Pensyarah Bongkar Sisi Gelap Ahli Akademik Malaysia?

Sebuah penulisan telah dimuat naik yang membongkar amalan – amalan ‘gelap’ ahli akademik di Malaysia.

Artikel yang dihantar ke laman web iium confession itu dinyatakan telah ditulis oleh seorang pensyarah senior di sebuah Universiti Teknologi di negeri terbesar Semenanjung.

Baa (bukan nama sebenar) mendedahkan amalan – amalan tidak beretika yang beliau lihat diamalkan oleh universiti – universiti tempatan.

Berikut adalah transkrip terjemahan artikel tersebut:


Assalamualaikum dan hi kepada semua.

Nama saya Baa (bukan nama sebenar), seorang pensyarah senior di sebuah universiti teknologi di negeri terbesar Semenanjung Malaysia. Hari ini, saya ingin mengongsikan beberapa sisi gelap bekerja di Universiti daripada pemerhatian saya.

1. Penulisan Tamu (Guest Authorship)

Seperti yang dibincangkan di berita – berita tempatan terkini, pensyarah dikehendaki menerbitkan tulisan, atau habislah masa depannya. Maka beberapa ahli akademik mengambil keputusan untuk menyediakan penulisan tamu sesama mereka. Penulisan tamu dianggap tidak beretika dalam etika penerbitan. Malah, jika tidak dikawal, penulisan tamu akan menghasilkan bilangan penulis yang banyak untuk sebuah kertas kajian tanpa keperluan.

Contohnya, sementara ahli akademik di negara Barat biasanya menerbitkan dengan dua atau tiga penulis, penerbitan yang sama oleh ahli akademik Malaysia dalam bidang yang sama mencapai 8 ke 10 penulis.

Walaupun sesetengah mungkin melihat isu ini sebagai isu kecil, tetapi situasi ini menggambarkan bahawa ahli akademik Malaysia sebagai tidak kompeten – sehingga memerlukan bilangan individu yang ramai untuk satu projek kajian yang ringkas, atau ahli akademik Malaysia mengamalkan amalan yang tidak beretika yang boleh mencemarkan nama baik negara.

Maka, Kementerian perlu menghentikan isu ini sebelum Malaysia dikenal oleh komuniti antarabangsa sebagai pengkaji yang tidak beretika. Juga, tidak adil bagi pelajar jika penyelia mereka menambah nama – nama individu tidak dikenali ke dalam kertas kajian mereka.

Untuk memastikan ahli akademik Malaysia menulis secara beretika berdasarkan piawai antarabangsa, mungkin Kementerian atau pengurusan atasan boleh mengenal pasti langkah – langkah untuk mengelakkan situasi berikut:

  • Ahli akademik senior adalah pintu akses kepada fasiliti yang ditampung oleh pembayar cukai.
  • Ahli akademik senior boleh menambah penulis tambahan pada satu kertas walaupun penulis pertama tidak pernah bercakap dengan penulis – penulis tambahan ini dan tidak tahu menahu tentang sumbangan mereka.
  • Ahli akademik senior boleh memperbaiki prospek karier, atau berpotensi mendatangkan prestij untuk memudahkan penerbitan kertas kajian.
  • Ahli akademik senior menjangkakan untuk diberi hak penulisan ke atas semua kertas kajian yang dihasilkan oleh kumpulan mereka tanpa mengira sama ada mereka menyumbang kepada kajian atau tidak.
  • Kumpulan kajian yang besar yang melibatkan semua ahli mereka dalam kertas kajian walaupun sebahagian mereka tidak menyumbang.

2. Memalsukan CV

Pensyarah juga dikehendaki menyediakan konsultansi kepada industri. Maka, untuk mencapai sasaran itu, sesetengah ahli akademik memalsukan kepakaran dan kelayakan mereka.

Contohnya, NIBR memalsukan dalam CV nya bahawa dia miliki kedoktoran (walaupun sebenarnya tiada) dan miliki kepakaran dalam teknologi pembinaan apabila menghantar CVnya untuk membida projek, walaupun sebenarnya kepakarannya adalah dalam bidang kejuruteraan lain seperti kejuruteraan angin.

Juga, memalsukan CV adalah sebahagian daripada penipuan tender yang utama. Contoh lain pemalsuan tender seperti memberi gambaran salah, manipulasi, penetapan harga, dan inflasi harga.

Salah laku seperti ini perlu didedahkan di Universiti. Jika tidak, pelajar mungkin akan pelajari perilaku buruk ini daripada pensyarah – pensyarah yang mengamalkannya.

3. Rasuah dan Kroni

Sesetengah ahli akademik juga memanipulasi individu lain berdasarkan senioriti atau kedudukan mereka.

Contohnya, K diminta untuk memberikan penulisan tamu kepada MIBR. Memandangkan K membantah, maka MIBR buat keputusan untuk tidak membenarkan K masuk ke dalam fakulti kejuruteraan, lantas K terpaksa terus berada dalam kejuruteraan teknologi.

Jika K tidak dipilih kerana kelayakan, itu mungkin adil. Tetapi MIBR memilih individu lain kerana mereka boleh memberikan kepentingan langsung kepada dirinya dan bukan kepada fakulti atau universiti (kronisme – memilih rakan dan kenalan tanpa mengambil kira kelayakan mereka).

Situasi ini menyebabkan K kehilangan pelajar pasca sarjana lantas kehilangan kelebihan kompetitif apabila meminta geran. Maka, untuk mengelakkan situasi ini, ahli akademik terpaksa merasuah MIBR untuk mengelakkan implikasi tersebut.

Contoh lain, G diminta untuk memberikan peratusan tertentu daripada projek konsultansi G. Memandangkan G menolak, MIBR ambil keputusan untuk tidak mengesyorkan G naik pangkat walaupun G memenuhi semua syarat. Jadi, ahli akademik lain ambil keputusan untuk memasukkan MIBR dalam projek konsultansi mereka untuk memastikan dia tidak menghalang mereka naik pangkat.

Rasuah boleh didefinisikan sebagai pemindahan tawaran sebagai ganti layanan bermanfaat yang spesifik. Maksudnya, MIBR mahu orang lain merasuah dirinya, dan Kementerian atau pengurusan atasan perlu menyelesaikan isu ini untuk membebaskan pengajian tinggi daripada minda – minda korup. Kita tidak mahu individu – individu seperti ini mengajar pelajar bagaimana mengelat untuk peroleh manfaat peribadi.

Rumusan

Ahli akademik mestilah merupakan individu – individu yang beretika. Bagaimana seorang guru ingin mengajar murid untuk beretika jika mereka sendiri gagal? Kita tidak mahu generasi akan datang menjadi tidak beretika untuk kepentingan sendiri. Di samping pihak pengurusan menilai orang bawahan, kita mahu Kementerian dan pengurusan atasan yang mencari jalan mendapatkan input dan komen orang bawahan terhadap orang atasan.

Dengan kata lain, perlu terdapat semak dan imbang terhadap mereka yang miliki pengaruh yang lebih tinggi ke atas proses menentukan keputusan universiti. Juga, tindakan mestilah diambil ke atas individu – individu ini kerana kelakuan mereka boleh merosakkan reputasi kajian Malaysia, menghalang potensi individu, dan ‘menghalau’ bakat tempatan ke luar negara.

Total
88
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.

Related Posts