Mungkin antara perkara paling ketara apabila menjejak kaki ke universiti Eropah adalah bendera yang terpacak tinggi di bangunan utama universiti.

Bukan bendera universiti, bukan bendera negara England / Wales / Scotland, bukan bendera Kesatuan Eropah yang terpacak, tapi bendera pelangi LGBTQIAPK (Atau disingkatkan kepada LGBT+, eh betul ni.)
Kenapa istimewa sungguh bendera ini sampai diberi layanan hebat sebegitu rupa di institusi keilmuan Barat?
“Jangan Dicabar Bendera Ini!”
Saya teringat apabila membawa adik – adik tahun pertama mendaftar diri mereka sebagai pelajar baru universiti. Seorang dari mereka jelas muka tertekan bila keluar dari dewan pendaftaran.
“Kenapa ni” tanya saya.
“Entah lah bang. Tadi ada soalan tanya ‘are you straight, homosexual, queer or others?’. Saya tak tahu jawab apa, jadi saya jawab lah ‘I don’t know, I’m normal’. Tiba – tiba akak meja pendaftaran tu marah kata ‘what, you think gay people aren’t normal!?”
Kesian dah pening hari pertama pendaftaran.
Kedudukan LGBT adalah perkara yang tak boleh sama sekali disentuh dalam universiti UK. Ketinggian bendera tunggal berwarna pelangi di atas bumbung fakulti kolej seolah – olah menjadi lambang kekuatan fahaman tersebut. Mempersoal bendera itu seolah sama taraf dengan anti semitik.

University East Anglia pernah enggan memacakkan bendera tersebut pada ‘bulan sejarah LGBT+’. Alasan mereka memang wajar, kerana tiang bendera tersebut adalah khusus untuk bendera universiti yang rasmi. Tapi universiti tersebut kemudian dikritik kerana tidak menyediakan slot bendera khas tersebut.
Suruhanjaya Welsh pula dihentam teruk apabila tidak mahu mengibarkan bendera pelangi kerana bertentangan dengan polisi mereka yang tak membenarkan pengibaran bendera dari mana – mana kumpulan. Setelah tekanan bertubi – tubi, mereka akhirnya tunduk.
Begitu juga, arahan Trinity College yang tidak membenarkan mana – mana simbol ideologi ditayang pada kolej dikritik hebat, kerana dianggap ‘serangan peribadi’ pada golongan gay.
Apa sebab yang diberi oleh gerakan LGBT untuk menidakkan hak institusi – institusi tersebut untuk enggan mengibarkan bendera yang bukan milik mereka? Mudah saja, keengganan tersebut adalah bertentangan dengan konsep demokrasi liberal moden.
“Pandangan kamu tak boleh dipaksakan dan menindas pihak lain” Kata ahli sidang Universiti yang membantah keengganan universiti tersebut mengibar bendera pelangi.
Err … ironi?
Cabaran Bagi yang Beragama
Dah pasti, ketinggian seruan LGBT di institusi – institusi keilmuan ini menjadi cabaran besar bagi mereka yang beragama, dan memilih untuk beriman dengan agama mereka.
Di Universiti saya sendiri, pernah kecoh dengan berita seorang pekerja Universiti yang dibuang kerana komennya terhadap golongan gay.
Tulisnya di Facebook “Bible dan Tuhan mengatakan homoseks itu dosa”, dan “perkahwinan sejenis adalah dosa sama ada kita suka atau tak”.

Syeikh Haitham al Haddad, seorang ulama yang menetap di Britain dihalang daripada berceramah kepada persatuan Islam universiti kerana dianggap anti – gay. Seorang presiden ISOC pula letak jawatan apabila tulisan twitternya ‘homoseks adalah penyakit hati dan minda’ dianggap homophobia.
Bermakna, seorang pelajar Muslim di Eropah hakikatnya perlu berhati – hati dengan sebarang perkataan yang boleh dianggap menyerang sentimen LGBT di benua tersebut. Mungkin inilah buah hasil demokrasi liberal yang menolak Tuhan. Timbullah agama baru humanisme disuburkan baja fahaman ateis.