Kalendar Bumi Jutaan Tahun Lalu

Oleh: Azri May

Ketika anda menonton filem Jurassic Park dulu, anda pernah terfikir ke apa maksud Jurassic sebenarnya? Takde pon nama dinosaur Jurassic Rex atau Jurassicsaurus dalam filem tu? Tuan-tuan dan puan-puan, nama tersebut lahir daripada tahun Jurassic iaitu 199.6 ke 145.5 juta tahun yang lepas (Ma). Sebelum itu, kita mulakan dengan dengan pengenalan kepada sistem skala masa geologi atau geological time scale (GTS).


GTS merupakan satu sistem pentarikhan kronologi Bumi yang dikaitkan dengan lapisan batu-batuan (strata) kepada masa. GTS ini kebanyakannya digunakan oleh mana-mana saintis yang mengkaji Bumi Kuno misalnya ahli geologi, pengkaji iklim dan berbagai lagi saintis ahli kaji bumi untuk menandakan waktu-waktu dan perkaitan yang penting dalam sejarah Bumi. Orang Arab kuno juga pernah menggunakan kaedah yang lebih kurang sama untuk menentukan tarikh-tarikh yang penting misalnya Tahun Gajah. Bezanya saintis menggunakan kaedah saintifik seperti pemerhatian dan pengkaitan, seterusnya meletakkan tarikh yang agak tepat berbanding orang Arab kuno yang tidak mempunyai sistem tarikh yang bernombor. Kalau Malaysia pula menamakan zaman guna nama Perdana Menteri misalnya Zaman Mahathir dan Zaman Najib.

Sumber: The ICS International Chronostratigraphic Chart

GTS secara rasminya disediakan dalam bentuk jadual oleh International Commission on Stratigraphy (ICS) di mana tarikh-tarikh geologi diberikan masa, warna dan tata nama yang sesuai. Jadual ini juga bukan mutlak dan sentiasa diperbaharui dengan penemuan baharu. Jadual di atas merupakan jadual GTS versi ke-5 (2013) keluaran tahun 2020.

Siapa kata kita tahu semuanya tentang alam semula jadi?

Pembahagian Jadual

GTS mempunyai beberapa terminologi bagi pembahagian masa iaitu:

  1. Eon: sesekat (partition) yang terbesar, misalnya Hadean, Archean, Proterozoic dan Phanerozoic.
    Terdapat satu Supereon yang mengumpulkan tiga Eon yang terawal iaitu (Precambrian/ Sebelum Cambrian) di mana kita tidak mempunyai banyak maklumat tentang eon-eon ini dan mereka mewakili 4 billion tahun terawal Bumi. Kita sekarang berada di Eon Phanerozoic, 541 Ma – sekarang.
  2. Era: sesekat yang kedua terbesar, misalnya Cambrian, Carboniferous, Mesozoic dan sebagainya.
    Melambangkan pertukaran drastik dalam sistem Bumi seperti kewujudan hidupan baru misalnya tumbuhan berdaun dan keluarnya organisma hidup. Kita hidup dalam era Cenozoic, 66 Ma – sekarang.
  3. Period: Sesekat yang ketiga terbesar, misalnya Triassic, Jurassic yang korang sayang sangat tu, Paleogene dan sebagainya.
    Melambangkan pertukaran yang lebih halus dalam sistem Bumi lonjakan bacaan oksigen yang teramat tinggi, lonjakan bacaan elemen radioaktif dan kepupusan besar-besaran (mass extinction). Kita sekarang hidup pada period Kuartenari, 2.58 Ma – sekarang.
  4. Epoch: Sesekat yang keempat terbesar, misalnya Lower Jurassic, Palaeocene, Eocene dan sebagainya.
    Epoch membahagikan period terutamanya period pada era Cenozoic, kerana kita mampu memperoleh data pertukaran sistem Bumi yang lebih halus pada zaman-zaman ini. Antara yang penanda yang penting ialah Palaeocene – Eocene Thermal Maximum (PETM) atau permulaan Eocene di mana purata suhu bumi sebanyak meningkat 5-8°C. Kita hidup pada epoch Holocene, 11.7 ribu tahun lepas – sekarang.
  5. Age: sesekat yang paling kecil, misalnya Visean, Toarcian, Greenlandian dan sebagainya.
    Yang ni kebanyakannya diguna pakai oleh saintis yang mengkaji fosil, usia bumi dan iklim atas faktor kehalusan tarikhnya. Kita hidup pada zaman Meghlayan, 4.2 ribu tahun lepas – sekarang.
  6. Golden Spikes (GSSP/ Lonjakan Emas): sesekat pada Age yang dipersetujui oleh semua pihak antarabangsa. Ditunjuk dalam bentuk paku emas.

Tapi yang best sekali period, epoch dan age dalam Bahasa Melayu diterjemahkan sebagai zaman. Suka betul menyusahkan diri orang Barat ni.

Jap bro, aku tengok jadual ni, kenapa nama-nama yang diberikan pada tahun yang tidak tetap? Misalnya, kenapa nama tersebut tidak diberikan pada setiap 1 juta tahun atau 1 penggal 5 tahun atau sebagainya, tetapi pada tahun-tahun yang rawak?

Ini adalah kerana, seperti yang dibincangkan di atas, tarikh-tarikh ini diberikan atas dasar perubahan yang drastik dalam sistem Bumi yang dikaji melalui catatan kimia yang ada di dalam rekod batuan (rock record) melalui teknik geokronologi seperti pentarikhan isotop stabil dan tak stabil (isotope dating – bukan maksiat eh), palaeomagnetokoronologi dan penalaan astronomi kitaran mendapan. Kalau nak kita akan bincangkan hal-hal ini pada artikel-artikel yang akan datang.

Apa-apa pun sebagai rakyat marhaen, bagus sekiranya jika kita mampu menambahkan ilmu tentang masa dalam kaca mata sains supaya kita tidak mudah ditipu seperti filem populis Jurassic Park. Mana ada T-rex hidup pada zaman Jurassic, semua dinosaur besar gedabak hidup pada zaman Cretaceous kerana masa tu oksigen terlalu banyak lalu mengembangkan saiz organisma pada zaman tersebut. Kalau guna Cretaceous Park tak best bunyi dia, macam nama restoran makanan laut.

Kita juga mampu menginsafi bahawa masa untuk kita berada di dunia yang fana ini teramatlah singkat, jika dibandingkan dengan umur Bumi yang telah mencecah 4.6 Billion.

Lihatlah pada batu-batuan di sekeliling kita, Allah telah meletakkan pelbagai petunjuk dan klu-klu tentang Bumi pada masa silam untuk menunjukkan betapa hebatnya, betapa mudahnya bagi Allah untuk memanipulasikan kandungan Bumi ini, dan akhirnya menjadikan Bumi tempat tinggal yang sesuai bagi manusia untuk hidup.

Wallahua’lam.


Rujukan:

  1. Cohen et al. 2013, The ICS International Chronostratigraphic Chart.
  2. Marshak, 2018, Earth: Portrait of a Planet.
Total
322
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.

Related Posts