Pelajar UIA Sedang Berdebat Mahu Kembalikan Songkok atau Kekalkan Mortarboard pada Hari Graduasi

Perdebatan tentang pemakaian mortarboard vs songkok sekali lagi tercetus di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia apabila Badan Perwakilan Pelajar mengadakan bancian untuk menentukan pakaian seragam graduasi seterusnya.

“Terdapat dua pilihan:

1) Songkok yang merupakan pakaian kepala tradisional di Malaysia untuk lelaki dan tudung berenda emas untuk wanita.

2) Mortarboard yang merupakan pakaian kepala yang dikenakan secara tradisional di seluruh dunia, yang mana asal usulnya adalah daripada sejarah dunia akademik Islam”

Sudah pasti, isu ini menimbulkan kembali perdebatan dalam kalangan pelajar UIA.

Ya, ‘menimbulkan kembali’, kerana isu songkok vs mortarboard ini sebenarnya pernah timbul pada tahun 2008 lagi.

Songkok Ganti Mortarboard Semasa Konvokesyen 2008

Selama berpuluh – puluh tahun, tradisi hari graduasi UIAM adalah mengenakan songkok.

Graduan memakai songkok pada hari graduasi. Gambar: Muhtar Suhaili.

Jadi ketika diumumkan pada tahun 2008 bahawa tradisi ini akan ditukar kepada mortarboard, agak kecoh juga situasi di UIA.

Himpunan membantah mortarboard di UIA

Seramai 3000 pelajar menandatangani petisyen membantah keputusan pihak pentadbiran universiti tersebut untuk menggunakan jubah baru dan menggantikan pemakaian songkok untuk majlis konvokesyennya, lapor Malaysiakini.

Punca utama bantahan tersebut adalah:

  • Songkok telah menjadi identiti UIA sejak 25 tahun lalu.
  • Penukaran tersebut membuatkan pihak universiti terpaksa menanggung kos yang tinggi. Sehingga sekarang, mortarboard dan jubah perlu disewa oleh pelajar berbanding songkok yang dimiliki pelajar.

Bantahan tersebut bagaimanapun tidak berjaya setelah pihak pengurusan mengekalkan keputusan untuk mengguna pakai mortarboard untuk hari graduasi.

Graduan UIAM (2011) mengenakan mortarboard

Kini, setelah hampir 10 tahun, nampaknya ada potensi songkok akan kembali semula mengetuk pintu hari Graduasi UIAM.

Songkok VS Mortarboard

Perdebatan songkok vs mortarboard ini bagaimanapun bukanlah satu isu picisan. Perbahasannya agak mendalam.

Menurut tulisan seorang pelajar UIAM, isu ini agak besar maknanya bagi seorang pelajar yang akan bergraduasi, apatah lagi setelah 4 tahun lebih bersusah payah mempelajari dunia keilmuan.

“Hal pemakaian sering menjadi simbolik terhadap sesuatu acara, konvokesyen pertama kali pula akan menjadi kenangan seumur hidup”

Menariknya, pihak yang menyokong mortarboard membawa hujah bahawa itu sebenarnya pemakaian Islam, yang lahir daripada tradisi akademik Islam.

Mortarboard tidaklah ‘kurang Islam’ berbanding songkok.

Amalan pemakaian mortarboard dalam majlis graduasi hakikatnya berasal daripada Islam, yang kemudian dicedok oleh Barat.

Malah menurut Dr Afifi al – Akiti, amalan yang dipopularkan oleh Universiti Oxford ini berasal daripada tradisi pondok. Hal ini termasuklah budaya seperti makan ramai-ramai, menunggu pengetua sebelum makan dan membaca doa, semua ini berasal daripada tradisi Islam. Namun sekarang ia lebih dikenali sebagai budaya Harry Potter.

Malah yang lebih menarik, topi mortar board, atau Qalansuwah dalam bahasa Arab, adalah tempat untuk mengikat al Quran di atas kepala. Itulah sebabnya kenapa reka bentuk mortar board leper di bahagian atas.

Reka bentuk mortarboard yang leper adalah tempat meletak al Quran

Sebahagian pelajar juga turut berhujah mengatakan bahawa dasar pengantarabangsaan UIA juga seharusnya lebih menggalakkan penggunaan mortarboard.

“Penggunaan mortarboard dikenali di seluruh dunia, jadi maknanya boleh difahami oleh semua bangsa tanpa pengecualian. Songkok dan tudung berenda hanyalah budaya Melayu yang tidak menepati dasar pengantarabangsaan. Beri peluang pelajar antarabangsa bergraduasi dengan berbangga apa yang mereka pakai”

Luahan hati seorang pelajar UIAM yang meminta mengekalkan mortarboard. Nampaknya rata – rata pelajar perempuan mahukan mortarboard dikekalkan.

Bagaimanapun, pihak yang mahu mengembalikan songkok rata – rata mahu mengembalikan keunikan niai identiti Melayu bagi sebuah Universiti yang unik di dunia.

Begitu juga, isu yang sering dikemukakan berkenaan pemakaian mortarboard dan jubah adalah kos yang tinggi untuk hari graduasi, yang mudah dieksploitasi golongan kapitalis.

Tambahan pula, penggunaan mortarboard telah menggalakkan budaya yang cukup meruntun jiwa mereka yang sensitif, iaitu tradisi membaling mortarboard.

Bukankah topi graduasi itu asalnya tempat meletak al Quran, maka jika dibaling, apakah maknanya? Itu juga amalan yang sentiasa menjadi muka depan buku – buku majlis graduasi yang sering dibangga – banggakan.

Gambar hiasan utama dalam laman web http://convo.iium.edu.my/

Jika yang dipakai adalah songkok, sudah pasti amalan ini tidak akan diteruskan.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts