Kehidupan kita pada dekad yang baru ini dipenuhi dengan pelbagai teknologi moden seperti rangkaian internet yang luas, ribuan model telefon pintar di pasaran dan jam-jam tangan pintar yang merekodkan kesihatan kita. Banyak syarikat berlumba-lumba untuk menembusi pasaran tekonologi hari ini kerana permintaan yang tinggi. Berbagai lagi idea yang ditransformasikan dalam bentuk peranti telah dicipta. Namun, tidak semua teknologi ini berjaya mendapat tempat dalam kalangan warga Bumi era baru ini. Ada yang gagal pada peringkat awal, ada yang tersungkur mencari pelabur dan penjana malah ada juga yang berjaya tetapi tidak mampu mengekalkan kejayaan mereka. Dalam artikel ini, saya kongsikan 6 teknologi (dan juga syarikat) yang cuba membawa idea-idea baharu namun gagal dalam mencapai sasaran mereka.
6. Vine
Vine merupakan sebuah platform sosial yang berasaskan video berulang 6 saat. Aplikasi Vine mula dilancarkan pada tahun 2013 dan meraih kemuncak popularitinya pada tahun 2014 apabila 200 juta pengguna menggunakan Vine untuk berkongsi video mereka. Banyak selebriti yang ada pada hari ini memulakan kerjaya mereka dari Vine seperti Zach King dan Logan Paul. Namun, Vine sudah tidak lagi dikenali pada hari ini seperti Instagram dan Facebook. Kejatuhan Vine ini sebenarnya bermula sebelum pelancaran Vine lagi. Vine telah dibeli oleh Twitter pada tahun 2012 sebagai sebuah platform video bagi laman Twitter dan juga sebagai sebuah serang balas terhadap Facebook yang telah membeli Instagram pada tahun yang sama. Kejatuhan Vine berpunca dari Twitter sendiri kerana Twitter tidak mempunyai halatuju yang jelas untuk Vine. Pada tahun 2015, Twitter telah melancarkan sokongan video bagi platform mereka sendiri yang tidak menggunakan Vine. Masalah halatuju ini telah menyebabkan pengasas Vine meninggalkan Vine pada tahun 2014 dan diikuti pula oleh pengurusan lain. Masalah pentadbiran Vine ini berlarutan, dan Vine gagal untuk menumpukan bakat mereka untuk meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan untuk para pengguna. Akhirnya pada tahun 2016, platform Vine telah ditamatkan oleh Twitter.
5. Blockbuster LLC
Syarikat Blockbuster LLC ini pasti diketahui ramai terutamanya bagi mereka yang sentiasa menantikan filem-filem Hollywood yang baharu. Syarikat ini merupakan pengeluar utama filem-filem ini melalui sewaan kaset video di kedai-kedai mereka. Pada penghujung abad ke 20, syarikat ini mula meraih populariti dan berjaya menembusi pasaran dunia. Kaset-kaset video ini memberikan platform kepada para penonton untuk menonton filem-filem yang diminati di rumah mereka tanpa perlu ke panggung wayang. Apabila masuk ke abad baru, internet mula popular dan digunakan dalam kalangan masyarakat. Pengenalan teknologi 3G telah membolehkan penstriman video melalui internet di mana-mana sahaja. Namun, Blockbuster LLC tidak mahu berinovasi dan mengambil manfaat teknologi ini. Akibatnya, Blockbuster LLC mula kehilangan pelanggan mereka kepada syarikat lain seperti Netflix. Pada 2010, Blockbuster terpaksa memfailkan bankrap dengan mempunyai hutang lebih 1 billion dollar. Suatu ketika dahulu, syarikat ini mempunyai lebih 9000 kedai penyewaan video. Kini hanya satu sahaja kedai Blockbuster yang tinggal.
4. Segway
Masyarakat di Malaysia pasti pernah mendengar tentang Segway beberapa tahun lalu. Mana tidaknya, pengangkutan dua tayar yang dapat mengimbangi badan penggunanya ini kelihatan seperti datang dari masa hadapan. Pengguna dapat bergerak dengan pantas dengan hanya menggerakkan badan ke hadapan dan kebelakang sahaja. Berbagai model Segway telah dikeluarkan ke seluruh dunia dan menjadi popular apabila selebriti mula menggunakannya. Namun, Segway tidak bertahan lama. Banyak peristiwa yang membawa kepada pengakhiran ini. Yang paling utama ialah dari sudut peraturan jalan raya. Segway ini masih lagi tidak dapat diketegorikan sama ada ia adalah pengangkutan yang hanya boleh digunakan di jalan raya atau ia boleh digunakan di laluan pejalan kaki. Pada Julai 2020, Segway telah mengumumkan bahawa mereka akan berhenti mengeluarkan model baharu.
