Dengan menggunakan Teleskop Sangat Besar (VLT) dari Balai Cerap Selatan Eropah (ESO), ahli astronomi telah menemui sebuah eksoplanet yang mengorbit bintang Barnard, bintang tunggal terdekat dengan matahari kita.
Eksoplanet yang baru ditemui ini mempunyai sekurang-kurangnya separuh jisim planet Zuhrah, dan tempoh setahunnya hanya berlangsung lebih sedikit daripada tiga hari di Bumi. Pemerhatian pasukan ini juga menunjukkan kewujudan tiga lagi calon eksoplanet yang mungkin, dalam pelbagai orbit mengelilingi bintang tersebut.
Terletak hanya enam tahun cahaya jauhnya, bintang Barnard merupakan sistem bintang kedua terdekat, selepas kumpulan tiga bintang Alpha Centauri dan bintang tunggal terdekat dengan kita. Disebabkan jaraknya yang dekat, ia menjadi sasaran utama dalam pencarian eksoplanet seumpama Bumi. Walaupun terdapat pengesanan yang menjanjikan pada tahun 2018, tiada planet yang mengorbit bintang Barnard telah disahkan sehingga kini.
Penemuan eksoplanet baharu ini, yang diumumkan dalam sebuah kertas kerja yang diterbitkan baru-baru ini dalam jurnal Astronomy & Astrophysics adalah hasil daripada pemerhatian selama lima tahun dengan VLT ESO, yang terletak di Balai Cerap Paranal di Chile.
“Walaupun ia mengambil masa yang lama, kami sentiasa yakin bahawa kami boleh menemui sesuatu,” kata Jonay González Hernández, seorang penyelidik di Instituto de Astrofísica de Canarias di Sepanyol, dan penulis utama kertas tersebut. Pasukan ini sedang mencari isyarat daripada eksoplanet yang mungkin berada dalam zon boleh didiami atau zon sederhana di sekitar bintang Barnard, kawasan di mana air cecair boleh wujud di permukaan planet. Bintang kerdil merah seperti bintang Barnard sering menjadi sasaran ahli astronomi kerana planet berbatu bersaiz kecil lebih mudah dikesan di sana berbanding di sekitar bintang yang lebih besar seperti matahari.
Barnard b, nama eksoplanet yang baru ditemui, adalah dua puluh kali lebih dekat dengan bintang Barnard berbanding planet Utarid dengan matahari. Ia mengorbit bintangnya dalam 3.15 hari Bumi dan mempunyai suhu permukaan sekitar 125°C.
“Barnard b adalah salah satu eksoplanet dengan jisim paling rendah yang diketahui dan salah satu daripada sedikit eksoplanet yang diketahui mempunyai jisim lebih kecil daripada Bumi. Tetapi planet ini terlalu dekat dengan bintang induknya, lebih dekat daripada zon boleh didiami,” jelas González Hernández.
“Walaupun bintang ini kira-kira 2500 darjah lebih sejuk daripada matahari kita, ia masih terlalu panas di sana untuk mengekalkan air cecair di permukaannya.”
Untuk pemerhatian mereka, pasukan tersebut menggunakan ESPRESSO, sebuah instrumen yang sangat tepat yang direka untuk mengukur goyangan bintang disebabkan oleh tarikan graviti daripada satu atau lebih planet yang mengorbit. Hasil pemerhatian ini disahkan oleh data daripada instrumen lain yang juga dikhususkan untuk memburu eksoplanet: HARPS di Balai Cerap La Silla ESO, HARPS-N, dan CARMENES. Walau bagaimanapun, data baharu ini tidak menyokong kewujudan eksoplanet yang dilaporkan pada tahun 2018.
Selain planet yang disahkan, pasukan antarabangsa ini juga menemui petunjuk mengenai tiga lagi calon eksoplanet yang mengorbit bintang yang sama. Namun, calon-calon ini memerlukan pemerhatian tambahan menggunakan ESPRESSO untuk disahkan.
“Kami sekarang perlu meneruskan pemerhatian terhadap bintang ini untuk mengesahkan isyarat calon yang lain,” kata Alejandro Suárez Mascareño, seorang penyelidik juga di Instituto de Astrofísica de Canarias dan pengarang bersama kajian tersebut. “Tetapi penemuan planet ini, bersama-sama dengan penemuan terdahulu seperti Proxima b dan d, menunjukkan bahawa kawasan kosmik kita dipenuhi dengan planet berjisim rendah.”
Teleskop Sangat Besar (ELT) ESO, yang sedang dalam pembinaan, dijangka akan mengubah bidang penyelidikan eksoplanet. Instrumen ANDES ELT akan membolehkan penyelidik mengesan lebih banyak planet kecil berbatu dalam zon sederhana di sekitar bintang terdekat, yang berada di luar jangkauan teleskop semasa, dan membolehkan mereka mengkaji komposisi atmosfera planet-planet tersebut.
Nota: Dalam amalan saintifik, eksoplanet sering dinamakan berdasarkan nama bintang induk mereka dengan tambahan huruf kecil, di mana ‘b’ menunjukkan planet pertama yang ditemui, ‘c’ untuk planet seterusnya, dan seterusnya. Oleh itu, nama Barnard b juga diberikan kepada calon planet yang sebelumnya disyaki mengorbit bintang Barnard, yang tidak dapat disahkan oleh para saintis.
Artikel diterjemahkan daripada:
ESO. “Scientists discover planet orbiting closest single star to our Sun.” ScienceDaily. ScienceDaily, 1 October 2024. <www.sciencedaily.com/releases/2024/10/241001114845.htm>.
Sumber gambar:
https://www.livescience.com/space/planets/how-many-times-has-earth-orbited-the-sun