Bilik Masa Hiperbolik atau Hyperbolic Time Chamber merupakan antara konsep yang menarik dalam siri animasi Dragon Ball.
Dalam Dragon Ball (atau anime Jepun secara umum), semua watak boleh menjadi kuat dengan berlatih.
Apabila timbul watak jahat yang berkali – kali ganda lebih kuat muncul dari segenap pelusuk alam, hero – hero kita kemudian akan berlatih di Hyperbolic Time Chamber, di mana 1 tahun di dalam bersamaan 1 hari di luar.
Dengan dilasi masa ini, hasilnya, mereka boleh luang bertahun – tahun untuk berlatih untuk menumpaskan lawan selang beberapa hari saja di dunia nyata.

Dan ini satu konsep yang penting dalam dunia Dragon Ball, kerana kebiasaannya watak jahat miliki senggang masa tertentu sebelum memulakan serangan (sebulan, setahun). Jika mereka tidak sempat berlatih dalam tempoh yang lama, mereka tidak mampu menjadi cukup kuat untuk melawan watak jahat tersebut.
Di dunia nyata, konsep sebegini bagaikan mimpi. Bayangkan jika kita miliki satu tempat khas di atas muka bumi yang kita boleh luangkan lebih masa untuk ulangkaji subjek SPM hari esok. Tempoh deadline tidak lagi menakutkan! Kita boleh berlatih lebih masa untuk menang apa – apa pertandingan! Hyperbolic time chamber memang satu impian buat para penangguh masa.

Tapi sudah pasti, ini adalah satu khayal kosong yang mustahil wujud. Kan?
Tidak. Ruang Masa Hiperbolik ini sememangnya wujud. Tapi ia bukan dalam keadaan yang kita jangka, dan bukan untuk manusia.
AI berlatih 200 Tahun Untuk Mengalahkan Manusia Terbaik dalam Starcraft 2.
Kecerdasan Buatan (AI) sebelum ini telah mencipta rekod baru yang cukup menggemparkan apabila berjaya menumpaskan manusia dalam permainan Go, sebuah permainan yang dianggap lebih kompleks daripada catur (yang juga kita manusia telah ditumpaskan).
Itu sudah cukup menyedihkan bagi manusia, tapi kumpulan di belakang kecerdasan buatan AlphaStar nampaknya tidak puas melihat manusia kalah, dan kemudian menghasilkan pula AI yang lebih canggih sehingga mampu memenangi permainan StarCraft II.

StarCraft II adalah antara permainan Real Time Strategy (RTS) yang paling mencabar sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dan antara permainan yang memerlukan kemampuan strategi, kepantasan berfikir dan kelajuan tindakan per minit (Action per minute) yang seolah – olah hanya mampu dibuat manusia super (superhuman).

Bukan saja mereka perlu mengawal unit dengan pantas dan optimal, mereka juga perlu merancang pengurusan makro, iaitu pemain perlu menguruskan membina markas, menguruskan sumber, membina unit, dan menjaga bekalan.
Walaupun AI sudah ‘khatam’ dalam permainan seperti Atari, Mario, Quake III, dan Dota 2, ia sangat susah menguasai kerumitan permainan StarCraft.
Tapi kini AI sudah pun melangkah ke tahap yang menggerunkan, apabila mereka kini menggunakan Bilik Masa Hiperbolik untuk mengalahkan musuh manusia mereka.
Ia telah dilatih untuk bermain StarCraft, dalam tempoh masa menyamai 200 tahun permainan di dunia sebenar.
Pada mulanya, rangkaian neural itu dilatih dengan belajar daripada pemerhatian terhadap cara permainan manusia. Maka AlphaStar kemudian boleh belajar, dengan cara meniru, strategi – strategi yang digunakan oleh pemain di tangga permainan StarCraft.

Agen yang awal kemudian berjaya menumpaskan AI tahap ‘elit’, iaitu lebih kurang tahap emas bagi pemain manusia.
Agen – agen AI ini kemudian disimulasikan untuk berentap sesama sendiri dan setiap pemenang akan mendaki anak tangga. Maka mesin tersebut mempelajari sendiri strategi – strategi yang berkesan, pematah strategi tersebut, cara permainan mana yang sesuai untuk melawan cara permainan lain, semuanya dalam ‘otak’ mesin tersebut.
Apatah lagi, beribu – ribu permainan StarCraft dimainkan serentak dalam masa 14 hari, dan segala data daripada simulasi tersebut menyamai 200 tahun masa permainan StarCraft dunia sebenar.
Pemain manusia paling lama dalam Esport StarCraft pun hanya belasan tahun.
Maka apabila AlphaStar dihadapkan dengan pemain profesional TLO, manusia tumpas 5 – 0 dengan sebuah permainan mencatat masa yang sangat pendek, hanya 17 minit.
Kemudian manusia tidak berpuas hati, dan menghantar pula MaNa, salah seorang pemain StarCraft paling hebat dalam dunia. Sekali lagi, kita kalah 5 – 0.
Bagaimanapun, pemain terbaik dunia, Serral berjaya menumpaskan Alphastar dalam permainan yang cukup tidak ortodoks, sebelum versi baru Alphastar menumpaskan beliau dengan menyapu bersih 3 – 0 menentang pemain terbaik dunia.
Jadi, ketika pelajar – pelajar sedang sibuk berpetisyen minta markah SPM diturunkan, musuh (harapnya tidak) kita sang AI sedang meluangkan masa beratus – ratus tahun belajar dan berlatih cara terbaik untuk menumpaskan pencipta mereka.