“Makhluk rumpai laut berukuran 5,000 batu persegi sedang menuju ke Amerika Utara dan boleh menimbulkan kekacauan di pantai seluruh Florida, Mexico dan Caribbean”, mengikut laporan Denise Chow daripada NBC News.
Kumpulan rumpai laut yang tebal – yang dikenali sebagai Great Atlantic Sargassum Belt – bukanlah sesuatu yang baru, dan saintis mengatakan bahawa saiznya sangat besar sekarang. Sargassum bersaiz raksasa seperti selimut terapung di Lautan Atlantik nampaknya tiba di pantai beberapa bulan lebih awal daripada kebiasaan pada tahun ini, yang mana dikatakan “tidak menjanjikan musim panas dengan pantai yang bersih pada 2023,” oleh Brian Lapointe, seorang ahli ekologi di Florida Atlantic University, kepada Livia Albeck-Ripka dan Emily Schmall daripada The New York Times.
“Sargassum biasanya tiba di pantai pada bulan Mei, kemudian mencapai puncaknya pada bulan Jun dan Julai. Tetapi kini, rumpai laut ini sudah mulai terkumpul di pantai di Key West, Florida dan juga di Cancun, Mexico serta Playa del Carmen dan Tulum.
“Rumpai-rumpai ini semakin besar dan besar, dan tahun ini kelihatan seperti saiz terbesar yang pernah direkodkan,” kata Lapointe kepada The Times.
Secara umumnya, rumpai laut Sargassum mengapung di antara Afrika Barat dan Teluk Mexico. Di tengah-tengah Lautan Atlantik, rumpai ini memberikan beberapa manfaat, seperti menyerap karbon dioksida dan memberikan perlindungan kepada pelbagai haiwan marin, termasuk beberapa ikan, krustasea dan penyu laut.
Tetapi apabila kusut rumpai laut ini tiba di pantai, mulalah berlakunya masalah. Rumpai ini akan terkumpul di pantai dan mulai membusuk, melepaskan gas hidrogen sulfida yang beracun ke udara. Dikenali sebagai “gas kumbahan” atau “gas rawa”, gas tidak berwarna ini berbau seperti telur busuk sehingga menyebabkan wujudnya masalah pernafasan dan neurologi kepada manusia.”
Kehadiran Sargassum ini telah menjauhkan para pelancong dan menyebabkan impak negatif pada ekonomi hotel, restoran dan perniagaan lain yang bergantung pada pelancong untuk kehidupan mereka. Tahun ini, ketibaannya yang awal telah menjadi masalah pada industri pelancongan di Pantai Teluk Florida kerana sudah berhadapan dengan kesan merbahaya gelombang pasang merah.
“Keadaan ini tidak menyenangkan,” kata Melinda Simmons, seorang saintis marin di Universiti Jacksonville, kepada Robert Speta daripada First Coast News. “Sama ada anda berenang atau berjalan di dalamnya, pasti akan berbau busuk. Kemudian orang tidak mahu datang ke pantai.”
Selain itu, Sargassum boleh menyukarkan pelayaran bot melalui perairan pantai. Rumpai ini boleh menyumbat injap hisap loji penapisan air laut dan loji pembekal kuasa, yang boleh menyebabkan kekurangan air dan masalah lain. Rumpai ini juga boleh menghalang cahaya mengenai tumbuhan dan haiwan yang berada di bawah permukaan air dan menyukarkan penyu laut merangkak ke habitat tempat bertelur mereka atau ke laut.
Walaupun komuniti dan pihak tempat peranignan cuba mengeluarkan sebanyak mungkin rumpai laut daripada pantai, proses tersebut adalah mahal dan memerlukan tenaga kerja yang banyak. Dan setelah mereka mengeluarkan sargassum, mereka kemudian harus mencari jalan untuk membuangnya. Sargassum mengandungi logam berat, termasuk arsenik, yang boleh membuatnya berbahaya jika digunakan sebagai baja atau kompos. Usahawan cuba mencari penyelesaian inovatif untuk masalah sargassum – seperti menenggelamkannya ke dasar laut atau menggunakannya untuk bahan bangunan – tetapi sejauh ini mereka masih berjuang untuk menjadikannya komersial.
Saintis telah mengesan rakit sargassum Atlantik selama bertahun-tahun. Tetapi pada tahun 2011, mereka mula menyedari bahawa ia semakin bertambah besar setiap tahun. Blok coklat ini kini begitu besar sehingga boleh dilihat dari angkasa, dan penyelidik menggunakan imej satelit untuk mengawalinya.
Para saintis tidak pasti apa yang menyebabkan pertumbuhan Sargassum yang semakin pesat, tetapi mereka menduga aktiviti manusia mungkin sebahagian puncanya. Menerusi pemerhatian, kumpulan Sargassum cenderung berkembang secara bermusim, pada waktu yang sama apabila sungai-sungai utama seperti Congo, Mississippi, dan Amazon mengalir ke Lautan Atlantik. Daripada pola ini, mereka telah menyimpulkan bahawa sisa terbuang daripada baja, pembalakan hutan, dan pembakaran biojisim secara tidak sengaja telah mengaktifkan rumpai laut tersebut. Selain itu, peningkatan suhu laut disebabkan oleh perubahan iklim kerana kegiatan manusia juga mungkin salah satu penyebabnya.
“Saya telah menggantikan kegelisahan perubahan iklim dengan kegelisahan Sargassum,” kata Patricia Estridge, seorang pengasas bersama dan CEO Seaweed Generation, sebuah syarikat yang berpusat di Scotland yang bertujuan menggunakan rumpai laut untuk mengeluarkan pelepasan karbon, kepada Guardian‘s Zan Barberton.
Artikel diterjemah dan diolah daripada :
Artikel “A 5,000-Mile-Wide Mass of Seaweed Is Heading for Florida and Mexico” oleh Sarah Kuta di pautan https://www.smithsonianmag.com/smart-news/a-5000-mile-wide-mass-of-seaweed-is-heading-for-florida-and-mexico-180981795/
Sumber gambar artikel : https://www.itv.com/news/2023-03-16/concern-as-5000-mile-long-mass-of-seaweed-heads-to-florida