Dari mana Matematik datang?

Sejak dahulu lagi, ilmu matematik dipertikaikan punca kewujudannya. Terdapat dua kemungkinan faktor wujudnya pertikaian ini.

Pertama, tahap kesukarannya menyebabkan orang ramai mencari punca dan kegunaannya dalam kehidupan.

Kedua, tahap keindahan dan kehebatannya menyebabkan sesetengah manusia mencari punca atas dasar kekaguman.

Zaman sekarang, pertikaian ini tidak hanya berlegar di kalangan rakyat Malaysia, tetapi juga di negara-negara lain, malah mungkin sehingga melibatkan seluruh dunia.

Di era pemerkasaan STEM dan IR 4.0, segelintir manusia masih mempertikai dua persoalan asas mengenai ilmu Matematik yang menjadi salah satu ilmu wajib dalam pembelajaran STEM dan IR 4.0.

“Dari mana Matematik datang?” dan “Apa itu matematik?”

Dalam satu artikel di laman web https://theconversation.com/au/technology, bertajuk “Pythagoras’revenge : humans didn’t invent mathematics, it’s what the world is made of.”, penulis yang merupakan Associate Professor di Australian Catholic University menyebut bahawa kebanyakan manusia menganggap matematik ini merupakan invensi manusia, seperti satu bahasa yang mungkin mentakrifkan alam nyata, tetapi, tidak wujud di luar pemikiran orang yang menggunakannya. Kemudian, beliau menyatakan bahawa matematik merupakan komponen penting alam semula jadi yang memberi struktur kepada dunia fizikal berdasarkan dua pembuktian kejadian alam.

Sarang lebah berbentuk heksagon

Mengikut konjektur “honeycomb” dalam matematik, bentuk heksagon merupakan bentuk paling efisien untuk memenuhi setiap ruang secara maksimum dengan mengekalkan jumlah panjang perimeter pada tahap minimum.

Maka, lebah dikatakan berevolusi menggunakan bentuk ini untuk menghasilkan ruang terbesar bagi menyimpan madu.

Serangga Cicadas dan nombor perdana

Terdapat dua subspesies serangga cicadas di Utara Amerika yang hidup di tanah hampir sepanjang hayat mereka. Kemudian, setiap 13 dan 17 tahun, serangga ini muncul dalam kawanan besar untuk tempoh sekitar dua minggu. Hal ini telah menimbulkan persoalan mengapa 13 dan 17 yang dipilih. Hujahnya adalah kerana serangga ini memilih selang tahun dengan nombor perdana, besar kemungkinan kerana ingin mengelak daripada bertemu pemangsa yang hidup dengan kitaran hidup berbeza panjang tempohnya dan tidak akan keluar pada setiap 13 dan 17 tahun.

Daripada contoh-contoh ini, penulis menyatakan bahawa matematik bukanlah ciptaan manusia kerana banyak perkara sekeliling kita dapat dijelaskan secara matematik. Sebenarnya, fakta matematik hanyalah ditemui, bukan oleh manusia semata-mata, tetapi juga oleh serangga, enjin dan planet.

Beliau kemudiannya menerangkan gagasan Plato perihal ini yang menganggap bahawa objek termasuk nombor dan bentuk geometri benar-benar wujud di dunia dan di luar ruang dan masa. Hal ini kerana sekiranya matematik wujud di alam selain dunia yang kita diami, objek tersebut tidak mampu untuk dikaitkan secara fizikal. Gagasan ini turut dipersetujui oleh pengikut Pitagoras, tetapi sedikit berbeza apabila mereka tidak menganggap bahawa objek matematik ini wujud di luar ruang dan masa. Malah, mereka mempercayai bahawa objek matematik tercipta sama seperti penciptaan atom. Rentetan beberapa pembahasan, penulis akhirnya menyimpulkan bahawa objek matematik menyediakan rangka kerja struktur untuk dunia fizikal.

Lalu, bagaimana pula tanggapan ilmuwan Islam? Bukankah ilmu ini turut merentasi tamadun Arab suatu ketika dahulu sehingga terlahirnya beberapa nama besar yang memberi sumbangan dalam penemuan-penemuan konsep matematik seperti Al-Khawarizmi dan Omar Khayyam.

Bagi menjawab persoalan ini, hakikatnya adalah tidak mudah kerana berkait rapat dengan kefahaman falsafah, epistemologi, mantik dan bahasa. Oleh sebab itu, terlahirnya empat mazhab pemikiran yang membahaskan perihal ilmu ini, iaitu logikisme, formalism, intuisisme dan kuhnisme. Fahaman inilah yang mendasari ajaran para ilmuan dan pendidik dalam menyampaikan dan mempelajari ilmu Matematik.

Di akhir perbahasan, paradigma ilmu ini akan dikembalikan kepada kebenaran Al-Quran oleh para ilmuwan Islam.

Kita boleh bersetuju bahawa ilmu Matematik bukan ilmu manusia. Tetapi, kita tidak bersetuju untuk menyatakannya sebagai ilmu sedia ada. Sebagai seorang Muslim, kepercayaan dan pegangan kita melebihi batasan itu bahawa sesungguhnya ada kuasa Yang Maha Besar atas segalanya. Secara umumnya, semua yang diciptakan Allah ada aturan dan ketetapan tersendiri. Aturan dan ketetapan inilah yang kemudiannya dipelajari, dikaji dan diambil hikmahnya oleh manusia.

“Dan mengapa mereka tidak memikirkan tentang (kejadian) diri mereka? Allah tidak menciptakan langit dan bumi dan apa yang ada di antara keduanya melainkan dengan (tujuan) yang benar dan dalam waktu yang ditentukan. Dan sesungguhnya kebanyakan di antara manusia benar-benar mengingkari pertemuan dengan Tuhannya.”- Surah Ar-Rum ayat 8.

RUJUKAN : https://scitechdaily.com/pythagoras-revenge-humans-didnt-invent-mathematics-its-what-the-physical-world-is-made-of/

Total
31
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.

Related Posts