Bagaimana al-Quran menyuruh kita mengkaji matematik

Sebagai umat Islam, kita berpegang teguh kepada Al-Quran dan Al-Hadis sebagai sumber utama rujukan kehidupan. Daripada sekecil-kecil perkara, sehinggalah sebesar-besar perkara, pasti ada petunjuk daripada Allah menerusi sumber ini. Oleh sebab itulah, Baginda Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud :

“Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara dan kamu tidak akan sesat selagimana kamu berpegang dengannya iaitu kitab Allah (al-Qur’an) dan sunnah Nabi-Nya (Sunnah Nabi SAW).” (Hadis Riwayat Imam Malik)

Catatan sejarah menceritakan kepada kita bagaimana ilmuwan Islam terdahulu mempunyai ilmu yang komprehensif dan mantap dalam pelbagai bidang melebihi tamadun-tamadun yang lain biarpun pada peringkat awal, ilmu-ilmu tersebut diserap daripada tamadun-tamadun terdahulu seperti tamadun Yunani dan tamadun Rom. Berinspirasikan daripada Al-Quran sebagai pusat kegiatan ilmu, penerokaan-penerokaan baharu telah dijalankan dan pelbagai penyelidikan baharu telah terhasil.

Hal ini turut mendapat perhatian cendekiawan-cendekiawan Negara bukan Islam yang mengakui bahawa terlalu banyak ayat-ayat Al-Quran yang mempunyai perkaitan dengan ilmu-ilmu sains seperti proses kejadian manusia, bumi, langit, tumbuhan, haiwan dan lain-lain.

Tahukah anda, penerangan konsep matematik tidak terkecuali daripada petunjuk sumber ini. Saya yakin, sudah ramai yang mengkhatam Al-Quran berkali-kali sepanjang hidupnya sehingga ke hari ini dan menyedari bahawa terdapat kalam Allah yang menerangkan tentang ilmu ini.

Daripada satu jurnal Sains dan Matematik yang dikeluarkan oleh Universiti Teknologi Malaysia bertajuk “Pendidikan dan Penyelidikan Matematik Berinspirasikan Al-Quran”, jom kita cuba lihat beberapa bukti yang telah ditunjukkan.

Aritmetik dan Aljabar

Aritmetik merupakan cabang ilmu matematik yang melibatkan nombor, manakala aljabar ialah cabang ilmu nombor yang tujuan penulisan asalnya mengikut al-Khawarizmi adalah untuk menyediakan satu perkaedahan rapi dalam masalah nilai anu disebabkan masalah-masalah yang dihadapi oleh masyarakat harian dalam permasalahan wasiat, pusaka, mua’malat dan mutarahat (perbahasan berbentuk soal jawab masalah). Al-Khawarizmi telah menyebut bahawa aljabar merupakan ilmu untuk masyarakat. Dalam menemukan penyelesaian ini, beberapa ayat al-Quran telah dijadikan rujukan. Antaranya, surah an-Nisaa (4:11-12) bagi menentukan kadar pembahagian harta pusaka setiap waris.

Selain itu, istilah-istilah berkaitan perhitungan seperti ‘nombor-nombor’ dalam surah Yusuf (12:43), ‘per’ bagi pecahan dan perpuluhan dalam surah Saba’ (34:45), ‘kali ganda’ dalam surah al-An’am (6:160), ‘lebih’, ‘kurang’ dan pelbagai lagi istilah matematik yang lain.

Logik

Logik merupakan salah satu elemen penting dalam memberi hujah saintifik yang mempengaruhi perkembangan ilmu-ilmu sains dan matematik hingga kini, termasuklah dalam bidang perkomputeran. Dalam bahasa tamadun terdahulu, logik ini disebut sebagai mantik dan menjadi aspek penting dalam menzahirkan kebenaran dan menolak kepalsuan. Prof. Mat Rofa menerangkan hasil penemuannya berkenaan mantik dalam buku ‘Mantik, Matematik dan Budaya Ilmu’ bahawa mantik membimbing kaedah berfikir secara bersistem dan membuat penaakulan dan penghujahan yang sahih seperti contoh yang sering dikemukakan, “Alam berubah, setiap yang berubah adalah baharu, maka alam adalah baharu.”

Menerusi surah Al-Imran (3:185) yang membawa maksud, ”Setiap yang bernyawa pasti akan menemui kematian.”, cendekiawan Islam seperti al-Kindi dan al-Khawarizmi telah mendapat ilham untuk membuktikan satu teori matematik. Selaras dengan penggunaan matematik yang lebih moden, pernyataan logik ‘jika’ dan ‘maka’ menjadi asas kepada pembuktian teorem-teorem matematik dalam pelbagai bentuk permasalahan.

