Sekumpulan pengkaji dari Delft University of Technology di Netherlands telah mengemukakan kajian mereka yang agak menakjubkan kepada dunia baru-baru ini.
Mengambil semula satu petikan ringkas daripada portal SciTechDaily yang melaporkan perihal kajian ini, sekumpulan pengkaji ini berjaya merekabentuk salah satu mikrocip deria yang paling tepat di dunia serta dapat berfungsi dalam suhu bilik yang mana keadaan ini merupakan satu penemuan sangat berguna dalam bidang teknologi kuantum dan penderiaan.

https://scitechdaily.com/one-of-the-worlds-most-precise-microchip-sensors-created-thanks-to-a-spiderweb/
Lebih menakjubkan apabila hasil ini yang merupakan gabungan teknologi nano (nanotechnology) dan pembelajaran mesin (machine learning) telah diinspirasikan oleh sarang labah-labah. Inspirasi ini akhirnya membawa kepada satu kajian yang menghasilkan dapatan besar kepada industri Sains sehinggakan artikel kajian ini diterbitkan dalam satu portal global yang menghimpunkan dapatan kajian luar biasa daripada para pengkaji seluruh dunia.
Korang boleh tekan pautan ini untuk membaca artikel kajian tersebut. https://doi.org/10.1002/adma.202106248

Membaca huraian lanjut di portal SciTechDaily, kajian yang diketuai oleh Richard Norte dan Miguel Bessa ini telah menimbulkan persoalan “Bagaimana mereka boleh terfikirkan idea untuk menggunakan sarang labah-labah sebagai model?”
Lalu, Richard Norte menceritakan bahawa pencetus inspirasi ini bermula ketika fasa ‘lockdown’ baru-baru ini ketikamana beliau melihat banyak sarang labah-labah di teresnya. Pemerhatian beliau pada keadaan ini menyebabkan beliau sedar bahawa sarang labah-labah dapat mengesan getaran dengan sangat baik apabila mereka ingin mengukur getaran di dalam sarang untuk mencari mangsa mereka, tetapi bukan di luar sarangnya.
Memandangkan kumpulan mereka tiada pengetahuan mengenai kerumitan sarang labah-labah, maka, mereka membiarkan pembelajaran mesin (machine learning) membuat proses penemuan-penemuan tersebut.
“Saya dah buat kerja ini dengan lamanya, dan apabila fasa kawalan pergerakan, saya dapati terdapat banyak sarang labah-labah di teres saya. Saat itu saya sedar bahawa sarang labah-labah merupakan pengesan getaran yang sangat baik, di mana labah-labah ingin mengukur getaran di dalam sarang untuk mencari mangsa, dan bukannya di luar. Jadi, mengapa tidak menjalani jutaan tahun evolusi dan menggunakan sarang labah-labah sebagai permulaan model untuk sebuah peranti ultra-sensitif?” – Richard Norte
“Kami tahu bahawa eksperimen dan simulasi ini memerlukan perbelanjaan yang besar dan penggunaan masa yang banyak. Maka, kumpulan kami memutuskan untuk menggunakan algoritma ‘Bayesian optimization’ untuk mencari satu reka bentuk yang baik dengan beberapa kali percubaan.” – Miguel Bessa
Subhanallah! Demikianlah manfaatnya buat mereka yang sentiasa berfikir dan mencari hikmah dalam sesuatu kejadian dan peristiwa.
Biarpun para pengkaji ini bukan Muslim, kesungguhan mereka memikirkan kejadian Allah ini telah menatijahkan sesuatu. Maka, Maha Adilnya Allah, Dia memberikan hasil kepada seluruh manusia berdasarkan kepada kesungguhan mereka. Yang membezakan dengan golongan Muslim hanyalah dapatan keredhaan-Nya.
Tiada salah untuk kita mengambil ilmu dan dapatan daripada mereka bukan Muslim. Kerana sesungguhnya setiap ilmu bermanfaat merupakan cebisan ilmu Allah.
Yang salahnya apabila kita terlalu mengkagumi dan mengagungkan si pengkaji yang dilihat hebat, tanpa mengambil iktibar dan motivasi untuk kita bangkit mencapai kejayaan yang sama demi mengharumkan nama Agama.
Oleh itu, mulai detik ini, ayuh manfaatkan akal, penglihatan dan pendengaran yang Allah kurniakan untuk mencari kebenaran dan merenungi setiap kejadian Allah sehingga menghadirkan rasa syukur kepada-Nya.