Ditulis oleh: Hayani Mirza binti Kamaruddin, Lavniah & Marryam Nornabila binti Muhammad
Adakah anda pernah dengar tentang seorang bayi mempunyai 3 genetik dari 2 orang ibu dan seorang ayah? Ya, penemuan baharu lagi aneh ini telah dijumpai di Mexico, Amerika Syarikat. Penemuan ini menjadi berita tergempar di kalangan para saintis di serata dunia. Pelbagai artikel saintifik dan penemuan antara para saintis dilakukan untuk membincangkan mengenai teknik ini.
Three-parents baby ialah hasil persenyawaan genetik dari 2 orang ibu dan seorang ayah. Proses persenyawaan ini menggunakan teknologi memanipulasikan dan penggantian mitokondria yang lebih dikenali sebagai Mitochondrial Replacement Technology (MRT). Untuk menggabungkan genetik dari tiga individu ini, kaedah persenyawaan in vitro (IVF) diguna pakai. Teknik MRT ini juga telah diluluskan di United Kingdom dan ianya dikenali sebagai pemindahan pro-nuklear.
Teknik ini melibatkan persenyawaan antara telur ibu yang mempunyai penyakit DNA mitokondria dan sperma ayah, di mana ianya dikendalikan di dalam makmal. Setelah telur ibu dan sperma ayah disenyawakan, nuklei yang mengandungi data genetik ibu dan ayah akan dikeluarkan. Kemudian, telur ibu kedua yang tidak mempunyai penyakit DNA mitokondria akan dibuang nukleinya, lalu digantikan dengan nuklei yang disenyawakan tadi. Setelah itu, embrio yang telah diubahsuai ini akan dimasukkan ke dalam uterus ibu pertama semula.
Teknik penggantian mitokondria ini bertujuan untuk mengurangkan kesan mutasi terhadap DNA, mengatasi masalah kemandulan di kalangan wanita serta dapat mengelakkan berlakunya penyakit genetik yang berpotensi untuk berlaku dalam keturunan keluarga.
Isu ini bermula dimana seorang wanita berusia 32 tahun, berbangsa Jordan mempunyai sindrom leigh iaitu penyakit mutasi genetik menyebabkan dia sukar untuk mendapatkan anak. Wanita ini dan suaminya mempunyai dua orang zuriat sebelum ini, namun, kedua-duanya sudah meniggal dunia berpunca daripada masalah mutasi genetik tersebut.
Oleh itu, pasangan suami isteri tersebut bertekad untuk mendapatkan pertolongan daripada John Zhang seorang doktor pakar di New Hope Fertility Center di Bandar New York. Bayi pasangan suami isteri itu telah selamat dilahirkan pada bulan April 2016 hasil daripada teknik tersebut. Namun begitu, terdapat beberapa isu berkaitan dengan penggunaan teknik MRT ini. Para saintis sendiri risau akan potensi sekiranya ibu penderma DNA mitokondria dan DNA milik ibu tidak serasi. Ketidakserasian ini akan mengakibatkan penyakit diabetes atau parkinson pada anak tersebut. Justeru itu, tiada kepastian bahawa teknik ini seratus peratus menjamin zuriat yang sihat.
Oleh yang demikian, para saintis dari serata dunia masih mencari cara penyelesaian untuk menangani masalah DNA yang tidak serasi pada kedua-dua ibu ini. Pelbagai kajian dan penemuan dilakukan bagi menjayakan teknik Three-parents baby mampu digunakan dengan lebih efisen dikalangan pasangan suami isteri yang mempunyai masalah untuk melahirkan anak. Para saintis juga berpendapat bahawa dengan teknik ini, lebih ramai zuriat dapat diselamatkan dan penyakit mitokondria juga dapat dikurangkan di kalangan populasi manusia.
Rujukan
González Santos, S. P., Stephens, N., & Dimond, R. (2018). Narrating the First “Three-Parent Baby”: The Initial Press Reactions From the United Kingdom, the United States, and Mexico. https://journals.sagepub.com/doi/full/10.1177/1075547018772312
Hamzelou, J. (2016). Exclusive: World’s first baby born with new “3 parents” technique. https://www.newscientist.com/article/2107219-exclusive-worlds-first-baby-born-with-new-3-parent-technique/
Reardon, S. (2017). Genetic details of controversial ‘three-parent baby’ revealed. https://www.nature.com/news/genetic-details-of-controversial-three-parent-baby-revealed-1.21761
Rogers, K. (2019). Three-parent baby. https://www.britannica.com/science/three-parent-baby