Alahai PdPR lagi, 25 hari!

Melalui sidang media khas Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Radzi Jidin yang telah disiarkan secara langsung hari ini, beliau telah memaklumkan bahawa Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan dilaksanakan selama 25 hari persekolahan bermula 13 dan 14 Jun mengikut kumpulan masing-masing.

Bagi negeri kumpulan A yang akan bermula pada 13 Jun membabitkan Negeri Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu. Manakala, bagi negeri kumpulan B yang akan bermula pada 14 Jun membabitkan Negeri Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan serta Putrajaya.

Ketetapan ini berkuatkuasa untuk semua sekolah termasuklah sekolah swasta, sekolah antarabangsa, dan sekolah ekspatriat yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan (KPM).

“Kita sedia maklum bahawa pada waktu ini sekolah dalam cuti pertengahan tahun dan sesi persekolahan berikutnya mengikut takwim akan bermula pada 13 Jun untuk negeri kumpulan A dan 14 Jun untuk negeri kumpulan B.”

“Kemudian, murid akan mengikuti PdPR selama 25 hari persekolahan sehingga cuti berikutnya iaitu cuti pertengahan penggal bermula pada 16 Julai bagi negeri kumpulan A dan 17 Julai bagi negeri kumpulan B.”

“Daripada tarikh tersebut bermula cuti pertengahan penggal sehingga 26 Julai untuk negeri kumpulan B dan 25 Julai untuk negeri kumpulan A.”

“Jadi, itulah takwim atau jadual penggal persekolahan yang ada dan berkuatkuasa pada hari ini,” katanya pada sidang media khas di Putrajaya, hari ini.

Katanya lagi, “Ada yang akan bertanya apa akan berlaku selanjutnya selepas ini iaitu selepas berakhirnya sesi cuti pertengahan penggal itu.”

“Jadi, KPM akan memaklumkan kepada ibu bapa dan murid sekurang-kurangnya seminggu sebelum persekolahan bermula mengenai pendekatan selanjutnya berdasarkan situasi pada waktu itu,” katanya.

Bertabahlah wahai adik-adikku. Teruskan berdoa supaya dunia kembali sembuh seperti sedia kala dan adik-adik dapat menikmati pembelajaran di sekolah kembali seperti biasa. Keep pray and stay positive, okay!

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts