Sebuah petisyen telah dilancarkan di laman change.org yang mendesak agar Kementerian Pendidikan menurunkan markah lulus matematik tambahan SPM tahun ini kepada 5% dan 50% untuk peroleh A+.
“Tahun ini soalan matematik tambahan terlalu sukar dan kerajaan telah menambah soalan yang begitu susah sehingga guru juga terpaksa habiskan satu jam untuk menyiapkan 2 soalan. Batch pelajar yang mengambil kertas tersebut meminta agar kerajaan menurunkan markah lulus bagi subjek tersebut”
Joseph Tan, pemula petisyen tersebut.
Pada ketika artikel ini ditulis, petisyen tersebut telah mendapat lebih daripada 23 ribu tandatangan.
Sebelum ini, telah tular berita tentang soalan Matematik Tambahan SPM yang terlalu sukar sehingga membingungkan guru – guru dan menyebabkan pelajar – pelajar menangis keluar dari dewan.
Pelajar – pelajar yang menurunkan tandatangan digital rata – rata bersepakat bahawa jumlah peratusan lulus tersebut sememangnya wajar.
“Saya menandatangan kerana peperiksaan matematik tambahan ini begitu sukar dan kerja keras kami selama ini sia sia”
“Soalannya begitu susah, tolong benarkan pelajar tahun ini lulus”
“Saya menandatangan kerana setiap calon SPM merasakan kemurungan dan ketakutan setelah mengambil kertas matematik tambahan”
Menurut Pengarah Lembaga Peperiksaan, Tuan Haji Adzman Talib berkata, kesemua soalan yang dikeluarkan adalah berdasarkan kurikulum yang telah pun diajar kepada semua pelajar disekolah.
Petisyen ini mendapat reaksi bercampur baur daripada netizen, ada yang mengatakan ini sebagai petanda belasan ribu pelajar tahun ini begitu manja.

Ada yang mengatakan bahawa sistem penilaian berdasarkan bell curve sememangnya akan merendahkan markah lulus berdasarkan gred purata pelajar seluruh Malaysia.
Bagaimanapun, petisyen ini mungkin isyarat satu reaksi balas pelajar yang tertekan dan memerlukan penelitian yang lebih telus berkenaan sistem pendidikan negara kita secara lebih menyeluruh.