Berita Utusan TV pada 9 April 2022 melaporkan perbincangan Majlis Sains Negara berkenaan Pelan Hala Tuju Teknologi dan Produk Nano Negara 2021-2025 yang berlangsung secara hibrid dan turut dihadiri Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

Selari dengan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0), Perdana Menteri menyatakan bahawa pembangunan produk nanoteknologi seperti vaksin, ubat terapi kanser, peranti perubatan, teknologi sensor, baja nano, biojisim, panel solar serta pemanis dan perasa dalam produk halal yang mempunyai permintaan tinggi di pasaran global akan melonjakkan ekonomi negara.
Pelan Hala Tuju Teknologi dan Produk Nano Negara ini dikatakan bakal memberi banyak faedah sosioekonomi kepada Negara, termasuk mencipta 33,391 peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun yang merangkumi pekerja berkemahiran tinggi sebanyak 5,968, separuh mahir sebanyak 24,755 dan kurang mahir sebanyak 2,668 orang.
Memandang serius akan peratusan kemasukan pelajar dalam bidang STEM yang masih sedikit, mesyuarat juga membincangkan penawaran modal insan dan permintaan pasaran pekerjaan dalam sektor STEM, yang memerlukan penyelesaian secara tuntas untuk meningkatkan daya saing dalam bidang ini.
Selain itu, pengkomersialan hasil inovasi tempatan yang berpaksikan kemampanan sosioekonomi negara juga akan dipergiatkan dan Pelan Tindakan Kesihatan Planet Negara (PTKPN) yang bertujuan untuk memastikan Malaysia selangkah di hadapan menangani isu kesihatan manusia dan alam semula jadi, biodiversiti dan perubahan iklim secara holistik, akan digubal.
Semoga perancangan ini dapat dijayakan sebaiknya!
Sumber : UtusanTV,