Rangka Manusia Prasejarah ditemui pengkaji UKM di Gua Keledung Kecil!

KOTA BHARU: Penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menemui rangka manusia prasejarah yang lengkap bersama beberapa artifak lain di Gua Keledung Kecil, dekat Gua Musang.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam satu kenyataan berkata, penemuan pada November tahun lalu itu hasil daripada kerja Ekskavasi Arkeologi Menyelamat untuk Projek Hidroelektrik Nenggiri, di Lembah Nenggiri yang diketuai Felo Kanan, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) UKM, Prof Madya Dr Zuliskandar Ramli.

Katanya, rangka manusia prasejarah adalah antara penemuan penting kepada warisan arkeologi negara.

“Ia secara tidak langsung dapat menyumbang kepada dapatan fakta baharu berkait amalan pengebumian dan evolusi sosiobudaya kehidupan zaman prasejarah khususnya di Lembah Nenggiri.

“Rangka manusia berada dalam kedudukan melipat sepenuhnya iaitu posisi yang hampir sama dengan kedudukan janin dalam kandungan ibu yang sedang mengandung dan menghadap ke arah barat daya.

“Tapak tangan kanan rangka memegang mineral hematit manakala tapak tangan kiri pula memegang lutut kaki kanan,” katanya menerusi satu kenyataan media di sini, hari ini.

Menurut kenyataan MOTAC itu, di sekeliling rangka terdapat alat batu yang dikebumikan bersama-sama, antaranya batu pelandas dengan alat grind-pounding, kapak genggam dan alat repeh yang diperbuat daripada batu sabak serta kristal kuarza yang sering digunakan dalam ritual pengebumian masyarakat prasejarah.

Katanya, cara pengebumian rangka manusia yang ditemui itu adalah amalan masyarakat prasejarah yang terawal mendiami Lembah Nenggiri semenjak 14,000 tahun yang lalu.

“Sampel gigi dan cengkerang siput akan dihantar ke Beta Lab di Amerika Syarikat untuk memperoleh pentarikhan kronometrik.

“Sebagai langkah awal, rangka manusia prasejarah ini akan dibawa keluar dan ditempatkan di makmal konservasi Jabatan Warisan Negara untuk kerja pemuliharaan secara menyeluruh.

“MOTAC melalui Jabatan Warisan Negara dengan kerjasama kerajaan negeri Kelantan akan memastikan penemuan ini dapat dijadikan rujukan sejarah dan warisan negara serta dapat dikongsi kepada orang ramai,” katanya.

Menurut MOTAC, sebuah galeri mini akan dibangunkan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) berhampiran dengan Empangan Nenggiri bagi menempatkan segala jumpaan arkeologi di Lembah Nenggiri termasuk rangka yang ditemui di Gua Keledung Kecil.

“Kewujudan galeri itu pasti akan menjadi aset atau produk pelancongan berasaskan warisan dan budaya untuk menarik pelancong ke Lembah Nenggiri.

“Kesannya amat positif kepada rantaian sektor perkhidmatan kerana akan memberi limpahan ekonomi yang boleh dinikmati oleh rakyat tempatan,” katanya.

KREDIT BERITA : BERITA HARIAN

SUMBER FOTO :  Foto ihsan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) & twitter Samudera.my

Pautan Berita Harian: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/05/1108605/penyelidik-ukm-temui-rangka-manusia-prasejarah-di-gua-keledung-kecil

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts