Dahulu sewaktu kecil, admin menyangkakan hampir MUSTAHIL negara kita untuk menyaingi kehebatan filem animasi Hollywood.
Di sebalik keterujaan menonton animasi – animasi klasik hebat seperti Pixar, Disney dan Dreamworks, admin menyimpan harap, walaupun impian ini bagai mimpi di siang hari, dapat menyaksikan Malaysia menghasilkan animasi setanding Hollywood.
Dan jujur admin fikir, tak mungkin negara yang tiada budaya animasi boleh capai impian itu. Baik berhenti saja. Bangsa lain lebih berbakat melukis dan mengawal keyframe… bukan bangsa kita..
Namun kini dalam hanya 20 tahun lebih, kita di ambang sejarah. Animasi kita mendominasi kutipan di layar perak.
Dan paling mengujakan, Mechamato yang masih lagi ditayangkan, telah menumbangkan kesemua animasi Hollywood yang lain seperti Minions, Big Hero 6, Kung Fu Panda, How To Train Your Dragon, Incredibles dll.
Kini, Mechamato sikit lagi hendak MENUMBANGKAN filem animasi antarabangsa paling tinggi kutipan di panggung wayang negara, Frozen 2!
Bermakna, negara kita kini hampir mengikut jejak langkah Jepun. Di Jepun, filem tertinggi kutipannya adalah animasi hasilan mereka sendiri iaitu Demon Slayer, kemudian Spirited Away, barulah diikuti filem Hollywood Titanic. Filem Avenger dikalahkan oleh Detective Conan. Dan filem Avatar 2 dikalahkan oleh filem Slam Dunk.
Inilah ciri – ciri negara yang maju. Mereka menghasilkan produk – produk berkualiti tinggi, dan mereka sendiri yang menyokong serta memartabatkannya! Mereka bangga dengan hasilan animasi yang terlahir daripada gerak fikir budaya masyarakat mereka.
Malah yang lebih membanggakan, Jepun pulak kini yang sangat berminat dan suka dengan animasi kita! Mereka terkejut siri seperti Mechamato boleh berjaya di kaca TV tanpa perlu pertarungan berdarah – darah sampai putus kepala. Mereka tak sangka animasi yang bersahaja dan sarat dengan nilai murni boleh popular tanpa perlu adegan – adegan menggiurkan atau mencolok mata, yang malangnya telah menguasai DNA animasi Jepun.
Ada rakyat Jepun yang sanggup terbang beribu – ribu kilometer semata – mata demi animasi keluaran syarikat Malaysia
Di zaman yang kini seluruh ibu bapa sedang risau dengan kartun animasi hasilan Barat yang giat berdakyah, mahukan minda anak – anak kecil lebih ‘open-minded’ dengan menerima agenda seksual songsang, tentang dewa dan tuhan mereka (Thor, Hercules dll.). Iya, kita boleh saja menggerakkan usaha sendiri dengan memboikot atau ‘censoring’.
TETAPI BANGSA MAJU YANG BERMINDA MENANG akan menggantikan konten – konten Barat dengan produk hasilan sendiri yang bukan saja setanding, malah lebih baik dan tersendiri.
Di kala Barat menyuruh jangan menyanjung ibu, kita memartabatkan kemuliaan emak, di kala mereka menyanjung seks bebas dan kecelaruan gender, kitalah yang mengangkat institusi keluarga.
Dan ia adalah tanggugjawab kita untuk menyokong dan mengangkat hasil konten kita, ke persada yang lebih tinggi.