vERSI VIDEO
vERSI ARTIKEL
Eh hai, cuba anda tengok gambar ini.

Nampak macam gambar ini bergerak – gerak kan? Tapi sebenarnya ia gambar tetap.
Macam mana pula dengan gambar ini?

Anda perhatikan blok A, nampak macam lagi gelap berbanding blok B bukan? Tapi sebenarnya warna keduanya adalah warna yang sama.

Dan gambar di atas pula nampak seperti gambar 3D, namun sebenarnya ia hanyalah lukisan 2D di atas kertas.
Jadi untuk semua gambar – gambar tadi, mata kita seolah – olah menipu kita. Fenomena ini kita panggil sebagai ilusi optik.
Ilusi Optik dan Kegunaannya.
Ilusi optik adalah ilusi yang menipu sistem penglihatan mata kita untuk melihat sesuatu yang tak wujud, atau melihat sesuatu dengan salah.
Ya, ilusi optik ini membingungkan, kerana ia ‘mengacau’ otak kita. Namun, tidak semestinya ilusi optik ini tidak bagus. Ia miliki banyak kegunaan:
Ilusi optik di dalam Iklan
Ilusi optik antara lain digunakan dalam iklan untuk membangkitkan rasa ingin tahu bakal pelanggan.
Contohnya van Kit Kat ini yang buat kita lihat seolah – olah ada orang yang tidur di katil tergantung van.

Disamping menimbulkan penegasan bahawa Kit Kat merupakan jenama untuk ‘relaks’, iklan ini juga menarik perhatian pemandu. Pemandu yang melihat iklan ini pada waktu kesesakan lalu lintas pasti ingin melihat ilusi ini dengan lebih dekat, lantas membuatkan mereka teringin untuk membeli coklat tersebut.
Begitu juga iklan Honda CRV ini yang sangat unik dan menarik perhatian.
Dalam iklan yang dipenuhi dengan ilusi optik ini, Honda ingin memberikan mesej bahawa kereta ini mampu melakukan perkara – perkara yang mustahil.
Honda CRV kemudian menjadi antara model Honda yang paling berjaya.
Ilusi Optik Menyelamat Nyawa
Begitu juga, ilusi optik boleh digunakan untuk menyelamatkan nyawa.

Ilusi anak kecil melintas di jalan di atas membuatkan kereta bergerak perlahan di kawasan sekolah.
Dan untuk memaksa pemandu memperlahankan kenderaan, ada syarikat di Canada yang memperkenalkan teknik ilusi stiker lubang jalan.

Ilusi optik Membolehkan Anda Menonton Video
Dan sebenarnya ilusi mata juga membolehkan untuk menonton video – video di skrin. Kerana video sebenarnya adalah satu ‘ilusi’.

Apabila kita melihat video, filem, rakaman facebook live, atau animasi, kita perhatikan bahawa elemen – elemen di dalam video tersebut bergerak dengan licin, seperti pergerakan dunia sebenar. Tapi hakikatnya video tersebut cumalah koleksi ribuan gambar – gambar statik yang memberikan pergerakan.
Apabila video dimainkan, puluhan gambar ditunjukkan bertubi – tubi dalam masa saat. Dan lantaran mata kita mengekalkan satu impresi visual dalam 1/30 pecahan saat (fenomena ini dinamakan persistence of vision), maka otak kita menganggapnya sebagai satu pergerakan.
Ilusi ataupun penipuan mata ini kemudian mewujudkan industri video yang bernilai berbilion – bilion dolar.
Ilusi Optik yang Membingungkan
Memandangkan ilusi optik ini terjadi pada kita semua, berbilion – bilion manusia setiap hari, maka sudah pasti kita sudah pun mengetahui, dan faham bagaimana ia berlaku bukan?
Sebenarnya … tidak juga…
Ilusi optik masih satu lagi merupakan satu misteri besar yang belum dirungkai.
Dalam usaha untuk memahami ilusi optik, saintis membahagikannya kepada 2 jenis, iaitu:
- Ilusi optik yang disebabkan oleh peraturan fizik.
- Ilusi optik yang terjadi akibat bahasa otak.
Ilusi Optik yang disebabkan peraturan fizik
Ilusi optik yang disebabkan oleh peraturan fizik senang dijelaskan.
Menurut teori penglihatan oleh Ibn Haytham yang masih digunakan sehingga sekarang, kita dapat melihat adalah kerana cahaya dari objek yang masuk ke dalam mata.

