Mesti anda tertanya-tanya kenapa monyet penting kat bumi ini. Kenapa monyet, beruk, kera, gorilla, chimpanzee, lemur, lutung dan segala keturunannya penting kat muka bumi ini? Selain daripada tercatat bagaimana sebilangan kaum bani israil yang disumpah menjadi monyet dalam Al-Quran dan bagaimana teori Darwin digembar-gemburkan bahawa manusia datang daripada monyet, apa sebenarnya fungsi monyet atau lebih tepat primat dalam muka bumi ini?
Sebagai pengenalan, primat adalah salah sebuah order dalam taksonomi mammalia. Ia diteorikan berevolusi dari order Scandentia (seperti tupai) kira-kira 82.8 juta tahun dahulu (Eizirik et al. 2004). Order primate boleh dicirikan sebagai mammalia berplasenta, berkuku, dengan orbit dikelilingi tulang, mempunyai 3 jenis gigi yang sekurang-kurang sekali tumbuh dalam kitaran hidup, otaknya mempunyai lob hadapan dan calcarine sulcus, mempunyai sepasang jari yang bertentangan dengan jari lain, mempunyai kuku rata, mempunyai caecum (pangkal usus besar), penis, testis scrotal dan dua pectoral mammae (Mivart 1873). Ini adalah definisi klasik untuk mencirikan primat atau lebih sinonim dengan nama monyet.
Kepelbagian primat ini boleh didapati sekecil-kecil lemur tikus (Microcebus berthae) seberat 31g dan sebesar-besar gorilla (Gorilla gorilla) seberat 195kg. Ia boleh didapati di benua Amerika tengah, Amerika Selatan, Afrika, Eropah Selatan, Pulau Madagascar, Asia tengah, Asia Selatan, Asia Timur, dan Asia Tenggara. Haiwan ini amat unik dari segi kemajuan perkembangan kepintaran dan struktur social kerana menghampiri manusia. Apatah lagi dari persamaan jujukan DNA chimpanzee menghampiri 98% sama seperti manusia.
Namun apa kepentingan mereka terhadap alam sekitar, manusia, mahupun kepada cabang-cabang ilmu yang lain?
Mari kita mulakan kepentingan monyet ini dengan yang paling signifikan kepada mereka; kepentingan ekologi. Primat adalah pemangsa, mangsa dan pesaing dalam rantaian makanan di habitat mereka dimana peranan ini akan mengukuh struktur, fungsi dan kebolehtahanan ekosistem. Umumnya, monyet merupakan pemakan buah dan tumbuhan yang lain. Dalam kajian kami, monyet didapati memakan buah, biji, dedaun, pucuk, kulit kayu dan bunga. Aktiviti pemakanan ini membantu secara terus untuk penyebaran benih pokok-pokok hutan dan pendebungaan. Bahkan pemakanan dedaun akan menggalakkan tumbesaran pokok-pokok hutan yang tak diganggu manusia. Khususnya pokok hutan yang bersaiz besar seperti buah mangga, ara, yang memerlukan penyebar benih yang besar seperti ungka tangan putih (Hylobates lar). Strategi bagi pokok hutan untuk menyebar benih akan menjadikan buah-buahan mereka semenarik mungkin untuk primat dan burung untuk makan. Melalui cara ini, mereka akan lebih berjaya bermandiri apabila benih mereka tersebar jauh.
Primat pula membantu pokok ini dengan empat strategi berdasarkan kumpulan masing-masing. Orangutan dari kumpulan primat besar (great ape) menyebar benih dengan kawasan rayau yang luas dan kapasiti perut yang besar. Dengan cara ini, benih yang terdapat dalam perut orangutan akan berpeluang bercambah lebih jauh dari pokok induk. Ungka, mampu mencapai pokok hutan yang tinggi dan bergerak menelusuri pokok hutan dengan pantas selaju 40 km/h. Dengan cara ini, pokok hutan yang tinggi akan mampu dicapai ungka dan disebar benih oleh ungka dengan berjaya. Kera adalah primat yang bergerak dalam kawanan yang ramai yang boleh mencecah sehingga 50 individu. Mereka membantu menyebar benih dengan membawa kawanan yang besar dan meningkatkan peluang percambahan benih pokok dengan lebih tinggi. Lutong, dari kawanan primat pemakan daun spesifik meminati kulit buah dan tidak memakan biji buah. Maka ia tidak akan mencederakan biji buah untuk biji tersebut bercambah menjadi anak pokok yang baru. Begitulah pentingnya primat kepada ekosistem sekitarnya selain daripada memangsa serangga, dan menjadi mangsa untuk pemangsa yang lebih besar seperti helang dan kucing pemangsa (harimau, kucing hutan, anjing).
