kemudian ternyata objek – objek tersebut kerdil jika dibandingkan Asteroid Bennu.

Kemudian apabila kita sampai kepada matahari, otak kita mula sakit. Planet bumi cumalah setompok piksel kecil yang tidak relevan langsung.

…. Dan mata kita jadi putih bila kita sampai kepada lohong hitam supermasif yang sebelum ini menggemparkan dunia manusia. Matahari tidak langsung kelihatan, manusia mungkin cumalah sebesar atom jika dibandingkan dengan skala saiz lohong hitam ini…

Jadi apakah objek yang paling besar di alam semesta? Anda boleh cuba sendiri!