3. Juicero
Masyarakat Malaysia mungkin tidak pernah mendengar nama Juicero ini namun ia pernah hangat dan tular di dunia barat. Juicero merupakan sebuah produk yang bertujuan memudahkan semua orang untuk menghasilkan jus buah-buahan di rumah. Kebiasaannya, kita perlu membasuh dan memotong buah-buahan, dan kemudian memasukkan buah-buahan tersebut kedalam mesin jus. Selepas jus siap diperah, kita perlu membasuh semula mesin jus dan membuang lebihan serat buah tadi. Juicero cuba menyelesaikan masalah ini dengan menyediakan mesin Juicero dan pek jus buah-buahan. Mesin Juicero ini dapat menghasilkan jus dengan memerah pek tersebut. Pengguna hanya perlu memasukkan pek tersebut ke dalam mesin, imbas kod pek tersebut pada telefon dan tunggu mesin Juicero menghasilkan jus. Konsep ini telah menarik banyak pelabur kerana menggunakan teknologi Internet Kebendaan. Namun, produk ini tidak bertahan lama kerana mesin Juicero tersebut dijual pada harga yang sangat mahal iaitu sekitar RM 3000. Kemudian, terdapat pendedahan bahawa pek Juicero tersebut dapat menghasilkan jus dengan kualiti yang sama tanpa memerlukan mesin yang mahal itu. Akibatnya, penjualan mesin Juicero menjunam dan akhirnya syarikat Juicero terpaksa menutup operasi pada tahun 2017.
2. Kodak
Jenama Kodak sangat popular suatu ketika dahulu kerana ia mendominasi pasaran fotografi. Kodak telah diasaskan pada tahun 1888 oleh George Eastman dan Henry A. Strong dengan visi membawa peluang fotografi kepada semua orang. Kodak berjaya merevolusi teknologi fotografi dengan pelaburan yang banyak dalam bidang teknologi fotografi filem dan bahan-bahan kimia yang berkaitan dengan filem. Banyak kilang dan makmal kimia yang dihasilkan bagi meningkatkan lagi kualiti kamera Kodak ini. Pada tahun 1975, Steven Sasson, seorang jurutera Kodak berjaya menghasilkan kamera digital pertama yang tidak lagi perlu menggunakan filem dan kartrij (cartridge). Namun, Kodak tidak mengambil peluang memajukan lagi ciptaan baharu ini kerana mereka telah banyak melabur dalam teknologi filem dan terlalu banyak kilang filem mereka di serata dunia. Situasi ini menyebabkan banyak syarikat mula mencuba teknologi ini seperti Canon, Nikon dan Fujifilm. Penghasilan kamera digital sangat murah, ringan dan lebih berkualiti berbanding kamera filem. Walaupun Kodak cuba untuk meneroka semula bidang kamera digital ini, mereka tidak mampu bersaing dengan syarikat-syarikat lain kerana masih lagi mengandaikan bahawa teknologi kamera filem tetap akan laku dalam pasaran. Akhirnya pada tahun 2012, Kodak jatuh bankrap setelah gagal bersaing dan berinovasi dalam fotografi yang mereka sendiri telah mendominasi berdekad-dekad sebelumnya.
1. Nokia
Jika anda lahir pada tahun 90-an atau sebelumnya, pasti anda pernah mendengar jenama Nokia. Mana tidaknya, hampir semua orang mempunyai telefon bimbit Nokia. Malah ada juga dalam kalangan pelajar sekolah yang mencuri-curi bawa masuk telefon Nokia mereka ke asrama. Antara model yang popular ialah Nokia ‘tiga-tiga sekupang’ atau Nokia 3310. Ini kerana telefon ini berdering dengan sangat kuat serta getarannya boleh menusuk ke tulang! Permainan ‘Snake’ juga popular disebabkan telefon ini. Jenama Nokia, telah mendominasi dan menguasai pasaran telefon bimbit pada dekad yang lalu. Namun hari ini, hampir tiada orang yang menggunakan jenama Nokia lagi. Kejatuhan Nokia bermula apabila iPhone dan Android mula memasuki pasaran telekomunikasi. Nokia pernah mencuba telefon yang mempunyai skrin berwarna, dan berkamera seperti model N95 dan N96. Nokia juga telah membawa servis permainan mudah alih Ngage pada tahun 2008. Namun dengan sistem pengendalian Symbian (Symbian OS) yang tidak mesra pengguna, ramai pengguna meninggalkan Nokia dan menggunakan telefon pintar lain seperti iPhone dan Samsung Galaxy.
Pengajaran
Begitulah 6 syarikat teknologi yang popular serta mendapat perhatian ramai, namun disebabkan kegagalan dalam pelbagai aspek terutamanya dalam berinovasi, mereka tersungkur ke Bumi. Pada hari ini, kita sangat kenal pada jenama besar seperti Apple, Samsung, Netflix, Microsoft, Facebook dan Google. Namun, kita tidak tahu apa yang akan terjadi di masa akan datang. Mereka mungkin akan terus mendominasi. Namun mereka juga mungkin gagal jika tersalah langkah. Sama juga dengan kehidupan kita. Pastikan kita merancang kehidupan kita dengan baik. Jika kita gagal merancang dengan baik, kita sebenarnya merancang untuk gagal.