Dalam menilai kepentingan mereka yang kedua, kita boleh lihat pada aspek perubatan dan haiwan model. Primat telah menjadi model bagi menguji vaksin, antivirus, ubatan dan model bagi pelbagai penyakit lagi. Sebagai contoh adalah virus COVID-19 yang melanda dunia ketika ini, primat seperti kera (Macaca fascicularis) dan kera Rhesus (Macaca mulatta) telah dijadikan model haiwan untuk menguji antivirus dan vaksin. Mereka juga telah menjadi model bagi penyakit HIV/AIDS, atherosclerosis, penyakit pernafasan, dadah psikoaktif, kesihatan mental, endokrinologi dan immunologi. Struktur sosial mereka yang mempunyai banyak persamaan dengan manusia menjadikan mereka model untuk memahami struktur sosial, kasta, pengurusan konflik, keibubapaan, kognitif, pembelajaran dan memori, dan evolusi penggunaan alatan dan Bahasa. Mereka telah menyumbang kepada pemahaman yang tinggi dan mendalam terhadap ilmu-ilmu yang tidak dapat diteroka sebelum ini. Bahkan model badan mereka telah menjadi salah satu asbab kepada kemajuan vaksin dan perubatan dunia moden ketika ini. Bahkan menurut petua di hutan, apa yang kera makan, kita boleh makan melalui penilaian awal. Mereka adalah guru yang kita boleh contohi di dalam hutan mahupun dunia moden.
Kepentingan terakhir ini adalah berkaitan dengan kemasyarakatan dan kebudayaan manusia. Primat telah menjadi haiwan penting dalam kebudayaan manusia secara global. Sebagai contoh, lutong Hanuman (Semnopithecus entellus) adalah salah satu dewa dalam agama Hindu. Primat juga telah disebut dalam Al-Quran dalam surah Al-Baqarah ayat 65 yang mafhumnya:
“Dan sesungguhnya telah kamu ketahui orang-orang yang melanggar di antaramu pada hari Sabtu, lalu Kami berfirman kepada mereka, ‘Jadilah kamu kera yang hina’,” (QS. Al-Baqarah: 65).
Dalam hikayat sang kancil juga disebut kisah sang kancil dan monyet yang menunjukkan kepentingan sosiobudaya haiwan ini dalam peradaban dunia melayu. Walaupun kepentingan ini tidak dilihat darurat dalam erti kata fizikal, ia tetap salah satu item dari keseluruhan hidup manusia.
Sebagai penutup, jika anda lihat primat ini sebagai makhluk pengacau sebelum ini, percayalah ia lebih daripada itu dan mempunyai kepentingan yang besar pada kehidupan anda secara amnya. Mereka juga makhluk yang diciptakan oleh Allah dan semestinya mempunyai manfaat di dunia ini. Wallahu’alam.
*Artikel ini diolah dari makalah ulasan Impending extinction crisis of the world’s primates: Why primates matter oleh Estrada et al. 2017.
Ditulis oleh:
Najmuddin Bin Mohd Faudzir
Pelajar PhD (Primatologi) UTHM,
Rujukan:
Eizirik, E., Murphy, W. J., Springer, M. S., & O’Brien, S. J. (2004). Molecular phylogeny and dating of early primate divergences. In Ross C. F. & Kay, R. F. Anthropoid Origins. Boston, MA: Springer. 45-64.
Estrada, A., Garber, P.A., Rylands, A.B., Roos, C., Fernandez-Duque, E., Di Fiore, A., Nekaris, K.A.I., Nijman, V., Heymann, E.W., Lambert, J.E. and Rovero, F., 2017. Impending extinction crisis of the world’s primates: Why primates matter. Science advances, 3(1), p.e1600946.
Mivart, St. G., (1873). On Lepilemur and Cheirogaleus, and on the zoological rank of the Lemuroidea. Proc. Zool. Soc. Lond. 1873. 484–510.