Kenali Kelas Api dan Cara Pemadamannya

Tahukah anda api boleh terhasil apabila bahan bakar berinteraksi dengan haba dan oksigen di persekitaran. Apabila hadirnya tiga-tiga unsur ini, tindak balas akan berlaku menyebabkan api terhasil.

Api dapat memberi manfaat kepada manusia, namun api juga boleh menjadi musibah kepada manusia. Kebakaran boleh berlaku di mana-mana sahaja, jadi perlu kita sebagai pengguna mengetahui kelas-kelas api. Dengan cara ini kita dapat memadam api dengan menggunakan alat pemadam api yang sesuai.

Berdasarkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, api boleh dikelaskan kepada Api Kelas A, B, C, D, E dan K. Sangat penting untuk kita mengetahui jenis api dan cara memadamkannya supaya apabila berlaku kebakaran kita dapat mengambil langah yang tepat dan mengurangkan kesan kemusnahan akibat daripada kebakaran tersebut.

Jadi apakah kelas ini dan bagaimanakah cara untuk memadamkan api tersebut?

Sebelum kita mengenali kelas api, ayuh kita kenali alat/media pemadaman api yang sering digunakan oleh bomba. Antara alat/media pemadaman api yang sering digunakan untuk memadam api ialah alat pemadam api jenis air, jenis buih, jenis debu kering dan menggunakan air secara semburan.

Selain itu, alat pemadam api jenis karbon dioksida, pasir kering dan asbestos grafit juga merupakan medium pemadaman api untuk jenis api tertentu.

Gambar 1: Jenis-jenis medium pemadaman api

KELAS-KELAS API

Api Kelas A

Api kelas A terdiri daripada kebakaran yang melibatkan bahan hidrokarbon pepejal seperti kertas tekstil, sampah-sarap dan sebagainya. Apabila bahan pepejal dipanaskan, ia akan membebaskan wap/gas mudah terbakar pada tahap suhu nyalaan dan wap ini akan terbakar apabila bercampur dengan oksigen. Media pemadaman yang sesuai untuk memadam api kelas A ialah alat pemadaman api jenis air, jenis debu kering atau menggunakan air secara semburan.

Gambar 2: Simbol dan Piktogram bagi api kelas A
Api Kelas B

Api Kelas B terdiri daripada kebakaran melibatkan cecair hidrokarbon ataupun cecair yang mengandungi hidrogen dan karbon. Contoh api kelas B ialah minyak petrol, gasoline, minyak tanah dan lain-lain. Media pemadaman api yang sesuai bagi memadam api kelas ini ialah alat pemadam api jenis buih, jenis debu kering, jenis karbon dioksida atau menggunakan air secara semburan.

Gambar 3: Simbol dan Piktogram bagi api kelas B
Api Kelas C

Api kelas C terdiri daripada kebakaran melibatkan gas atau cecair mudah terbakar. Gas ini apabila bercampur dengan oksigen hanya memerlukan percikan api yang sedikit sahaja untuk memulakan kebakaran dan biasanya kebakaran tersebut berlaku dengan sangat pantas dan kadangkala boleh mengakibatkan letupan. Sebagai contoh, metana, propane, butana, hidrogen, acetylene dan lain-lain mudah terbakar adalah tergolong dalam api kelas C. Cara memadamkan api jenis ini adalah dengan menggunakan alat pemadam api jenis debu kering dan jenis karbon dioksida.

Gambar 4: Simbol dan Piktogram bagi api kelas C
Api Kelas D

Bagi api kelas D pula merupakan kebakaran yang melibatkan bahan-bahan jenis logam. Selalunya bahan logam ini terdiri daripada logam alkali kumpulan 1 dalam jadual berkala kimia. Contoh logam adalah seperti kalium, natrium, magnesium dan kalsium. Logam-logam ini sangat reaktif dan mudah bertindak balas apabila hadirnya oksigen menyebabkan proses pembakaran berlaku dengan pantas. Penggunaan asbestos grafit, soda ash, pasir kering atau pemadam api jenis debu kering dapat memadam api jenis ini dengan efektif.

Gambar 5: Simbol dan Piktogram bagi api kelas D
Api Kelas E

Api yang terhasil apabila bahan-bahan peralatan elektrik terbakar dikelaskan sebagai api kelas E. Contoh kebakaran api kelas E ini adalah seperti kebakaran pada kotak panel elektrik, mesin dan lain-lain. Bagi memadamkan api jenis E, kita hanya boleh menggunakan alat pemadam api jenis karbon dioksida atau jenis debu kering kerana kedua-dua media ini sahaja yang efektif dalam memadamkan api hasil daripada peralatan elektrik.

Gambar 6: Simbol dan Piktogram bagi api kelas K
Api Kelas K

Kebakaran hasil daripada sisa-sisa minyak masak atau semua jenis bahan yang berbentuk lemak terutamanya yang berlaku di kawasan kantin, dapur dan lain-lain dikelaskan sebagai api kelas K. Untuk memadam api jenis ini, kita boleh menggunakan alat pemadam api jenis debu kering dan jenis buih.

Gambar 7: Ringkasan api kelas A, B, C, D & K

Secara tuntasnya, kebakaran dapat dikelaskan kepada 6 kelas iaitu A, B, C, D, E dan K. Setiap jenis kelas ini mempunyai medium yang spesifik bagi memadamkan api yang terhasil. Oleh itu, sebagai pengguna, perlulah kita cakna akan jenis-jenis api dan cara pemadaman api. Hal ini dapat membantu kita sekiranya berlakunya kebakaran di masa hadapan.

Penulis ialah Saudara Asmi Syamim, Pengamal Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan dan Pelajar Sarjana Sains Kejuruteran Keselamatan Kebakaran.

Rujukan :

  1. Panduan Asas Keselamatan Kebakaran, Kursus Asas Keselamatan Kebakaran, Jambatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
  2. https://fireprevention.utexas.edu/firesafety/abcs-fire-extinguishers
  3. https://bidfiresafety.com/fire-extinguisher-types/
  4. https://ohsonline.com/Articles/2004/08/The-ABCs-Ds-and-Ks-of-Fire-Extinguishers.aspx
  5. https://resources.impactfireservices.com/how-to-choose-the-right-fire-extinguisher
Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts
Read More

SALJI HIJAU

Perubahan iklim yang semakin ketara kini berpunca daripada peningkatan gas rumah hijau terutamanya karbon dioksida.  Penyerap karbon dioksida…