Beberapa hari yang lepas, Ajar telah menerbitkan satu artikel berkenaan dengan “soalan Matematik viral”. Dalam soalan tersebut, situasi yang diberikan adalah seorang lelaki yang mencuri duit sebanyak RM300, dan duit tersebut kemudiannya digunapakai untuk membeli barangan. Jawapan menurut perkiraan saya, asalnya adalah dalam RM600, namun artikel tersebut menjelaskan bahawa jumlah kerugian yang ditanggung oleh Tuan Kedai adalah RM300.
Setelah melakukan sedikit kajian, saya bersetuju dengan jawapan RM300 tersebut, namun atas alasan yang agak berbeza dari yang dinyatakan dalam artikel berkenaan.
Penjelasan
Untuk memahami jawapan ini dengan lebih jelas, kita perlu memecahkan situasi ini kepada dua situasi yang berbeza. Situasi pertama yang perlu diperhalusi adalah situasi kecurian, dan situasi kedua adalah situasi pembelian barangan.
Dalam situasi kecurian tersebut, telah berlaku kehilangan wang tunai dalam simpanan Tuan Kedai. Dalam erti kata lain, wang tunai telah bertukar tangan dari Tuan Kedai kepada Pencuri, sebanyak RM300.
Soalan saya, duit RM300 ini sebenarnya dikategorikan sebagai apa?
Dalam istilah ekonomi, duit tunai RM300 ini dikategorikan sebagai Wang Gelap (Black Money).
Wang Gelap merujuk kepada apa-apa nilai wang yang terhasil dari transaksi yang menyalahi undang-undang (dalam kes ini mencuri).
Justeru, untuk menjawab soalan dalam artikel tersebut, jumlah kerugian sebenar yang ditanggung oleh Tuan Kedai adalah RM300, dan ia adalah kerana RM300 tersebut telahpun dicuri.
Transaksi yang berlaku seterusnya adalah satu transaksi perniagaan yang biasa, maka secara matematiknya;
Tuan Kedai: Rugi RM300; Transaksi normal: RM300; Pencuri: Mendapat untung RM300dalam bentuk barangan (RM210) dan wang tunai RM90).
Sekiranya anda masih keliru, bayangkan, sekiranya pencuri itu tidak menggunakan wang curiannya di kedai yang sama, namun menggunakannya di kedai yang lain. Transaksi perniagaan di kedai yang lain akan berlaku sepertimana transaksi biasa, bukan?
Awas: Mencuri adalah satu kesalahan jenayah!
Wang Haram dan Macau Scam
Situasi yang terjadi tadi (pencuri menggunakan wang yang dicuri tadi), dalam terma ekonomi, boleh dikategorikan sebagai Pengubahan Wang Haram. Wang Haram yang diperoleh dari aktiviti jenayah seperti kecurian, rompakan, penjualan dadah dan bahan larangan serta pelacuran misalnya, adalah antara wang yang wujud dalam ekonomi setempat, namun tida dapat dikawal oleh pihak berkuasa (no regulation of money).
Selain dari itu, Wang Gelap atau Wang Haram juga boleh diterbitkan dari aktiviti seperti rasuah dan mengelak dari pembayaran cukai. Rasuah, seperti yang kita tahu, tidak melibatkan nilai yang kecil, dan transaksi rasuah juga akan menerbitkan wang dari sumber yang tidak diketahui asalnya.
Mengelak dari membayar cukai pula menerbitkan Wang Haram, sebagai contoh nilai hartanah sebuah rumah adalah RM200,000, namun transaksi yang direkodkan adalah RM100,000 (untuk mengelak dari membayar cukai yang tinggi), nilai lebihan sebanyak RM100,000 itu kini menjadi satu bentuk Wang Gelap/Wang Haram kerana ia tidak dikawal oleh pihak berkuasa.
Kewujudan Wang Gelap/Wang Haram ini kemudian akan mewujudkan satu sektor ekonomi bawah tanah (underground economy), yang mana ini merupakan tempat di mana Wang Haram ini boleh digunakan sesama penjenayah. Dengan kecanggihan teknologi, banyak kumpulan jenayah kini telahpun menukar modus operasi mereka dari menyimpan wang fizikal kepada menyimpan matawang digital (digital currency) kerana ia lebih selamat dan tidak memakan banyak ruang.