Sebelum itu, saintis Greek percaya bahawa organ penglihatanlah yang mengeluarkan cahaya.
Maka apabila berlaku gangguan pada isyarat optik antara objek dengan mata, terjadilah ilusi.
Contoh ilusi optik yang disebabkan peraturan fizik adalah fatamorgana, iaitu satu ilusi yang biasa berlaku di padang pasir, di mana pemerhati akan melihat seolah – olah wujud kolam air di tengah – tengah padang pasir, atau jalan yang panas.

Terjadinya fenomena tersebut adalah kerana pembiasan cahaya akibat perbezaan suhu lapisan udara.
Satu lagi ilusi adalah pelangi. Walau sejauh mana pun kita cuba mengejar pelangi, kita tak akan dapat sentuh pangkalnya. Kerana pelangi bukanlah objek biasa, tetapi satu ilusi cahaya.
Itu ilusi – ilusi yang disebabkan oleh fizik. Tapi yang lebih memeningkan adalah ilusi yang disebabkan oleh bahasa otak.
Ilusi Optik yang disebabkan bahasa otak
Cuba anda perhatikan gambar ini. Garisan mendatar mana yang lebih panjang?
Nampak macam garisan B yang lebih panjang bukan? Tapi sebenarnya garisan kedua – duanya adalah sama panjang.
Jadi..apa isunya? Begini.
Pada mulanya saintis menganggap bahawa ilusi optik di atas dialami oleh semua orang di seluruh dunia. Tapi kemudian mereka menguji orang Afrika dengan ilusi yang sama dan ternyata, mereka tidak tertipu. Golongan yang lebih mudah tertipu dengan ilusi di atas adalah orang Barat di kawasan industri.
Penjelasan mengapa orang Afrika tidak tertipu, adalah kerana tempat kehidupan mereka tidak sama dengan tempat tinggal orang moden yang banyak bangunan bersudut dan berbongkah.
Tempat tinggal mereka lebih banyak bentuk bulat dan lengkung semula jadi. Jadi inilah sebab mereka ‘kebal’ ilusi tersebut.
Jadi rupa – rupanya, ilusi optik ini bergantung pada cara kita dibesarkan.
Ilusi optik juga mendedahkan realiti penglihatan kita.
Cuba perhatikan gambar – gambar ini:

Anda nampak bentuk segi tiga, petak dan bulatan?
Sebenarnya bentuk – bentuk tersebut tidak wujud. Perhatikan betul – betul. Otak kita sendiri yang cuba untuk melengkapkan data berdasarkan pengalaman bentuk yang kita pernah tengok.
Maksudnya, otak kita membuatkan kita melihat perkara yang tidak wujud.
Contoh lain, pernah tak anda nampak bentuk muka pada benda – benda rawak? Contohnya kita nampak bentuk wajah orang di pokok, batu dan gunung. Fenomena ini dipanggil Pareidolia.

Bentuk – bentuk tersebut tidak wujud, tapi otak kita sendiri yang cuba mendatangkan makna pada data – data yang tidak bermakna.
Percaya Apa Kita Nampak, Atau Nampak Apa Kita Percaya?
Disebabkan kita sudah ketahui bahawa mata kita boleh menipu. Kesannya agak besar.
Dalam mahkamah, saksi mata dianggap metod pembuktian yang utama. Tapi bagaimana jika saksi tersebut sekadar terpedaya dengan ilusi?
Dalam sains, pemerhatian adalah sangat penting dan merupakan keperluan asas untuk membuat dapatan dan teori saintifik. Namun menurut ahli falsafah Thomas Kuhn, pemerhatian seorang saintis sebenarnya tak lari daripada bias.
Dalam bereksperimen, saintis sebenarnya dipengaruhi oleh teori dan paradigma yang mereka telahpun percayai sebelum ini. Maka dapatan eksperimen dan kesimpulan mereka boleh jadi berat sebelah, menurut kepercayaan mereka.
Dan akhirnya, ini semua membuka kepada satu persoalan klasik:
Kita nampak baru kita percaya, atau kita percaya baru kita nampak?