Pemodelan Matematik

Permodelan matematik boleh ditakrifkan sebagai prosedur untuk mengkaji keadaan atau fizikal sesuatu sistem atau peristiwa dengan menganalisis data-data berkaitan menggunakan kaedah-kaedah matematik yang tertentu.

Dalam al-Quran, konsep permodelan matematik dapat diperhatikan melalui penggunaan secara tidak langsung nombor-nombor untuk mewakili sesuatu objek atau peristiwa. Seperti satu kajian yang menyebut bahawa penelitian secara terperinci akan Surah al-Qadr akan mendapati surah tersebut terbina dengan 114 huruf dan 30 patah perkataan mewakilkan sebahagian ciri-ciri al-Quran itu sendiri yang mempunyai 30 juzuk dan 114 surah berpadanan dengan sebab penurunan dan isi kandungan surah tersebut. Dalam satu kajian yang lain menyebut bahawa perkataan yang bermaksud bulan dan hari masing-masing diulang sebanyak 12 dan 365 kali dalam ayat-ayat al-Quran bertepatan dengan ukuran bulan dan hari secara umum dalam kalendar-kalendar manusia.

Konsep Berpasangan       

Dalam surah Yasin (36:36), Allah menyebut bahawa makhluk dicipta secara berpasangan. Hal ini juga terpakai pada nombor sepertimana yang ditunjukkan pada jujukan Fibonacci yang telah digunakan secara meluas dalam teori nombor, serta dijadikan sebagai satu kaedah pelaburan ahli-ahli ekonomi. Selain itu, konsep pasangan tertib bagi sesuatu nombor telah diperkenalkan untuk mewakilkan unsur-unsur dalam sesuatu set secara tersusun yang mana menjadi konsep penting dalam geometri, teori graf, dan juga permasalahan dalam bidang kejuruteraan.

Konsep Songsangan

Terdapat firman Allah S.W.T yang menerangkan konsep songsangan secara tidak langsung dalam menerangkan penciptaan alam semesta dan hukum hakam. Sebagai contoh, surah al-A’raf (7:8-9) menyatakan ciri orang yang berjaya dan gagal. Selain itu, penciptaan pasangan malam-siang dalam surah al-Israa’ (17:12), langit-bumi dalam surah al-Anbiyaa’ (21:30) dan syurga-neraka dalam surah al-Imran (3:131-133).

KESIMPULAN

Kita mengetahui bahawa bahasa Al-Quran ini adalah tidak mudah untuk ditafsir secara terus dan memerlukan kepada bacaan tafsiran yang lebih mendalam oleh ulama’-ulama’ Islam yang diiktiraf ilmunya. Malah, peranan hadis juga adalah untuk menghuraikan secara terperinci tentang apa yang difirmankan oleh Allah S.W.T di dalam Al-Quran. Oleh yang demikian, amalan mentadabbur selepas membaca Al-Quran amatlah diperlukan bagi memahami makna tersirat setiap ayat Allah dengan lebih mendalam.

Penerangan-penerangan di atas telah dibuat oleh pengkaji dalam jurnal ini secara umum dan hanya dibahaskan secara ringan perkaitannya setelah pengkaji membaca beberapa kajian lain dengan mendalam. Kita dapat lihat beberapa contoh bagaimana Allah menerangkan konsep matematik dalam Al-Quran dan dijadikan panduan para cendekiawan terdahulu sehinggalah kini untuk menyelesaikan permasalahan manusia.

Untuk mengetahui lanjut tentang konsep matematik dalam mukjizat mulia ini, tadabburlah ayat-ayat al-Quran dengan sedalamnya menerusi bacaan-bacaan tafsir oleh ulama’ muktabar. Beberapa hari lagi nak masuk Ramadan, eloklah kita ambil semangat di bulan Syaaban ini untuk memulakan momentum dan konsistensi membaca dan mentadabbur ayat al-Quran dengan sebaiknya.

RUJUKAN

  1. Jurnal Sains dan Matematik UTM, “Pendidikan dan Penyelidikan Matematik Berinspirasikan al-Quran”.
  2. Buku Sejarah Aritmetik dan Aljabar Islam, Mat Rofa Ismail.
  3. Buku Mantik, Matematik dan Budaya Ilmu, Mat Rofa Ismail.
  4. Utusan TV. com
Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts