Cardiopulmonary Resuscitation (CPR) menyelamatkan nyawa ketika Jantung Terhenti Mengejut (Sudden Cardiac Arrest)

Sudah lebih dua minggu berlalu berkaitan kes rempuhan pada malam halloween yang berlaku di Itaewon, Korea Selatan. Kes ini telah mengorbankan 156 nyawa yang terdiri daripada pelbagai warganegara. Direkodkan juga sebanyak 198 orang telah mengalami kecederaan.

Kebanyakan mangsa yang terlibat dalam rempuhan ini adalah terdiri daripada remaja dan anak muda yang ingin turut serta merayakan halloween yang akhirnya menjadi mangsa kepada rempuhan disebabkan kehadiran khalayak yang ramai dan tiada kawalan lalu lintas bagi menjamin keselamatan orang awam.  Kes ini telah diklasifikasikan sebagai antara yang terteruk selepas tragedi feri Sewol yang mengorbankan pelajar sekolah Korea pada tahun 2014.

Gambar 1: Police stand guard at the cordoned scene of the deadly Halloween crowd surge in the district of Itaewon in Seoul, November 1, 2022. — AFP pic

Ketika insiden ini, viral video di laman sosial yang mana mangsa diberikan bantuan Cardiopulmonary recuscitation (CPR) disebabkan oleh jantung terhenti (cardiac arrest) kesan daripada ditimpa antara satu sama lain. Bukan sahaja pekerja kesihatan malahan orang awam juga dipanggil untuk membantu dalam melakukan CPR bagi menyelamatkan semua mangsa yang terlibat dalam kemalangan tersebut. Sebagai orang awam, kita perlu tahu bagaimana cara untuk bertindak seandainya terdapat orang di sekitar kita tiba-tiba rebah dan terkena cardiac arrest.

Apakah itu Cardiac Arrest?

Menurut Persatuan Jantung Amerika (AHA), cardiac arrest adalah kehilangupayaan fungi jantung secara mengejut pada seseorang sama ada dia menghidapi penyakit jantung atau tidak. Cardiac arrest ini boleh berlaku kepada semua peringkat umur tanpa mengira faktor kesihatan tubuh badan. Kejadian jantung berhenti secara tiba-tiba ini berlaku disebabkan pergerakan pantas ritma elektrik yang tidak menentu (ketidaktekalan). Ketika keadaan ini berlaku, mangsa akan terus tumbang, tiada nadi dan gagal bernafas kerana darah yang beroksigen tidak dapat dialirkan kepada organ yang penting seperti otak dan jantung. Jika intervansi tidak dilakukan, kematian pasti akan berlaku. Oleh itu, keadaan ini seringkali dikaitkan sebagai pembunuh senyap.

Gambar 2: Ilustrasi simptom cardiac arrest

Seandainya ada mangsa di sekitar kita menghadapi serangan jantung terhenti mengejut, perlu kita tahu bagaimana cara untuk menyelamatkan mangsa tersebut. Cardiopulmonary Resuscitation (CPR) adalah bantuan kecemasan pertama yang perlu dilakukan oleh seseorang yang berada berdekatan dengan mangsa bagi mengembalikan ritma denyutan jantung dan memastikan darah terus dipam ke seluruh badan.

Apakah itu Cardiopulmonary Resuscitation (CPR)?

Cardiopulmonary resuscitation atau dalam Bahasa Melayu disebut sebagai resutasi kardiopulmonari merupakan satu prosedur kecemasan yang diberikan kepada mangsa yang jantungnya terhenti berdegup. Tindakan ini sebagai usaha bagi mengekalkan secara manual fungsi otak sehingga langkah selanjutnya dapat dilakukan bagi mengembalikan aliran darah dan pernafasan secara spontan. 

Tujuan utama CPR dilakukan kepada mangsa adalah bagi memulihkan separa aliran darah beroksigen ke dalam otak dan jantung. Dengan cara ini dapat menangguhkan kematian tisu serta melanjutkan jendela peluang yang singkat untuk menjayakan resusitasi tanpa kerosakan otak yang berkekalan. Hal ini kerana apabila tisu otak mati, maka nyawa mangsa sudah tidak dapat diselamatkan lagi. Pelaksanaan CPR melibatkan proses menekan dada dengan kedalaman sekurang-kurangnya 5 cm dengan kadar tekanan sebanyak 100 kali setiap minit. Dengan kedalaman dan tekanan yang mencukupi mampu menghasilkan peredaran buatan dengan mengepam darah melalui jantung secara insani.

Gambar 3: Mangsa diberikan bantuan CPR

Langkah-langkah melaksanakan CPR

Sebagai orang awam yang tidak terlatih dalam melaksanakan CPR, pihak Persatuan Jantung Amerika telah menggalakkan mempelajari kaedah CPR mampatan sahaja. Kaedah CPR mampatan sahaja ini hanya menggunakan tangan bagi melaksanakan CPR kepada mangsa sehingga bantuan kesihatan tiba di tempat kejadian. 

Langkah di bawah merupakan cara-cara melakukan CPR mampatan kepada mangsa cardiac arrest :

  1. Menelefon nombor kecemasan 999 atau mendapatkan bantuan daripada orang sekeliling untuk menelefon.
  2. Letakkan salah satu tapak tangan di tengah-tengah dada mangsa. Letakkan tapak tangan satu lagi di atasnya, selang-selikan jari.
  3. Posisikan bahu anda di atas tangan anda dan luruskan tangan.
  4. Tekan kuat dan laju secara kadar 100 tekanan per minit dengan kedalaman tekanan 5 cm.
  5. Lakukan CPR sehingga mangsa bernafas secara normal atau sehingga bantuan tiba.
Gambar 4: Posisi badan dan tangan yang betul ketika melakukan CPR

Cardiac arrest merupakan pembunuh senyap bagi rakyat Malaysia. Kegagalan orang sekeliling melakukan bantuan kecemasan dengan cepat boleh menyebabkan mangsa mati di tempat kejadian. Maka, perkara ini menjadi tanggungjawab kita untuk mengetahui cara melakukan CPR dengan baik. Pelaksanaan CPR sangatlah mudah dan manfaatnya sangat besar kepada mangsa. Oleh itu, ayuhlah kita cakna dan ambil tahu langkah-langkah melakukan CPR dengan betul.

Rujukan

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts