Pada bulan Oktober setiap tahun, para saintis akan menunggu pengumuman bagi pemenang anugerah Nobel. Anugerah Nobel dianggap sebagai anugerah tertinggi dalam bidang sains seperti Fizik, Kimia, Fisiologi dan Perubatan.
Pada 8 Oktober 2019, anugerah Nobel telah dimenangi oleh seorang ahli kosmologi dan dua ahli astronomi. Pemenangnya ialah James Peebles atas sumbangannya dalam bidang kosmologi, Michel Mayor dan Didier Queloz atas sumbangan mereka yang menemukan planet luar suria yang mengorbit sebuah bintang jenis suria.
James Peebles telah banyak menyumbang dalam bidang kosmologi bermula tahun 1960-an sehingga kini.
Kosmologi ialah satu bidang yang mengkaji tentang kejadian alam semesta ini, bermula dari awal kelahiran sehinggalah kepada kematian alam semesta. Teori letupan besar, pengembangan alam semesta, jirim gelap dan tenaga gelap kesemuanya dibincangkan oleh ahli kosmologi.
Antara bukti yang menyokong teori letupan besar ialah sinaran kosmik latar belakang gelombang mikro (cosmic microwave background radiation). Sinaran ini terhasil ketika alam semesta berumur sekitar 400 ribu tahun. Oleh itu, dengan mengkaji sinaran ini, kita dapat memahami keadaan alam semesta pada awal kelahirannya.
Sinaran kosmik latar belakang gelombang mikro telah ditemukan secara tidak sengaja oleh dua orang jurutera iaitu Arno Penzias dan Robert Woodrow Wilson pada tahun 1964. Penjelasan bagi penemuan sinaran ini telah dilakukan oleh beberapa ahli kosmologi termasuklah James Peebles pada tahun 1965.
Namun James Peebles memainkan peranan yang lebih besar kerana beliau secara bersendirian telah menyediakan teori yang menjelaskan sinaran kosmik itu.
Anugerah Nobel kepada James Peebles telah tertangguh selama 54 tahun iaitu dari 1965 sehinggalah 2019. Penangguhan ini merupakan rekod baharu bagi ‘penangguhan anugerah Nobel terpanjang’. Rekod baharu James Peebles ini telah memecahkan rekod lama yang dipegang oleh Subrahmanyan Chandrasekhar yang mengambil masa 53 tahun (1930 – 1983).
Peebles bukan sahaja menerangkan berkenaan sinaran kosmik, malah beliau juga telah banyak menyumbang kepada pengetahuan mengenai jirim gelap, tenaga gelap dan struktur alam semesta.
Selain Peebles, anugerah Nobel ini dikongsi dengan dua orang ahli astronomi iaitu Michel Mayor dan Didier Queloz. Mayor dan Queloz berjaya menemukan planet luar suria yang mengorbit sebuah bintang jenis-suria pada tahun 1995.
Planet luar suria ialah planet yang wujud di luar sistem suria, dan mengorbit bintang yang lain. Penemuan oleh Mayor dan Queloz ini bukanlah penemuan planet luar suria yang pertama kerana Aleksander Wolszczan and Dale Frail telah pun menemukan planet luar suria terlebih dahulu pada tahun 1992. Namun penemuan Wolszczan dan Frail terhad kepada bintang jenis pulsar.
Penemuan oleh Mayor dan Queloz pula menggunakan teknik yang berbeza, yang boleh digunakan bagi bintang yang serupa dengan Matahari. Selepas penemuan ini, pelbagai usaha telah digerakkan untuk mencari lebih banyak planet luar suria. Setakat hari ini, telah lebih 4000 buah planet luar suria ditemui, dan sedang bertambah.