Situasi Wang Gelap ini agak menarik sebenarnya, lebih-lebih lagi apabila baru-baru ini terdapat beberapa kes Macau Scam yang telah pun berjaya dijatuhkan oleh pihak Polis Di Raja Malaysia (PDRM).
Tapi, apa pulak Macau Scam ni?
Macau Scam merujuk kepada situasi di mana orang awam diperdaya untuk menyerahkan sebahagian besar wang mereka kepada individu yang menipu (ditulis Penipu) atas alasan-alasan yang melibatkan badan-badan kerajaan atau urusan perbankan.
Terdapat laporan (seperti dalam gambar) di mana seorang wanita dari Kedah kehilangan lebih dari RM100,000 apabila dia dihubungi oleh pihak Polis dari IPD Seremban kerana disyaki terlibat dengan penggubahan wang haram. Dia telahpun diminta untuk memasukkan sejumlah wang untuk perlindungan insurans andainya berlaku apa-apa masalah.
Perkara yang menarik untuk diperhatikan dalam kes ini adalah bagaimana wang yang didapati secara haram ini kemudiannya “diubah” menjadi bersih (money laundering).
Kebanyakan wang haram ini kemudiannya dilaburkan untuk menghasilkan suatu “transaksi halal”, seperti pelaburan dalam perniagaan (kes pelaburan gerai minuman Boba) dan orang yang memiliki wang hasil penipuan itu juga mengamalkan gaya hidup yang mewah (pembelian secara tunai, namun sumber wang tidak dapat dikenalpasti).
Dalam kes Macau Scam yang ditahan pihak berkuasa, dalang sindiket tersebut pada asalnya adalah dari China, namun beberapa orang ejen dari Malaysia dilantik untuk “menguruskan pelaburan” tersebut dengan mencari ahli perniagaan yang berpotensi “mencuci” wang haram tersebut.
Dalam kes ini, tanggungjawab berat dipikul oleh pihak berkuasa dan institusi perbankan seperti PDRM, SPRM dan LHDN, kerana dalam proses untuk menyemak semula wang-wang haram yang dibersihkan ini, mereka perlu penyiasatan yang menyeluruh, seperti rekod asset, transaksi yang dibuat dan sebagainya.
Rumusan
Sebagai rumusan, pengubahan wang haram merujuk kepada situasi di mana wang yang diperoleh dari sumber yang haram atau tidak dicukai, kembali dialirkan kepada kitaran ekonomi (disucikan). Dalam soalan yang viral tadi, jumlah rugi yang ditanggung oleh Tuan Kedai adalah RM300 kerana wang yang telah dicuri, namun transaksi yang berlaku antara Tuan Kedai dan Pencuri itu adalah satu transaksi yang sah, dan ia tidak menghasilkan apa-apa kerugian.
Kerugian yang sebenar adalah Pencuri itu sendiri, kerana dia telah menanggung dosa mencuri, dan hendaklah dia bertaubat atas segala kesalahan yang telah dia lakukan.
Rujukan:
- “Berapa Sebenarnya Yang Tuan Kedai Rugi?”, Muhamad Addeen (2020), Ajar. https://ajar.com.my/2020/10/15/berapa-sebenarnya-yang-tuan-kedai-rugi/
- “Black Money”, Will Kenton (2020), Investopedia. https://www.investopedia.com/terms/b/black-money.asp
- “Underground Economy”, Andrew Bloomenthal (2020), Investopedia. https://www.investopedia.com/terms/u/underground-economy.asp
- “Macau Scam, ‘cuci duit’: Apa tindakan kita?”, https://www.hmetro.com.my/rencana/2020/10/629814/macau-scam-cuci-duit-apa-tindakan-kita
- “Teacher loses RM1.13mil in Macau scam”, Austin Camoens (2020), The Star. https://www.thestar.com.my/news/nation/2020/10/06/teacher-loses-rm113mil-in-macau-scam
- “Housewife loses RM136,000 to Macau scam”, (2020), The Star. https://www.thestar.com.my/news/nation/2020/10/15/housewife-loses-rm136000-to-macau-scam