Kajian Bangkai Penguin : Bagaimana Penguin yang sudah mati mengurai di Antartika?

Bagi memahami bagaimana bangkai penguin mereput ketika cuaca ekstrem Antartika, Dr. Heo Chong Chin, pakar entomologi forensik dari Fakulti Perubatan, Universiti Teknologi MARA telah menyertai satu ekspedisi tajaan Yayasan Penyelidikan Antartik Sultan Mizan (YPASM) untuk Stesen King Sejong (stesen penyelidikan Antartika milik kerajaan Korea Selatan), Semenanjung Barton, Pulau King George, Antartika pada 16 Disember 2019 hingga 8 Januari 2020. Perjalanan ini bermula dari Kuala Lumpur, kemudian Punta Arenas (sebuah bandar di wilayah paling selatan Chile) dan akhirnya ke Semenanjung Antartika, iaitu menghampiri 1,000 km dari benua Amerika Selatan.

Semasa ekspedisi itu, Dr. Heo telah melawat koloni penguin di ASPA 171 (Kawasan Perlindungan Khas Antartika 171) dan beliau telah mengumpul sampel bangkai-bangkai penguin termasuklah swab, tanah, dan tulang-tulang penguin. Tujuan pengumpulan sampel-sampel ini adalah untuk penganalisaan mikrobiologi (bakteria, kulat, protozoa, virus), kimia tanah, dan kajian ketumpatan tulang.

Penyelidikan kolaboratif inter-disiplin ini telah melibatkan penyelidik-penyelidik merentas jabatan dan universiti yang berbeza di negara ini. Penyelidik bersama dalam projek ini ialah Prof. Dr. Jamal Hussaini (ahli mikrobiologi perubatan, Fakulti Perubatan, UiTM), En. Mohd Hafizi Mahmud (juru radiografi perubatan, Fakulti Sains Kesihatan, UiTM), Dr. Lucas Low Van Lun (pakar genetik, Pusat Penyelidikan dan Penyakit Berjangkit Tropika (TIDREC), Universiti Malaya) dan Dr. Siti Sofo Ismail (ahli kimia tanah, Jabatan Sains Kimia, Universiti Malaysia Terengganu). Seorang pelajar doktor falsafah turut diambil bersama menerusi projek ini dan ketika ini sedang menganalisis keputusan-keputusan daripada sampel-sampel biologi tersebut.

Matlamat utama penyelidikan ini adalah untuk memahami bagaimana bangkai penguin terurai dalam persekitaran Antartika. Pasukan penyelidik bertekad untuk mengenal pasti jenis bakteria dan arthropoda (e.i. nekrobiom) yang terlibat dalam proses penguraian bangkai penguin, apakah perubahan yang berlaku kepada nutrient tanah (e.g., nitrat, fosfat, ammonium, dll) di bawah bangkai penguin, dan bagaimana ketumpatan tulang penguin berubah dari semasa ke semasa di Antartika. Persoalan kajian ini amat penting dalam memahami bagaimana kitaran nutrien berlaku dalam persekitaran yang ekstrem di Antartika. Banyak planet lain (e.g., Marikh) mungkin mempunyai keadaan yang agak serupa seperti Antartika (i.e., suhu sejuk dan kering). Oleh itu, Antartika merupakan makmal semula jadi yang ideal untuk kajian simulasi lapangan tentang planet-planet lain dalam sistem suria kita.

Sepanjang tiga minggu kerja lapangan, sebanyak 25 bangkai penguin telah dikesan oleh Dr. Heo dan telah dibawa pulang ke Malaysia. Pada masa ini, sampel-sampel itu disimpan di Institut Bioteknologi Molekul dan Perubatan (IMMB), Fakulti Perubatan, UiTM kampus Sungai Buloh. Bangkai penguin terdiri daripada dua spesies iaitu penguin Gentoo (Pygoscelis papua) dan penguin Chinstrap (Pygoscelis antarticus). Terdapat dua peringkat penguraian penguin telah perhatikan:- peringkat segar dan peringkat kering/ peringkat kekal. Kebanyakan bangkai penguin ialah penguin dewasa diikuti oleh anak penguin. Punca kematian penguin yang utamanya disebabkan pemangsa semulajadi mereka seperti skua, petrel gergasi, dan anjing laut.

Dr. Heo sangat berterima kasih kepada Ketua Stesen King Sejong, Dr. Hung Jung-Kuk, dan rakan kerjasamanya, Dr. Lee Won Young (seorang penyelidik berkenaan penguin) atas bantuan dan layanan yang diberikan sepanjang penginapan. Tindakan seterusnya adalah untuk membina hubungan kerjasama yang lebih erat dalam penyelidikan saintifik antara Malaysia dan Korea Polar Research Institute (KOPRI). Dr. Heo dan rakan-rakan penyelidiknya menghargai peluang yang diberikan oleh Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM) untuk menjalankan kajian di Antartika dan besar harapan semoga hasil kajian ini dapat memberi manfaat kepada manusia dan komuniti saintifik secara amnya.

DR. HEO CHONG CHIN

PAKAR ENTOMOLOGI FORENSIK FAKULTI PERUBATAN,

UNIVERSITI TEKNOLOGI MARA (UiTM)

Total
5
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts